Perbezaan negara dunia pertama dan ketiga terletak pada sistem kenegaraan
 
Demokrasi memudahkan rakyat menilai ‘tawaran politik’ yang berbeza melalui media bebas dan ruang berdebat yang luas. Demokrasi melalui pilihan raya yang telus lagi adil memudah cara dan mempertahan hak rakyat memilih sebuah kerajaan mewakili kepentingan rakyat.Malah suara rakyat dapat didengar termasuk bantahan melalui protes, jikalau cara lain menemui kebuntuan.
 
Sebaliknya sebuah autokrasi menyekat rakyat daripada menilai sesuatu ‘tawaran politik’, sekiranya saluran media dikawal dan propaganda hitam menguasai jiwa rakyat dek ketakutan hilang kuasa atau kebencian mana-mana pihak. Hak rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya disekat melalui manipulasi. 
 
Sejarah dunia pula mencatatkan bahawa apabila hak rakyat disekat sistem autokrasi, rakyat akan bangkit bersuara dan protes atas rasa tidak puas hati terhadap sesuatu isu.
 
Gerakan ‘Arab Spring’ menjadi contoh terkini kebangkitan rakyat dengan memprotes pemerintah yang autokratik walaupun berdepan dengan segala kekuatan jentera kerajaan. Tetapi semua sekatan gergasi ini ditumpaskan melalui semangat patriotik untuk merampas kembali hak demokrasi dinafikan.
 
Kesimpulannya adalah bahawa kuasa rakyat melalui perjuangan menggunakan protes adalah hak asasi untuk menegakkan demokrasi yang akhirnya tidak boleh disekat.
 
Sejarah negara kita juga membuktikan bahawa protes itu adalah hak rakyat yang menjadi pencetus perubahan malah membawa kepada kemerdekaan. 
 
Tanpa protes menentang Malayan Union pada 1946 dan protes Hartal se-Malaya pada 1947, negara tidak akan merdeka. Kita masih dijajah British yang menggunakan sistem autokratik dengan segala jentera kerajaan, kawalan media dan undang-undang anti-demokratik untuk menyekat hak merdeka.
 
Tanpa protes Cuepacs, SBPA tidak akan dibatalkan. Tanpa protes peneroka Felda, skim penyenaraian Felda di Bursa Saham akan dipercepatkan tanpa diubah jenis hak milik tanah dan syarat penyenaraian seperti yang diumumkan. 
 
Tanpa protes “Barang Naik” dan “Anti-GST”, tidak akan ada penangguhan pembatalan subsidi makanan dan penangguhan pelaksanaan cukai GST. Pelbagai program seperti BR1M, KR1M, Klinik 1Malaysia, PR1MA dan Baucar Buku Sekolah juga tidak dilaksanakan.
 
Tanpa protes Bersih 1.0 dan 2.0, kerajaan tidak akan bertindak untuk membuat perubahan membatalkan atau meminda undang-undang anti-demokratik baru-baru ini.
 
Malangnya perubahan ‘transformasi’ undang-undang anti-demokratik ini adalah separuh jalan dan masih bersifat menyekat hak rakyat. Ini adalah usaha autokrasi yang bertopeng demokrasi untuk terus memegang kuasa. ISA dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru yang merelakan tahanan berpuluh tahun penjara dengan penghakiman yang tempang.
 
Manakala Auku dan PPPA dipinda bukan dibatalkan. Malah akta baru yang menyekat dan bukan memudahkan demokrasi seperti Akta Perhimpunan Awam diperkenalkan.
 
Tanpa protes Bersih 2.0, kerajaan tidak pula akan mewujudkan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) untuk mereformasi sistem pilihan raya negara yang terbukti pincang. Oleh itu, apabila kerajaan membentuk JPKP Pilihanraya, rakyat menaruh harapan bahawa kesemua lapan tuntutan Bersih 2.0 serta cadangan membina daripada semua pihak berkepentingan akan dilaksanakan.
 
Ternyata harapan rakyat dikhianati apabila hanya laporan JPKP Pilihanraya dengan 22 cadangan dibentangkan di Parlimen, apabila menerima satu daripada lapan tuntutan Bersih 2.0 dan menolak cadangan Laporan Minoriti pihak Pakatan Rakyat.
 
Lebih mengejutkan adalah apabila kerajaan secara ‘serang hendap’ mengusulkan dan meluluskan secara pantas pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang terus menafikan hak wakil parti politik untuk menyemak kesahihan kad pengenalan pengundi dengan Daftar Pengundi pada hari mengundi.
 
Proses pilihan raya masih ‘kotor’ kerana dikekalkan Seksyen 9A yang melarang sesiapa daripada membawa kes mahkamah melibatkan Daftar Pengundi untuk disemak ; wujudnya pengundi berganda berdaftar pada satu alamat; pengundi yang dipindah masuk atau pindah keluar kawasan secara sembunyi; dan pengundi yang ‘dimatikan’ dan disyaki pendatang asing yang diberikan kewarganegaraan untuk undi (malah cadangan Suruhanjaya Di-Raja menyiasat pemberian MyKad di Sabah ditolak).
 
Ini adalah usaha Hipokrasi Demokrasi untuk memanipulasi pilihan raya agar menjamin negara kekal sebagai sebuah autokrasi. Di antara semua rukun demokrasi, hak rakyat memilih kerajaan melalui pilihan raya yang bebas dan adil adalah rukun yang paling utama.
 
Pilihan raya memberikan mandat dan legitimasi membentuk kerajaan yang mesti mewakili dan mempertahankan kepentingan rakyat. Hak ini perlu diteruskan agar pilihan raya bebas dan adil akan tertegaknya negara demokrasi dan segala pengorbanan pejuang kemerdekaan dihargai.
 
Oleh itu, rakyat mesti bangkit dan mempertahankan hak demokrasi dan menentang segala usaha autokrasi yang lapuk lagi lesu. Cukuplah. Siapa kata protes itu bukan patriotik!