PETANG ini, sekali lagi Sinar Harian menganjurkan Wacana Sinar. Siri ke-48 ini membicarakan sebuah topik yang hangat ~ Pakatan Harapan VS Barisan Nasional; Mari Kita Nilai.

Tiga tokoh berpengalaman telah sudi untuk membicarakan topik ini. Moderator wacana ini, Nazri Kahar dari Astro Awani.

Panel pertama, Dr Maszlee Malik, memperoleh ijazah kedoktoran dalam bidang Good Governance, University of Durham, UK. Pensyarah kanan di Jabatan Fiqh & Usul al-Fiqh di Kuliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, UIAM ini juga adalah seorang pendakwah dan aktivis sosial yang juga telah menulis tidak kurang 10 buah buku yang antaranya berjudul Al-Aqsa Di Ambang Kehancuran.

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani pula adalah seorang pensyarah di School of International Studies, UUM.

Lulusan pengajian Politics And International Relations, Keele University, United Kingdom ini juga tekah menulis beberapa buah buku, termasuk yang terkini, buku berjudul Dinamika Wacana Politik Malaysia dan Global yang terbit pada tahun ini.

Beliau juga telah menulis berbelas jurnal dan berpuluh buah penyelidikan mengenai politik antarabangsa.

Panel ketiga, Wan Saiful Wan Jan adalah Ketua Eksekutif Ideas, atau Institute for Democracy and Economic Affairs, sebuah institusi penyelidikan yang memegang prinsip keadilan dan kesaksamaan yang mengusahakan solusi terhadap dasar-dasar rakyat.

Beliau pernah menganggotai pelbagai badan penasihat yang di antaranya Commonwealth Policy Studies Unit, Parti Konservatif Britain. Buah pemikirannya pernah mendapat perhatian media antarabangsa termasuk BBC, Reuters, Asian Wall Street Journal, International Herald Tribune, Al-Jazeera dan The Economist. Kini, beliau adalah kolumnis di akhbar The Star.

Semakin sehari, semakin terbentuk senario yang bakal berlaku pada PRU14. Pakatan Harapan sudah pun menghantar cadangan logonya ke Pendaftar Pertubuhan. Apabila diluluskan, buat kali pertama, parti pembangkang akan berkongsi bendera yang sama.

DAP, PKR, Amanah dan Bersatu telah berkompromi untuk mempunyai identiti yang serupa bagi menentang Barisan Nasional. Imej dacing warna putih berlatarbelakangkan warna biru gelap akan digandingkan dengan tulisan berwarna putih HARAPAN, dengan latar belakang warna merah.

Merah lawan biru. Bagi yang sudah terbiasa dengan bendera BN mereka mudah kenal kumpulan manakah yang empunya bendera itu. Buat mereka yang memandang bendera Pakatan Harapan, imej itu adalah sesuatu yang pelik kerana ia sebuah simbol baharu.

Bendera Pakatan Harapan perlu menenggelamkan imej  bendera Barisan Nasional sebelum orang awam selesa dengan kehadiran bendera itu. Memenangi hati melalui bendera adalah tugas yang berat buat Pakatan Harapan. Berat kerana ia soal memenangi hati; soal psikologi.

Kedua-dua kumpulan mempunyai tokoh-tokoh yang terkenal lagi berkaliber. Isu-isu yang berat akan dibicarakan. Siapa yang tidak kenal dengan Datuk Seri Najib, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Dr Liow Tiong Lai, Tun M, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Mohamed Sabu mahupun Dr Wan Azizah.

Tetapi yang akan menjadi tarikan audien ialah siapakah yang bercakap itu. Walaupun ia belum pasti diterjemah menjadi undi, tetapi pada kali ini, kedua-dua pihak punyai peluang yang sama rata untuk menarik perhatian.

Isu-isu yang dibentangkan belum tentu akan kekal di dalam fikiran para pengundi. Apa jua jenis habuan, insentif mahupun hadiah akan menggembirakan tetapi tidak semestinya dikenang. Begitu juga sebaliknya hal-hal skandal, penyelewengan, kecuaian dan seumpamanya hanya akan diperkata dan diperheboh, tetapi tidak akan lekat di fikiran.

Pengundi sendiri pun bukan seperti pengundi dahulu yang lurus, jujur dan baik-baik hingga sanggup memaafkan, angguk-angguk dan mengenang budi. Para pengundi sendiri pun ramai yang punyai pelbagai dosa-dosa peribadi hingga tidak berasa hairan jika ada pemimpin yang berdosa lebih besar daripadanya.

Mereka tidak akan mengundi berdasarkan siapa yang lebih kecil dosanya.

Lagipun, manusia pada hari ini punyai ingatan yang singkat. Hari ini dia marah, esok dia boleh suka kembali. Perkembangan teknologi dan kehidupan manusia itu sendiri yang menjadikan manusia sentiasa memandang ke hadapan dan jarang-jarang sekali menoleh ke belakang.

Cerita-cerita semalam tidak akan lekat jika diungkit-ungkit. Lebih baik ditutup sahaja sehingga para pengundi terlupa. Pengundi pada hari ini hendakkan hari esok yang gemilang, bukan marah-marah mengenai semalam yang penuh hitam. Pengundi hendak tahu apa yang ada untuk mereka sebelum menurunkan undi.

Mutiara kata, ‘jangan tanya apa yang negara boleh buat untuk kamu, tetapi tanyalah apa yang kamu boleh buat untuk negara’ sudah menjadi sekadar ‘apa yang negara boleh buat untuk aku.’

Inilah mantra di hati pengundi. Barisan Nasional dan Pakatan Harapan perlu penuhi kehendak ini. Para panelis  mungkin akan mengupas aspek selera pengundi pada wacana petang ini.