Aforisme ialah deretan kata yang berupaya membina sikap positif sesiapa yang mendengar dan memahaminya. Contoh aforisme ialah perumpamaan. Apabila seseorang mendengar perumpamaan ‘Ular yang menyusur akar tidak akan kehilangan bisanya’, dia  akan segera sedar bahawa dia  elok merendah diri, kerana sikap demikian tidak akan menjatuhkan martabatnya.

Aforisme sesekali kerap muncul di hadapan kita. Sebagai contoh, saya mendengar Abdul Ahmad, Ketua Satu Aksara, mengatakan, “Hanya kita kasihani kita.”  (Akronimnya Hakikaki). Kata-kata itu membawa makna, kita semua mestilah menjaga diri sepenuhnya. Apabila  kita hadapi masalah, kita fikirkan sendiri jalan penyelesaiannya. Kita jangan terlalu harapkan bantuan orang, kerana ada kemungkinan tiada sesiapa pun yang kasihani kita. Pesanan  Abdul itu, bagi saya, ialah aforisme yang berkesan.

Dramatis, Sharif Shaary pernah mengatakan ‘Hanya yang mustahil, jadi mustahil.’  Kata-kata itu baik untuk membangkitkan semangat cuba mencapai sesuatu yang sukar dicapai. Jika awal-awal lagi kita sudah mengatakan ‘itu mustahil dan ini mustahil’, kita akan berhenti berusaha.

Penulis El-Wismo kata, perjuangan bukannya belum selesai, tetapi tidak akan selesai. Ini pun baik, walaupun sederhana bunyinya. Banyak sekali perkara sukar akhirnya jadi mudah kerana kita mahir melaksanakannya.  Kemahiran akan diperoleh jika kita berjuang terus.

Kita perhatikan pula aforisme tokoh dunia. Dalam beberapa tulisan, saya kemukakan aforisme Machiavelli, - ‘Tujuan menghalalkan cara.’ Kata-kata itu agak nakal. Elok kita ambil aforisme lain daripada tokoh yang sama: 'It is not titles that honour men, but men that honour titles' (Gelaran kebesaran tidak menjadikan manusia terhormat, tetapi manusia menjadikan gelaran kebesaran itu terhormat). Kata ini cukup bagus untuk sedarkan pihak tertentu.

Aforisme Edmund Burke berbunyi, 'No one could do a greater mistake than he who  did nothing because he could do only a little'.  Ertinya, orang gagal ialah yang tidak berbuat apa-apa kerana dia anggap dirinya boleh berbuat sedikit saja. Edmund Burke juga mengatakan, ‘Our antagonist is our helper’ (Orang yang menentang kita ialah pembantu kita).

Bertolak daripada kata-kata Edmund Burke itu, ahli politik hendaklah menghormati pihak lawan. Rakyat juga selalu melihat, pihak kerajaan membaiki prestasi kerana teguran pembangkang. ‘Lawan tetap lawan’ ialah slogan garang, tetapi dengan adanya slogan itu, pihak yang ditentangnya akan memperkukuh diri  sendiri. Kritik pihak pembangkang menyebabkan pihak kerajaan menambahkan jasa bakti kepada rakyat. Jadi, walaupun pembangkang ialah musuh (antagonist), kesannya bagus, kerana mereka juga ialah pembantu (helper).

Perkara di atas menyokong aforisme Kassim Ahmad, bahawa kerajaan ialah tangan kanan, dan pembangkang ialah tangan kiri. Kedua-dua tangan sentiasa saling membantu, misalnya ketika bayi memegang botol susu, atau ketiga penjaga gol menangkap bola.

Jadi, ketika pengundi Sungai Limau buat keputusan memilih wakil mereka, seelok-eloknya anggaplah kedua-dua Umno atau Pas baik-baik belaka, seperti pernah disebut oleh Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

Kita selalu mengkritik pihak yang kaya-raya dengan mengatakan mereka mengambil wang rakyat, tanpa kita selidiki kaedah mereka. Di utara, muncul frasa ‘Jangan biaq kat depa saja.’ (Jangan dibiarkan mereka saja yang mendapat sesuatu). Akronimnya Jabikades.  Apabila satu-satu pihak berjaya, pihak lain hendaklah berusaha dapatkan kejayaan itu, mungkin  sama tahapnya, atau kurang sedikit, malah kalau boleh, dapat lebih.

Jabikades ialah pandangan hidup tanpa mencemuh orang lain. Orang lain dapat, kita pun boleh dapat. Kita melihat ke dalam diri, mencari kekuatan, bukan melihat ke luar diri untuk mengagak kesalahan orang lain.

Jika kita berusia, kita pasti nampak kawan lama kita mencapai kedudukan yang berbeza-beza. Ada yang jadi pengusaha, ahli politik, sasterawan, ahli falsafah. Ada juga yang jelas gagal dalam hidup. Awang Abdullah mengatakan, ada antara kawan-kawan yang nasib sama untung berbeza’, satu lagi aforisme. Walau apa pun, elok kita pilih aforisme yang terbaik.