KETIKA seseorang mula membaca ulasan politik, di fikirannya selalu ada harapan. Dia berharap fikiran pengulas itu sejalan dengan fikirannya. Apabila ulasan itu bercanggah dengan titik tolak fikirannya, dia menganggap pengulas berat sebelah, lalu dia mengetepikannya.

Sebenarnya, setiap tulisan memang berkecenderungan berat sebelah. Tulisan dalam akhbar pro-kerajaan dan tulisan dalam akhbar pro-pembangkang adalah dengan pemberatan masing-masing, berat sebelah.

Pembaca pun begitu. Ada yang bersetuju dengan pandangan tertentu dan ada yang mencemuh pandangan tersebut. Itu adalah berat sebelah.

Perihal berat sebelah ini menyebabkan Brain Tracy memberikan pesanan. Katanya, jika seseorang bersua kawannya yang berfahaman politik bertentangan, bercakaplah tentang hal lain, jangan tentang politik. Si Arif (nama rekaan) dari Umno sentiasa muram ketika si Arof (nama rekaan) memuji PKR. Si Arof itu pula akan gelisah ketika si Arif menyindir PKR. Di sekitar kita, jika orang bergaduh tentang Najib dan Anwar, itu hal saja.

Pesanan Brian Tracy elok dipatuhi. Ertinya, Arif dan Arof elok bercakap tentang Angelina Jolie dan Brad Pitt untuk menimbulkan suasana ceria. Terlalu bodohlah sesiapa yang berkelahi kerana bintang filem.

Politik ialah kawasan persepsi yang melampau. Pujian melampau terhadap Khalid Ibrahim telah bertukar menjadi kecaman yang juga melampau. Ketika makalah ini ditulis, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang menerima pujian dan kecaman dalam semak-samun persepsi.

Orang Pakatan Rakyat sendiri berbalah tentang dirinya. Ada yang mengatakan Hadi bagus, berstrategi macam Rafizi, tetapi ada pula yang mengatakan Hadi tidak tetap pendirian.

Pujian dan kecaman berbalik pada sokongan kepada Anwar Ibrahim, atau sebaliknya. Pelik tetapi benar, terdapat sejumlah rakyat Malaysia mengukur bicara orang dengan menggunakan kayu ukur Anwar.

Pada tahun 1982, Mahathir yang agak rimas kerana kekuatan Pas, amat gembira dan lega kerana ditolongi Anwar. Anwar amat berguna bagi Mahathir, dan Pas kecewa kerana Anwar menyertai Umno. Kini, Anwar pula kecewa kerana Pas tidak menyokong Wan Azizah. Politik  memang berpusing-pusing begitu, Rafizi amat tahu.

Mahathir ditolongi Anwar, dan Mahathir juga menolong Anwar. Mereka sama-sama beruntung. Hasil tolong-menolong itu, Anwar mencapai kedudukan sebagai timbalan perdana menteri. Pada saya, zaman Mahathir-Anwar ialah zaman terhebat Umno berbanding zaman lain.

Mahathir sering dipuji Anwar. Tidak lama kemudian, sebagai resam politik, Mahathir bercanggahan dengan Anwar. Anwar menjadi penentang Mahathir.

Anwar kemudiannya mengetuai pembangkang. Sahabat-sahabatnya ialah Dr Chandra Muzaffar, Ezam Mohd Nor, Zaid Ibrahim dan beberapa lagi. Semua yang disenaraikan itu kemudian tidak menyetujuinya. Tokoh terbaru yang mengulangi konflik dengan Anwar ialah Khalid.

Perhatikan, Anwar dan Khalid pernah saling menolong, seperti Anwar dan Mahathir dekad 1980an. Khalid mentadbir Selangor dengan jayanya, dan sering dipuji Anwar, seperti mana pujian Anwar terhadap Mahathir puluhan tahun terdahulu.

Tidak lama kemudian Anwar menjadi penentang Khalid. Untuk beberapa lama hal ini tidak difahami Pas, namun kini mungkin Pas sudah cukup faham.

Peristiwa Anwar menentang Mahathir, dan kemudian Anwar menentang Khalid, adalah lenggok politik, yang dapat diselarikan dengan lenggok Angelina Jolie dan Brad Pitt. Janganlah hal Mahathir, Anwar, dan Khalid dibahaskan secara melampau, demikian maksud pesanan Brian Tracy.

Pengetepian kelemahan dan pemunculan kelebihan tokoh berada dalam lingkungan anjakan makna. Rancangan yang dinamakan “Langkah Kajang” bagi sejumlah pemerhati, sebenarnya negatif, tetapi ahli politik mengutarakannya sebagai tindakan yang baik. Hadi Awang tegas menyatakan bahawa Pas tidak menyetujui langkah tersebut.

Tokoh-tokoh yang akrab dengan Anwar, akhirnya bercanggahan. Mereka ialah Mahathir, Chandra Muzaffar, Nalla Karuppan, dan beberapa lagi.

Rafizi belum bercanggahan lagi, namun mungkin beliau tokoh PKR yang menunggu giliran untuk peristiwa seterusnya.

Adalah mustahil Rafizi yang dikenali sebagai ahli strategi akan berdiam diri dalam kemelut yang tebal dengan kemungkinan dan peluang ini. Manakala Azmin pula mungkin lambat sedikit.

Sesetengah pembaca tertunggu-tunggu peristiwa dramatik yang baru, manakala pembaca lain mengingini keadaan damai dan sejahtera.

*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007), dan penerima Anugerah Gapena (2013). Beliau merupakan mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya.