SASTERAWAN Negara, Usman Awang pernah menulis, “Perpaduan tidak memberi erti kalau sekadar dalam lafaz kata-kata semata. Perpaduan tidak wujud hanya dengan disuruh-suruh dan diseru-seru. Perpaduan harus diwujudkan atas kepentingan rakyat dan bukan kepentingan suatu pihak atau golongan sahaja.”

“Kepentingan rakyat” merupakan prinsip agung yang perlu diingati dalam setiap tindak-tanduk dan keputusan politik yang diambil. Setelah 15 tahun, Keadilan yang bermula dengan gerakan reformasi tertumpu kepada usaha memenuhi prinsip agung ini.

15 tahun - Survival parti bergantung pada kepercayaan rakyat, dan kepercayaan rakyat ini pula bergantung pada keputusan-keputusan diambil oleh parti secara kolektif.

15 tahun - Survival negara harus berlangsung dengan idea-idea baharu yang dikemukakan pemimpin-pemimpin yang mampu membawa perubahan, dan tidak mengikut corak yang telah dibawa atau dipengaruhi oleh tradisi politik Malaysia yang ketinggalan zaman; tidak serasi, lagi tidak relevan dengan masa depan yang diingini buat generasi mendatang.

Keadilan memperjuangkan sebuah arena politik yang bersih; mahukan pertandingan dan perbincangan yang sihat tanpa guna taktik yang tidak berbudaya untuk menumbangkan lawan. Keadilan perlu menjadi pemacu kepada budaya berbahas menggunakan hujah.

Masalah-masalah yang selama ini ditimbulkan oleh ketidakupayaan Barisan Nasional bukanlah sesuatu yang mudah untuk dibetulkan. Isu-isu seperti pendidikan, kemiskinan, pencemaran institusi kehakiman dan penzahiran nilai-nilai politik yang berkait telah menjadi semakin parah selepas hampir 60 tahun.

Pendidikan di Malaysia amat mendukacitakan kita semua. Apakah yang akan terjadi kepada negara sekiranya ini dibiarkan untuk terus reput dimamah pemikir-pemikir yang lapuk? Perubahan ini perlu bermula dengan membudayakan politik baharu dan mendidik rakyat dengan budaya baharu ini.

Isu kualiti pendidikan ini juga berkait rapat dengan isu kemiskinan. Tanpa pendidikan yang berkualiti, orang-orang miskin sukar keluar daripada kepompong kemiskinan yang amat menakutkan.

Bank Amerika Merrill Lynch meramalkan Malaysia akan menjadi muda dan miskin menjelang 2030. Dr Fatimah Kari meramalkan penarikan subsidi akan memberikan kesan yang amat besar kepada orang berpendapatan rendah, terutama Melayu.

Pada masa ini, kerajaan gah dengan kononnya angka kemiskinan tegar cuma pada 1.7 peratus, walhal rakyat semakin tersepit dengan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pengenalan GST pada 2015 kelak tentunya akan terus menjerumuskan rakyat ke arah kemiskinan.

Ketua Umum Keadilan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekali lagi berdepan dengan hukuman penjara. Tidak cukup dengan hukuman penjara lima tahun, hukuman itu ditambah semaksimum yang boleh. Sekiranya ini boleh berlaku kepada Anwar, ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Benar, masalah-masalah ini bukanlah boleh kita selesaikan dalam masa satu atau dua hari sahaja. Apakah yang akan terjadi kepada Malaysia sekiranya kita tidak mempunyai pemimpin yang berkebolehan untuk menunjukkan jalan keluar, dan jalan yang betul daripada isu-isu yang sudah melarat ini? Kita perlu memilih pemimpin-pemimpin yang boleh membawa ke arah kejayaan Malaysia dalam pilihan raya ke-14.

Bermula dari hari ini, saya mempunyai suatu iltizam untuk menjadikan masa depan sebagai pemangkin semangat untuk menjadikan Keadilan sebagai batu asas kejayaan Malaysia.

Budaya berpolitik secara berterusan bukanlah jalan keluar untuk membetulkan negara, tetapi, kita perlu memfokuskan masa yang ada untuk menentukan arah tuju dan masa depan, bukan sahaja untuk parti, tetapi untuk Malaysia dan rakyat.