MINGGU pertama bulan pertama tahun 2012 telah berlalu. Tampaknya, minggu tersebut dipenuhi suara dramatik. Ini merupakan petanda kesegaran politik Malaysia. Perdana Menteri menyatakan masa terbaik sentiasa berada di hadapan, bukan di belakang. Ini amat memberangsangkan.

Pihak pembangkang bersedia untuk menguji demokrasi. Seorang sahabat lama Datuk Seri Anwar Ibraim, iaitu Raja Petra Kamarudin, muncul menyatakan pandangannya berkaitan ‘revolusi Anwar’ (Berita Minggu dan New Straits Times, 1 Januari 2012).

Pandangannya telah diserang pelbagai pihak, dan disokong yang lain. Raja Petra menyerang balas melalui akhbar 3 Januari 2012, dan Azmin Ali tokoh PKR menggunakan frasa metaforikal ‘tembok kezaliman’ pada hari berikutnya. (Berita Harian, 4 Januari 2012). Sebelum ini beliau menyebutkan tembok penjara.

Bagi orang yang memilih ketenangan, demokrasi Malaysia sudah dirasakan cukup. Namun, pihak yang terlalu tenang pun tidak boleh diharapkan. Sejumlah pemimpin gelojoh akan mengambil kesempatan di celah-celah sikap tenang itu.

Jadi, aktivis yang progresif tetap diperlukan. Cuma, jika orang progresif berfikir untuk menggantikan pihak berkuasa kini (the incumbent), bahaya tetap berada di hadapan.

Pihak yang berjuang untuk mengambil kuasa akhirnya (apabila berkuasa) akan berbuat perkara sama, atau lebih dahsyat. Ini telah disebutkan oleh Mohamad Sabu dengan jelas dan tegas dalam satu wawancara dengan Ahmad Lutfi Othman pada 14 Jun 1998. (Ahmad Lutfi Othman, Layakkah Anwar Ketuai Reformasi, 1998).

Biarpun Mohamad Sabu bercakap 12 tahun silam, pandangannya itu perlu diperhatikan. Kata-kata Mohamad Sabu, sejajar dengan kata-kata Raja Petra Kamarudin, Datuk Nalla Karupan, dan sederet teman lama Anwar.

Itu perlu dijadikan rujukan, di samping pandangan Azmin, Saifuddin Nasution Ismail dan beberapa lagi. Mereka ialah pihak yang pernah menasihati dan juga dinasihati Anwar, dalam masa-masa yang berlainan. Sejarah Anwar yang berwarna-warni akan disalahfahamkan jika pandangan teman-temannya diketepikan.

Saya kira, selagi kita berbicara tentang tokoh-tokoh sama, kita tidak bersua dengan pihak yang kalah atau menang dalam pertarungan politik tanahair. Saya mempunyai pandangan bahawa Anwar hanyalah satu segi, atau segi lain Datuk Seri Najib.

Mereka berdua, sedikit atau banyak, menerima latihan politik daripada Tun Dr Mahathir Mohamad. Segala peristiwa pada awal tahun 2012 ialah cebisan peristiwa biasa dan ringan, cuma diberatkan oleh sentimen dan pengaruh pidato kedua-dua pihak.

Pengaruh Anwar tentulah lebih kuat daripada yang lain, kerana beliau berlatih berpidato secara tiada henti (konsisten) sejak awal dekad 1970an.

Bagi rakyat yang berada di pihak kerajaan, Malaysia ialah negara paling aman dan paling demokratik, cuma cara gaya demokrasi Malaysia perlu difahami.

Bagi pihak yang menentang kerajaan, terdapat terlalu banyak kekurangan, hingga himpunan Bersih perlu diadakan dan perlu dilangsungkan. Bagi rakyat yang bersikap sederhana pula, tiada apa-apa kekurangan besar di Malaysia. Kekurangan kecil adalah biasa, kerana mereka ini faham benar tentang jekyll dan hyde dalam politik.

Ketiga-tiga sikap dan sudut pandangan berlainan itu perlu diperhalusi dan dibawa ke perbincangan oleh pihak kerajaan dan pembangkang. Kita sedar Perdana Menteri sedang berusaha gigih memenuhi keperluan rakyat, berasaskan prinsip rakyat didahulukan.

Namun, keperluan ialah sesuatu yang subjektif, bererti apa-apa kebaikan yang dibuat oleh satu-satu pihak, akan dianggap tidak cukup oleh pihak lain. Subjektiviti juga akan menyebabkan apa-apa keburukan kecil, akan dikira besar oleh pihak berlawanan.

Oleh sebab kita menghadapi politik, perkara utama perlu ada di fikiran ialah pertimbangan saksama, agar tiada pihak dizalimi atau menjadi mangsa fitnah.

Negara akan aman dan sejahtera jika pihak diamanahkan sentiasa meletakkan kebenaran pada tempat betul dan wajar. Pembangkang hendaklah melaksanakan tugas memberikan teguran kepada kerajaan, bukan memaparkan kekuasaan. Kerajaan hendaklah membaiki kelemahan setelah mendengar teguran pembangkang, bukan hukum pihak yang menegur.

Dengan demikian, biarpun jekyll dan hyde tidak mungkin menghilang terus dari hati dan fikiran manusia, hari-hari yang baik akan kita nikmati dalam tahun ini dan seterusnya, seperti diramalkan oleh Perdana Menteri.