PADA minggu lepas, persidangan Umno dibisingkan oleh pemikiran di sekitar Akta Hasutan. Kita dapati, ahli-ahli secara keseluruhannya menyayangi akta tersebut.

Dalam bicara ini, saya memilih kandungan di tahap permukaan saja.  Saya tidak akan pergi jauh mentafsirkan akta itu. Memadai saya katakan, rakyat Malaysia terbagi dua dalam hal ini.   

Golongan yang menamakan diri mereka orang progresif mahu menghapuskan akta itu, manakala rakyat biasa bermati-matian mahu mempertahankannya.

Masalah utama dalam hal ini ialah lingkungan berbahasa yang dianggap memasuki kawasan akta ini. Pembangkang tentulah bimbang kalau-kalau keterlanjuran berpidato akan membawa padah. Sudah berpuluh-puluh tahun kita berada dalam pemerintahan Barisan Nasional, dan tahap pencapaian gabungan itu dapat kita ukur dengan mudah.

Akhir-akhir ini berlaku beberapa polemik yang sia-sia dan merugikan. Agak banyak perkara yang menyentuh perasaan antara kaum, antara agama dan lain-lain. Akta ini, setelah diperkemas, harapnya dapat membina dan mengekalkan kedamaian. Rakyat dapat terus hidup dalam suasana aman damai jika kecenderungan memandang rendah kepada pihak yang berlainan tidak berleluasa.

Penambahbaikan Akta Hasutan akan kita lihat nanti. Dari segi tinjauan sokongan dan tentangan, kita dapati jumlah rakyat yang menghendaki  Akta Hasutan dikekalkan adalah  melebihi jumlah yang mahukan akta itu dihapuskan. Para penentang yang menamakan kumpulan mereka Gerakan Hapus Akta Hasutan mendapat 1,324 likes. Kumpulan yang menyokong Akta Hasutan dikekalkan mendapat sokongan berjumlah 6,288 likes. (Sinar Harian, 29 November 2014).

Sekarang kita perhatikan alasan Akta Hasutan mahu dikekalkan.   Mungkin terdapat golongan penentang tegar yang menolak sebarang alasan, kerana bagi mereka kebebasan berpolitik hendaklah penuh.  Secara umum, dalam bidang politik terdapat konsep politik kebencian (politics of hatred). Untuk mendapat kuasa, pihak yang belum berkuasa akan berbuat apa saja agar cita-cita mereka tercapai.  Ini bukanlah agakan, tetapi kenyataan. Kejelasan perkara ini bersaingan dengan
kejelasan pihak yang sudah pun berkuasa. Pihak yang berkuasa telah dan akan menggunakan aneka cara berpolitik agar kuasa dapat dipertahankan.

Ahli politik yang ganas dan tidak bertolak-ansur sentiasa bersedia  untuk melancarkan serangan. Keganasan dalam kaedah mengkritik pihak lawan itulah yang perlu dikurangkan, malah elok dihapuskan.  Kata-kata saya ini bercanggahan dengan prinsip ‘lawan tetap lawan’,   kerana saya melihat keseluruhan maksud politik ialah untuk menolong rakyat, bukan untuk berlawan sesiapa.

Perkara yang hendak kita elakkan ialah perbuatan menghasut yang membawa kecelakaan kepada rakyat. Jumlah tukang hasut bukanlah terlalu besar, tetapi kesannya di luar jangkauan.   

Bagi pandangan pihak kerajaan, hasutanlah yang menyebabkan kumpulan-kumpulan manusia berdemonstrasi. Bagi pembangkang, kerajaanlah yang menyebabkan rakyat tidak menyukai mereka.   

Keseluruhan aksi dalam arena politik kita, terutama dalam politik demonstrasi, tidak mudah dikawal. Parti yang berteraskan agama akan melihat perjuangan keagamaan menduduki tempat nombor satu, manakala kumpulan sosialis pula mahu melayani impian sama rata yang dijanjikan oleh pemimpin mereka. Idea kedua-dua pihak telah sampai kepada rakyat, dan jika rakyat mahu pembangkang naik, perbuatan menghasut tidak diperlukan.

Akta Hasutan dikekalkan untuk memberi ruang yang luas kepada  ahli-ahli politik bergerak dalam lingkungan damai. Pihak yang terkeluar daripada hasrat berpolitik secara damai, sebahagiannya akan tertangkap. Ini baik untuk negara, kerana dalam hal mengemukakan tuduhan, rakyat boleh turut serta menimbangkan kewajaran.

Zaman kini ialah zaman media sosial. Melihat pada keadaan di sekeliling, kita dapati Akta Hasutan lebih diperlukan sekarang, berbanding dengan masa lampau. Serangan melalui media sosial amat menjadi-jadi, hingga dalam sesetengah hal, manusia hilang pertimbangan.

Hujah bahawa kita mengamalkan sistem  demokrasi, jadi kita boleh berkata apa saja, tidak betul. Ajaran sivik jauh lebih baik daripada ajaran politik. Dalam ajaran sivik, kita hendaklah berfikir sebelum berkata, dan apa-apa yang kita fikirkan, belum tentu boleh kita katakan.

Akta Hasutan hendaklah dikekalkan dengan maksud yang baik.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada kerajaan Thailand (2007), dan penerima anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.