Saya telah ditanya seorang teman, “Mengapakah saudara beralih ke bicara politik? Adakah sastera sudah kehilangan taring?” Elok benar soalan di atas saya jawab pada tarikh ini, 31 Disember 2013. Esok kita akan berada dalam  2014.

Berada dalam sastera, ada satu jenis kenikmatan, manakala dalam bidang politik, ada kenikmatan lain. Demikian juga jika kita berada dalam arena bicara sukan, atau memang terlibat dalam sukan. Kesemua bidang ialah pilihan, dan kita boleh memilih satu, dua atau beberapa banyak bidang.

Jika kita berada dalam sastera, kita mungkin memilih menghasilkan puisi atau novel atau drama. Kita juga mungkin sekadar mengkritik  kesemua itu. Pengkritik sastera seperti Hashim Awang disebut orang sastera juga, walaupun beliau tidak menghasilkan cerpen, novel atau sajak. Beliau hanya mengkritik dan mengkritik.

Ada sasterawan yang memilih beberapa bidang. Baha Zain menulis kritikan sastera, beliau juga hasilkan puisi dan sebuah dua cerpen. Nahmar Jamil menghasilkan puisi dan juga celoteh sastera. Saya sebutkan hal ini kerana minat ialah hal berkaitan dengan perwatakan.

Saya ditanya tentang penyair yang terbabit dengan reformasi dan perhimpunan Bersih, juga yang kelihatan jinak dengan pemerintah. Terdapat pandangan bahawa sesiapa menentang kerajaan ialah pejuang, manakala yang menyebelahi pemerintah ialah kaki bodek. Saya masih ingat seorang Sasterawan Negara berkata, “Penyair yang baik tentu menentang kerajaan.”

Kekeliruan di atas timbul kerana kita menentukan kotak-kotak untuk seseorang atau sekumpulan orang berada di dalamnya. Jika kita menghalusi teori kotak, akan kita temukan bahawa seseorang bebas memilih kotaknya. Dia juga bebas berpindah dari kotak ke kotak.  

Ketika saya berada dalam kotak besar sastera, saya boleh memilih kotak puisi, atau kotak cerpen. Puisi ialah kotak dalam kotak besar sastera. Dengan kata lain, kotak kecil boleh berada dalam kotak besar. Saya boleh juga berada di antara dua kotak, iaitu antara puisi dan cerpen, dan karya begitu disebut puisi naratif.

Ketika saya memilih kotak besar politik, saya boleh memilih kotak pembangkang atau kotak kerajaan. Seseorang yang bersikap objektif dalam hal ini, misalnya Datuk Dr Asri Zainul Abidin,  kadang-kadang berada di sebelah kerajaan, dan kadang-kadang di sebelah pembangkang, kerana beliau memilih untuk berkata benar. Dalam politik, sesiapa memilih kebenaran, tidak akan berada di dalam satu-satu kotak secara fanatik. Politik partisan bukanlah kotak objektif.

Kerap kita dengari sebutan bahawa seseorang yang bergiat dalam bidang politik, ialah pejuang. Bolehlah kita menyebutkan mereka itu pejuang, tetapi dalam sejumlah kes, mereka bukannya berjuang, tetapi sekadar melayani minat mereka sendiri. Minat yang mendalam akan menyebabkan seseorang terlibat secara bersungguh-sungguh, misalnya meninggalkan rumah pergi berkempen di tempat lain yang asing baginya. Pemenuhan minat dikatakan perjuangan.

Dalam sastera pun begitu. Apabila Nahmar Jamil menghasilkan sajak “Kucuba Bunuh Engkau”, - bawa tema gila talak, beliau sebenarnya amat berminat menghasilkannya.  Sajak terbaik Nahmar itu telah menang Hadiah Sastera. Ternyata, minat menyebabkan beliau berjaya melukiskan lelaki yang berpisah dengan isterinya, tetapi masih mengingati perempuan itu. Nahmar Jamil tidak memperjuangkan  apa-apa melalui sajaknya itu, tetapi kesungguhannya menyebabkan karyanya naik ke tahap kesenian.

Apabila saya memilih untuk membicarakan politik, sebenarnya minat membesar dalam diri saya untuk ke arah itu. Minat untuk hasilkan bicara politik ialah kotak besar. Sesekali saya berada dalam kotak kecil, iaitu melayani isu-isu seperti kalimah ALLAH, muzakarah, Negara Islam dan lain-lain, biarpun saya tahu ahli-ahli politik hanya bermain dengan perkara-perkara itu. Ahli-ahli politik berolok-olok, sekejap menggambarkan diri mereka laksana orang amat alim, sekejap mengamalkan kebiasaan kata mengata yang menjijikkan.

Saya memerhatikan semua itu dengan teliti dan rapi. Saya akan terus menulis makalah tentang watak-watak demikian. Saya juga berminat memerhatikan aktiviti sastera dan politik secara seimbang. Demikianlah jawapan saya.