SAYA agak bimbang untuk menyatakan pandangan ini. Namun, setelah berbual-bual panjang dengan Prof Datuk Isahak Haron, pendidik yang gemilang, saya menjadi yakin.

Tiada masalah jika semua mata pelajaran di sekolah di negara ini diajarkan melalui bahasa Melayu.

Ini termasuklah mata pelajaran Bahasa Inggeris (BI). Memang ada pengecualiannya, tetapi pengecualian itu hendaklah disedari, janganlah pengecualian menjadi kewajipan.

Isahak Haron memaksudkan saranannya untuk tahap sekolah kebangsaan. Saya berhasrat memperluas perkara ini ke tahap seterusnya. Jika sesuai dengan konteksnya, subjek BI wajar diajarkan melalui bahasa Melayu  di sekolah menengah, bahkan di universiti.

Hal ini demikian, kerana suasana di Malaysia adalah pelbagai. Terdapat pelajar di tahap universiti yang tidak menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa perbualan. Bagaimanakah seseorang akan mahir berbahasa Inggeris jika mereka hanya berbahasa itu di dalam kelas dan kuliah?

Adakah kita akan mencadangkan agar pelajar guna bahasa Inggeris dalam perbualan di mana-mana? Cadangan boleh dibuat, dan pernah dibuat pada masa lalu, tetapi praktiknya tidak menjadi.

Masalah suasana ini bukan mudah untuk diselesaikan. Ketika saya belajar di universiti dalam 1970an, hanya Kursus Bahasa Inggeris yang membuka ruang untuk kami berbahasa tersebut.

Sekarang pun keadaan tidak berubah di sesetengah pusat pengajian tinggi. Adakah suasana ini akan diubah, atau pengajar yang patut mengaplikasikan kaedah yang sesuai? Saya fikir, seperti yang disuarakan oleh Isahak Haron, kaedah alternatif pengajaran BI perlu didapatkan.

Pada akhir pemerintahan Tun Dr Mahathir, muncul dasar PPSMI, iaitu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Anjuran makalah ini ialah pengajaran dan pembelajaran BI melalui bahasa Melayu.

Idea ini perlu dikemukakan kerana beberapa perkara yang telah menjadi penyakit dalam sistem pendidikan kita. Kita mengamalkan pendidikan BI yang bercanggahan dengan Teori Konteks.

Sebenarnya, rakyat dalam kalangan orang Melayu akan mudah memahami pelbagai ilmu jika dikemukakan dalam bahasa ibunda. Keistimewaan, malah kewajipan mengajarkan subjek BI melalui bahasa Inggeris sendiri adalah pembohongan. Pegangan itu bukanlah hasil kajian.

Itu ialah hasil persepsi. Di sekolah dan di pusat pengajian tinggi, mata pelajaran seperti Sejarah, Ekonomi dan Sains Politik diajarkan dalam bahasa Melayu, tetapi subjek BI pantang diajar melalui bahasa Melayu. Apakah rasionalnya?

Bagi sesetengah pihak, pengantar bahasa Melayu untuk pengajaran BI ialah tanda kelemahan guru. Sebenarnya tidak demikian.

Kemahiran pengajaran ditandai oleh penguasaan kaedah dan isi pengajaran. Isahak Haron menyatakan, dalam sesetengah konteks, adalah lebih baik mengemukakan terjemahan ke bahasa Melayu daripada menunjukkan gambar kepada murid.

Beliau mengemukakan ayat: I bought a pair of new shoes yesterday. Ayat itu dapat diajarkan melalui terjemahan atau paparan gambar: “saya membeli sepasang kasut baharu semalam.” Mengikut kaedah “L1 for L2”, terjemahan lebih berkesan daripada pengemukaan gambar.

Gambar tidak membawa makna yang tepat.

Dalam wacana Isahak Haron, L1 ialah bahasa ibunda (bahasa Melayu), dan L2 ialah bahasa Inggeris. Menurut beliau, penggunaan L1 untuk mengajarkan L2 (ketika sesuai) adalah penting to facilitate pupil’s understanding of the meaning of English words and phrases.

Pengajaran bahasa Inggeris di negara kita bermaksud menjadikan pelajar mahir mencari ilmu yang pelbagai melalui bahasa dunia itu.

Namun, sejumlah pelajar dan orang ramai berfahaman pembelajaran BI bertujuan memahirkan kita semua bertutur dalam bahasa Inggeris, walaupun berada di atas beranda di kampung. Kalaupun itu tujuannya, penggunaan bahasa Melayu untuk pembelajaran BI masih berfaedah. Anggapan umum, bahasa ibunda akan mengganggu pembelajaran BI adalah karut.

Saya cadangkan, dalam suasana atau keadaan tertentu, pelajarilah bahasa Inggeris melalui pengantar bahasa Melayu. Dengan kaedah ini, mengikut Isahak Haron, “Their learning would be more meaningful and effective than without using L1 for L2.”


*Datuk Rahman Shaari ialah penerima Sea Write Award daripada Kerajaan Thailand (2007) dan penerima Anugerah Penyair Gapena (2013). Beliau ialah mantan Profesor di Jabatan Pengajian Media, UM.