DI Malaysia, setelah dilayani satu isu, muncul isu lain.  Memang setiap negara dikunjungi isu, tetapi Malaysia ialah negara yang keterlaluan dalam hal ini.

Kita mulakan dengan isu terkini, iaitu peletakan jawatan wakil rakyat Kajang. Jika kita ambil logik mudah, peristiwa orang meletak jawatan adalah biasa.

Memang ada sejumlah penduduk Kajang berasa tertipu kerana tersilap memilih wakil rakyat, tetapi itu masih biasa. Itu hanyalah hal Kajang, walaupun akarnya di akal Ketua Pembangkang.

Isu ini asasnya kecil, kemudian membesar kerana diperbesar oleh hasrat besar seseorang yang kononnya mahu menjadi menteri besar.   

Bagi rakyat yang rasional, biarkan saja kepada anak-anak Ibrahim, iaitu  Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Zaid Ibrahim dan Datuk Seri Anwar Ibrahim melangsungkan kerja politik mereka.

Mereka boleh berebut-rebut untuk maksud itu, walaupun Zaid hanya turut berebut-rebut mempertahankan Khalid. Selangor ketika ini bergolak dengan tingkah anak-anak Ibrahim yang berbeza-beza. Akarnya berselirat.

Jika pengundi tidak memikirkan mana-mana anak Ibrahim, bolehlah mereka memilih Datin Paduka Chew Mei Fun. Pengundi Malaysia matang, dan soal perkauman berkurangan.

Oleh itu, seperti mana Lee Chin Cheh disokong oleh pengundi pelbagai kaum, Mei Fun juga ada kualiti sedemikian.

Bahkan, ada kekuatan lain pada diri Mei Fun, iaitu beliau ialah orang kuat MCA, parti yang sedang kembali kukuh setelah kelihatan lemah sementara waktu.

Anwar memang berpengaruh, tetapi dalam politik segala kemungkinan adalah munasabah. Pengundi Kajang boleh buat keputusan. Undilah dan berdoalah agar pemenang tidak akan meletakkan jawatan.

Kita tahu, fenomena politik di negara ini memang begitu.   Semua yang berlaku adalah berulang-ulang, dan tiada tanda semua ini membawa kesan baik. Kesan yang muncul ialah krisis berterusan.

Oleh itu, adalah baik jika kita bersikap bersahaja terhadap isu sebegini.

Isu pilihan raya Kajang berlaku serentak dengan isu sambutan 80 tahun usia Dr Kassim Ahmad. Kawan-kawannya mengusahakan acara kecil. 

Beberapa tokoh menulis kertas kerja tentang kekuatan Kassim dalam beberapa bidang. Namun, sudah adat di Malaysia, ada orang mencari hal-hal negatif untuk ditonjolkan hingga menjadi isu riuh-randah.

Ada orang Pas, ada juga orang Umno mengutuk Kassim. Umno dan Pas bersatu mengutuk Kassim, maka jalan perpaduan Pas dan Umno mula terbuka. Kassim menjadi mangsa.

Jalan ini tertutup kembali kerana ada pihak pembangkang mengatakan kerajaan tidak bertindak tegas ke atas Kassim. Selain itu, ada yang mengatakan Tun Mahathir terlibat kerana beliau merasmikan majlis Kassim.

Padahal Mahathir hanya berpesan janganlah kita semua asyik membuat label ke atas Kassim atau ke atas sesiapa saja.   

Jika kita hanya memikirkan pucuk, dan akar dibiarkan, sampai bila-bila pun hal seumpama ini tidak selesai.

Baik di Malaysia, mahupun di mana-mana, sikap skeptis terhadap agama (religious scepticism) telah lama hadir di tengah-tengah masyarakat. Demikianlah kata Ku Seman Ku Husin (Mingguan Malaysia, 23 Februari 2014).

Akan berjayakah kita memotong akar? Baik Kassim, mahupun tokoh-tokoh lain, bukannya akar. Akar ialah permasalahan di sekitar kita yang menimbulkan skeptisisme itu.

Di Malaysia terdapat aneka fahaman, baik yang dibawa oleh pertubuhan mahupun orang perseorangan. Kita tidak perlu taksub kepada Kassim, tetapi kita elok dengar kata-katanya dan baca tulisan-tulisannya, seterusnya kita buat tafsiran.

Selari dengan itu, kita baca tulisan-tulisan Datuk Dr Asri Zainul Abidin, ikutilah juga majlis ceramahnya, dan kita buat kupasan.

Kita tanggapi Kassim dan Asri, bersandarkan kekuatan akal yang ALLAH berikan kepada kita. Isu hangat akan terpadam, dan yang kekal ialah pemikiran hasil akal jernih.