DI Perlis terdapat dua persatuan penulis, iaitu 3P (Persatuan Penulis Perlis) dan Aksara (Angkatan Sasterawan Indera). Pernahkah pembaca sekalian mengetahui kewujudan Aksara?   

Sesiapa yang menyukai sejarah persatuan penulis, tentu tertarik pada penubuhan dan perkembangan Aksara. Kisahnya selari dengan kisah penubuhan parti-parti politik, iaitu Parti Semangat 46 dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Sejumlah ahli 3P menubuhkan Aksara kerana bangkitnya rasa tidak senang hati kepada 3P.

Aksara tertubuh dan berkembang di bawah pimpinan Abdul Ahmad yang berpengalaman sebagai editor di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Di DBP, Abdul dulu ialah orang kuat Datuk Johan Jaafar. Beliau pakar sastera remaja.

Saya sendiri AJK Gapena ketika Abdul bertugas sebagai editor. Keupayaannya menjaga majalah terbukti apabila sebuah majalah  kelolaannya menjadi terkemuka.

Setelah dua tahun Abdul Ahmad menjadi Ketua Satu Aksara, muncul rungutan. Itu dapat kita anggap biasa saja, kerana setiap ahli mempunyai hasrat tersendiri. Namun, Ketua Satu perlu berusaha agar rungutan tidak berlebih-lebihan.  

Dalam masa Abdul Ahmad menjadi Ketua Satu, agak banyak juga aktiviti Aksara yang saya ikut serta.

Beberapa orang penulis Perlis sanggup balik ke Perlis hanya kerana aktiviti Aksara.

Itu sudah cukup untuk menandakan komitmen ahli Aksara. Namun, Ketua Satu sering menyebutkan kurangnya sambutan ahli dan orang ramai terhadap kegiatan Aksara. Beliau juga sering menyebutkan kurangnya kerjasama guru sastera dan ketua-ketua jabatan di Perlis.

Tokoh budaya, Wan Khazim Wan Din, atau lebih dikenali dengan panggilan Pak Wan, tidak menyukai rungutan demikian. Pak Wan yang pernah mengetuai Teseri (Teater Seri Indera), mengatakan halangan daripada pihak luar tidak perlu difikirkan sangat. Pandangan Pak Wan dalam mesyuarat agung Aksara baru-baru ini dipegang kuat oleh kebanyakan ahli Aksara.  

Pertembungan yang bersifat diam-diam ini telah menghasilkan pertukaran kepimpinan. Prof Madya Dr Azizan Bahari terpilih sebagai Ketua Satu Aksara yang baharu, setelah Abdul memegang jawatan itu selama 6 tahun.

Keupayaan menjaga majalah, berlainan daripada keupayaan menjaga persatuan. Masalah utama dalam persatuan ialah kepelbagaian kehendak ahli-ahli.

Inilah juga masalah parti-parti politik. Datuk Zaid Ibrahim pasti dapat menjelaskan hal ini. Saya menyebutkan nama Zaid, kerana beliau ialah mantan pelajar Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), sama dengan Abdul Ahmad, dan penggantinya Dr Azizan Bahari.

Perubahan ini drastik. Walaupun Aksara pertubuhan kecil, saya terbayangkan perubahan yang berlaku di Selangor, Pulau Pinang dan Kedah, iaitu daripada Barisan Nasional ke Pakatan Rakyat pada tahun 2008. Perubahan berlaku lagi di Kedah pada tahun 2013, iaitu daripada Pakatan Rakyat ke Barisan Nasional.  

Perubahan drastik ialah perubahan yang tidak dijangka. Berbalik pada Aksara, tidak mudah seseorang anak Melayu akan mengangkat tangan menolak pemimpin.

Lainlah jika undi itu rahsia, bukan undi angkat tangan. Mesej di sini, rasa tidak puas hati para ahli persatuan perlu difahami secara mendalam, bersandarkan ilmu psikologi dan komunikasi interpersonal.

Siapakah penulis yang kini mengambil tempat Abdul Ahmad sebagai ketua.

Dr Azizan Bahari lulusan University of Warwrick, England, dan kemudian University of Wisconsin-Madison, USA. Beliau menjadi pensyarah di Universiti Sains, dan dipinjamkan untuk memegang jawatan Pengarah Eksekutif Institut Kajian Dasar (IKD) pada tahun 1994 – 1996.

Azizan menghasilkan buku-buku tentang bidang yang dikuasainya. Judul-judul bukunya ialah Bekerja dengan Komuniti, Menghargai Kehidupan, Becoming a Volunteer, Menjadi Pemimpin dan beberapa lagi.

Untuk melayakkan beliau menjadi ketua badan sastera, beliau juga menghasilkan buku puisi, iaitu Kisah Kita. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Kerja Majlis Belia Malaysia. Pengalaman itu tentulah mematangkan dan memantapkan beliau sebagai ketua.

Minat saya terhadap persatuan seperti Aksara, sebenarnya sama besar dengan minat terhadap parti-parti politik yang sedang giat menganjakkan makna masing-masing. Pertukaran pemimpin daripada Abdul Ahmad kepada Dr Azizan Bahari, bukanlah jauh beza daripada kemungkinan pertukaran pemimpin dalam PKR, jika berlaku.

Cuma, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim menggantikan Datin Seri Wan Azizah Ismail, kejayaan mungkin akan diraikan di dalam rumah.