Minggu lalu kolum ini fokus kepada PRU13, menyifatkannya sebagai peristiwa pemisah zaman mematangkan politik negara menuju sistem demokrasi dwi-parti. Sekali pun di peringkat awal ia menjejas perpaduan bangsa dan kestabilan politik negara, proses pematangan politik bukan sesuatu yang harus warga Malaysia takuti.

Sebaliknya, ia wajar kita alu-alukan kerana manfaat demokrasinya bernilai tinggi pada masa depan bangsa dan negara. Dalam kolum sama, saya juga menyarankan pemerintah bijak menerajui ekonomi negara, terutama dengan meleraikan politik daripada bisnes. Saranan dileraikan bisnes daripada politik mudah disalahertikan, justeru memerlukan penjelasan.

Hubungan politik-bisnes mesti berhikmah

Dua sebab utama ia boleh disalahertikan. Pertama, pasti ramai pejuang politik menganggap saranan dileraikan atau dijauhkan politik daripada menguasai bisnes sebagai satu anjuran anti-politik. Lebih buruk lagi andainya ada yang menganggap ia mencerminkan sikap ahli bisnes atau korporat memandang rendah atau “membenci” pejuang politik.

Kedua, pasti ada yang akan menjadikan saranan peleraian alasan untuk menuntut pemerintah menswastakan semua kepentingan bisnes GLC miliknya. Tuntutan penswastaan popular dalam kalangan pejuang ekonomi liberal proswasta kerana ia menepati slogan mereka: “kerajaan tidak wajar terbabit dalam bisnes” (the government has no business to be in business).

Tafsiran seperti ini juga pasti disambut baik golongan “Superman”, termasuk Superman Melayu ciplak, yang berhajat menyambar peluang bisnes dan membolot semua jika GLC diswastakan. Pendirian saya dalam kedua-dua hal ini, juga perjuangan Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), sangat jelas: iaitu kerana sayangkan bangsa dan negara serta mahukan perkembangan politiknya berdemokrasi cergas dan dinamis, kita wajib jauhkan politik daripada dikorupsikan bisnes, dan juga sebaliknya.

Apa pun, politik negara tidak wajar menciplak sistem liberal ekonomi melampau proswasta acuan kapitalis Barat dengan menswastakan segala-galanya, kerana penswastaan melebarkan jurang kaya-miskin, mengakibatkan kezaliman ekonomi, iaitu situasi yang kini semakin tidak disenangi Barat sendiri.

Pendewasaan dan menyusun semula rangka perhubungan politik-bisnes sangat penting dalam proses kita menuju negara maju. Bisnes mesti berkembang pesat, menambah nilai ekonomi dan pendapatan serta melipatgandakan peluang kerja baru bernilai tinggi untuk generasi masa depan.  Untuk itu, sebagai prasyarat utama, mesti ada hubungan rapat, sihat dan saling mendukungi antara politik dan bisnes.

Namun rangka perhubungan ini perlu diurus dengan telus, tegas dan bijak. Untuk menghalang politik merosakkan bisnes memerlukan disiplin organisasi, terutama mengelakkan politik sekongkolan memperalatkan bisnes hingga merosakkan ekonomi dan hidupan.

Kesekongkolan merosakkan jelas berlaku di Tunisia di bawah Zainul Abidin, Libya di bawah Muammar Gadaffi dan Mesir di bawah pimpinan Hosni Mubarak yang menyebabkan meledaknya revolusi Arab. Saranan supaya dileraikan bisnes daripada politik Malaysia persis bertujuan mengelakkan kerosakan yang boleh mengakibatkan  pemberontakan seperti ini di negara tercinta.

Pantang aktivis politik berjawatan CEO

Malangnya trend politik negara masih memperlihatkan kepimpinan yang tidak peka realiti baru, berkeras mengamalkan kesekongkolan. Sebagai contoh, keangkuhan pimpinan politik merajai bisnes dengan melantik aktivis politik sebagai CEO di GLC berlaku terang-terangan di JCorp, iaitu di syarikat Kulim Malaysia Bhd dan KFC Holdings Bhd.

Sekongkolan penguasa politik ke dalam pengurusan GLC petanda malang kerana selain merosakkan iklim bisnes dalam organisasi korporat terbabit, ia membantut pematangan demokrasi, selain berpotensi menjerumuskan negara ke kancah kronisme, korupsi dan politik nafsu-nafsi.

Sebenarnya campur tangan penguasa politik dalam urusan JCorp satu perkara luar biasa yang tidak pernah berlaku selama 40 tahun JCorp ditubuhkan (dari sejak zaman PKENJ lagi). Selaku CEO selama lebih 28 tahun (Januari 1981 - Julai 2010), saya selalu ditanya rahsia atau formula yang membezakan antara JCorp dengan 12 PKEN lain di Malaysia, yang membolehkan JCorp berprestasi luar biasa hingga nilai asetnya melebihi RM18 bilion.

Bagi menjawabnya, selalu saya tegaskan 2 ciri istimewa JCorp. Pertama, tiada campur tangan politik, justeru JCorp diberi kuasa autonomi bisnes dan kebebasan pengurusan bertindak profesional sepenuhnya. Kedua, tiada penswastaan besar-besaran saham, aset atau bisnes JCorp, memangkinkan dimanfaatkan aset dan pelaburannya kekal berpanjangan.

