Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional mempunyai persamaan pada perkara-perkara pokok kenegaraan. Perbezaan yang wujud adalah mengenai pendekatan prinsip pemerintahan dan soal demokrasi. Secara ringkasnya ada lima persamaan dan lima perbezaan tersebut.

Lima persamaan pokok iaitu; institusi Raja-raja Melayu sebagai Ketua Negara, Islam sebagai agama rasmi, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Kedudukan Istimewa orang-orang Melayu dan penduduk Bumiputera
Rakyat harus sedar, kelima-lima tiang ini terpelihara dan tidak berubah, tidak kira siapa yang memerintah di Putrajaya.

Justeru, tidak perlu lagi mana-mana pihak cuba menimbulkan sengketa melalui media, ceramah atau tulisan - melagakan kedua-dua gagasan politik ini mengenai lima perkara pokok yang menjadi persamaan.

Perbezaan utama adalah prinsip pemerintahan negara atau mengenai di mana letaknya ‘kuasa memerintah’ - iaitu sama ada kuasa di tangan rakyat atau kuasa di tangan elit -  dalam bentuk demokrasi atau autokrasi.

Lima perbezaan prinsip dan pendekatan pemerintahan itu atau ‘5P’- adalah mengenai pentadbiran pro-rakyat; peranan Parlimen; proses pilihan raya; isu perkauman dan hala tuju pembangunan ekonomi.

Perbincangan nasional  hendaklah mencari jalan terbaik untuk menjadikan negara kita sebuah negara membangun lagi berdaya-saing dalam dunia tanpa sempadan.

Negara semakin merosot dalam prestasi tangga daya-saing, aliran wang haram, penarikan pelaburan asing, kualiti pendidikan, jurang pendapatan melebar dan peningkatan kos sara hidup.

Tumpuan perbincangan nasional semestinya berkisar kepada lima perbezaan pokok di antara Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional dan tidak dikalihkan pandangan kepada lima persamaan yang tidak perlu lagi didebatkan.

Sekiranya mahu ada perdebatan di antara kedua-dua pemimpin ia hendaklah menjawab mengapa wujudnya lima perbezaan pokok tadi.

Mengapa pentadbiran negara pro-elit dan bukan pro-rakyat sehingga rasuah dan ketirisan ekonomi sebanyak RM1 trilion dibenarkan mengalir kepada golongan elit selama ini  - atau apabila perundangan gagal melindungi hak rakyat seperti dalam kes-kes rogol bawah umur - jentera dan agensi kerajaan digunakan untuk kepentingan elit dan menindas rakyat dengan mudah - salah-guna statistik indeks jenayah yang tidak berpijak ke bumi nyata -  tiada ketelusan dalam pembelian aset negara seperti kapal selam - tiada kawal-selia mengenai projek-projek infrastruktur yang tinggi harganya seperti MRT?

Mengapa Parlimen tidak diberi hak mewakili rakyat dengan prinsip demokrasi pemisahan kuasa (separation of powers) yang memberikan kuasa memantau kementerian-kementerian dan aspek utama pentadbiran termasuk meletakkan Petronas di bawah kawal-selia Parlimen serta diberi hak merafitikasikan semua perjanjian antarabangsa seperti Mafta yang ada kesan terhadap industri berbahaya seperti Lynas dan RAGM di Raub, perjanjian penyerahan Pulau Batu Putih dan Tanah KTM Tanjung Pagar ke Singapura atau perjanjian penyerahan Blok L dan M yang kaya minyak kepada Brunei?

Mengapa pembangunan ekonomi menggunakan dasar-dasar pengherotan pasaran dan pemusatan kuasa ekonomi kepada beberapa individu dibenarkan sehingga - tangga gaji rakyat membeku manakala kos sara hidup meningkat - harga kereta dan rumah tinggi  - kos pendidikan yang tinggi memaksa rakyat berhutang besar - harga bekalan elektrik, bekalan air  dan tol lebuh raya hanya menguntungkan yang elit - penswastaan berat sebelah yang merugikan rakyat dengan bailout besar-besaran seperti MAS, Indah Water, Star dan  LRT.

Oleh itu apabila rakyat mendengar, membaca atau melihat sesuatu berita, hujah atau ceramah - adalah menjadi tanggungjawab untuk menilai dengan kerangka  ‘Lima yang sama dan lima yang beza di antara PR dan BN’.