BANYAK sekali tulisan tentang Anwar Ibrahim. Pernah saya terima SMS agar saya tidak lagi membicarakannya. Namun, sebenarnya masih ada segi yang belum saya tulis.

Baru-baru ini, dalam satu perbincangan tentang penerbitan buku, muncul idea tentang perlunya sebuah buku politik yang objektif. Seorang tokoh penerbit, Ishak Hamzah, memberikan pandangan jika buku tentang Anwar ditulis secara objektif, pembaca akan memperoleh manfaat.

Saya teringat akan tulisan Hishamuddin Rais tentang Anwar. Hishamuddin dikenali sebagai pemimpin pelajar seangkatan Anwar, walaupun beliau lebih muda beberapa tahun.

Hishamuddin dan Anwar sesekali memiliki pandangan yang sejajar. Bezanya, pandangan Anwar pernah pula sejajar dengan Tun Mahathir Mohammad, manakala Hishamuddin sentiasa amat jauh daripada mana-mana pemimpin Umno.

Tulisan Hishamuddin tentang Anwar adalah menarik, kerana kita dapat melihat perbezaan antara dua orang yang sekejap sejalan, dan sekejap berasingan.

Kebanyakan orang tidak mengambil berat apabila Khairy Jamaluddin mengatakan Anwar ialah tokoh yang inconsistent. (The Star, 27 Ogos 2013). Tentulah penyokong Anwar tidak menyukai sifat inconsistent (tidak konsisten) yang disebut oleh Khairy. Namun, Hishamuddin dalam tulisannya menyebutkan sebelum menjadi Islam, Anwar menjadi Melayu. (Suara Keadilan, 3 September 2013).

Ertinya, betullah Anwar inconsistent. Anwar berbeza semasa menjadi pemimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) berbanding semasa beliau menjadi presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Sesiapa yang meneliti pendakian Anwar, pasti segera  teringat bahawa Anwar memasuki Umno selepas agak lama mengetuai Abim. Anwar dua kali menjadi orang nombor satu, iaitu dalam PBMUM dan dalam Abim. Dalam Umno, Anwar jadi orang nombor dua, iaitu timbalan presiden. Yahya Ismail mengatakan Anwar sentiasa menghendaki tempat nombor satu.

Pendakian beliau ke nombor satu dalam Umno ternyata sukar. Inilah punca yang mendorong Anwar terus tidak konsisten.

Perjuangan Anwar dalam  PBMUM adalah berbeza daripada perjuangannya dalam Abim. Seterusnya Anwar dalam Umno adalah jauh berbeza daripada sebelumnya. Selepas tahun 1998, Anwar perlu berbeza lagi, iaitu beliau menjadi pembangkang. Beliau berjaya menjadi orang nombor satu, iaitu ketua pembangkang.

Ternyata, kata-kata Khairy dapat dibuktikan. Demikian juga kata-kata Hishamuddin. Kebanyakan orang tidak tahu bahawa Hishamuddin pernah bertaruh melawan John Comley berhubungan dengan masa depan Anwar selaku calon perdana menteri.

Hishamuddin yakin Anwar tidak akan berjaya menjadi perdana menteri. Katanya kepada Comley, Anwar dikelilingi musuh politik, jadi  ‘...he is not the next prime minister’.  

Perhatikan, bukan hanya musuh politik Anwar telah menjangka Anwar gagal menjadi PM, kawannya juga berpendapat sama. Saya sendiri pernah meramalkan demikian ketika beliau terpilih menjadi timbalan perdana menteri.

Namun, tumpuan saya bukanlah Anwar bermasalah, sebaliknya saya melihat kebiasaan Mahathir menukar timbalan berkali-kali.

Sebelum Anwar, timbalan kepada Mahathir ialah Tun Musa Hitam dan Tun Abdul Ghafar Baba. Jika Musa yang berpengetahuan luas, dan Ghafar yang amat berpengalaman tidak berjaya menjadi perdana menteri, apatah lagi Anwar yang ketika itu masih bertahap ‘anak muda julung berkeris’. Demikianlah fikiran saya ketika itu.

Kata-kata Khairy, Anwar Ibrahim tidak konsisten adalah  benar. Hal ini disokong lagi oleh Hishamuddin. Daripada tulisan Hishamuddin kita mendapat kepastian bahawa Anwar selesa berada dalam Umno. Dalam tahun 1998, ketika  beliau telah seminggu dibuang dari Umno, beliau masih mengatakan ‘Mahathir mentor saya’ dan ‘Mahathir saya anggap ayah saya’.

Daripada tulisan Hishamuddin juga, kita mendapat tahu apabila sah Mahathir benar-benar tidak mempedulikannya, barulah Anwar memilih jalan yang kita kenali pada masa ini.  

Tulisan yang begini tentulah jarang kita temukan. Khairy dan Hishamuddin berupaya memberikan pandangan secara panjang lebar tentang Anwar. Untuk memberikan faedah terbaik, saya harap saya boleh berpesan, pandangan janganlah propagandistik.

Hasilkan bicara tentang Anwar secara yang betul-betul melukiskan peribadi Anwar. Itulah yang dikehendaki oleh pembaca berilmu, dan itulah harapan Ishak Hamzah,  Pengerusi Majlis Industri Buku Malaysia, merangkap Timbalan Presiden MABOPA.