JCorp (PKENJ sebelumnya) amat bertuah kerana dari sejak mula lagi pengasas dan pengerusi pertamanya, Tan Sri Othman Saat (bekas Menteri Besar Johor), tegas dan gigih melindunginya daripada tekanan politik berkepentingan atau kepartian dan menjauhkannya daripada karenah birokrasi pentadbiran kerajaan.

CEO pertamanya pula, iaitu Tan Sri Basir Ismail, juga bijak menggunakan kuasa pengurusan dan sangat tegas menegakkan disiplin organisasi. Pernah terjadi salah seorang pengurus tertinggi JCorp, terpaksa meletakkan jawatan kerana berhajat menjadi aktivis politik sepenuh masa.

Selain itu, tidak pernah ahli politik atau pesara politik dilantik menjadi pengerusi, pengarah atau memegang jawatan eksekutif di syarikat JCorp. Ini dilakukan bukan dengan niat anti politik, tetapi bertujuan mengelakkan JCorp atau syarikatnya menjadi sasaran politik.

Jelas sekali, semua orang politik mempunyai musuh, sama ada di luar mahu pun dari dalam parti sendiri. Musuh akan sentiasa mencari kesalahan atau kelemahannya untuk dijadikan modal politik. Aktivis politik berjawatan dalam syarikat JCorp pasti mendedahkan syarikat atau GLC induknya kepada risiko sepak-terajang politik, menjejaskan kepentingan bisnes dan korporat JCorp.

Lagipun, pengarah atau pengurus aktivis politik pasti mempunyai agenda dan konstituen politik kepartian yang wajib diutamakan mengatasi kepentingan bisnes dan korporat syarikat. Dalam konflik atau percanggahan antara matlamat politik dengan matlamat bisnes, agenda perjuangan politik akhirnya akan tetap mengatasi matlamat bisnes.

Inilah antara faktor utama menyebabkan kegagalan PKEN/GLC atau syarikat kerajaan lain selama ini. Banyak penswastaan syarikat dan bisnes milik GLC lain berlaku dan prestasi terjejas teruk kerana kepentingan jangka panjang bisnes diketepikan dan amanah serta bisnes milik bangsa langsung dikompromi. Sampai ke tahap itu, GLC itu jelas telah dijangkiti kanser politik.

Awas kanser ekonomi

Terlalu banyak kita saksikan insiden di mana matlamat besar GLC diabaikan, dasar, peraturan dan undang-undang diketepikan, hingga pantang-larang nilai budaya serta hukum agama sekalipun dikompromi semuanya. Akibatnya, sistem tender, prosedur kontrak dan perbekalan tidak diendahkan, atau langsung dicabuli. Pelantikan dan pengisian jawatan utama dikronikan, sementara struktur gaji dan imbuhan dikompromi.

Pelanggaran disiplin organisasi berleluasa setelah budaya kerja didominasi dirajai proksi politik berkuasa. Mustahil syarikat atau GLC berbudaya seperti ini dapat menegakkan amanah dalam organisasi, dan mustahil juga amanah organisasi dapat diserahkan kepada ahli seperti dituntut oleh Islam.

Akhirnya, seperti juga yang diperingatkan Islam, mustahil GLC atau organisasi yang dijangkiti kanser seperti ini dapat berkelangsungan dengan prestasi cemerlang, sebaliknya hanya menantikan saat kemusnahan!

Kanser paling berbahaya ialah apabila aktivis politik atau proksi parti berkuasa selaku CEO GLC bermaharajalela menggunakan kuasa melaksanakan agenda politik sempit dan serong. Boleh dijangka CEO proksi politik akan mengkrompomikan amanah GLC, khasnya melindungi kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara. Apabila berleluasa, semua boleh diperdagangkan.

Hari ini pun kelihatan tanda-tanda syarikat JCorp seperti KFC dan Kulim sedang dalam proses penyusunan semula menghala ke arah penswastaan secara halus , termasuk membabitkan syarikat venture capital asing menguasai hala tujunya.

Sangat malang dan merugikan jika KFC Malaysia, iaitu korporat khazanah bangsa Melayu yang berjaya memperjuangkan bisnes makanan halal sehingga mendominasi pasaran Singapura, Cambodia dan Mumbai, selain di Malaysia dan Brunei, akhirnya diswastakan. Kemungkinan ini berlaku boleh dijangka kerana langkah memecah dan memerah aset (asset stripping) mengikut kaedah amalan kapitalis korporat global telah pun dimulakan.

Perhatikan, kaedah pecah dan perah korporat ini satu jenis kanser ekonomi paling merosakkan. Inilah antara amalan korporat kapitalis Barat yang mengakibatkan kezaliman sistem ekonomi dunia, kerana ia cuma menguntungkan segelintir Superman korporat yang terbang tinggi.

Malaysia tidak wajar menciplak sistem rakus nafsu-nafsi ini, kerana dengan menswastakan aset GLC bererti kita mengkhianati amanah hak rakyat yang sebenarnya lebih molek diwakafkan.


* Tan Sri Muhammad Ali Hashim Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM)