SIAPA yang dapat menyangka, bangunan dan premis yang tinggi tidak mampu melindungi anak-anak kita dari terbejat dengan kalung kemiskinan. Bayangkan, PPR Seri Rejang yang terletak dalam radius pusat bandar raya, antara flat kos rendah yang turut mencatatkan kes gejala sosial yang tinggi akibat struktur ekonomi keluarga yang miskin bandar. Bisikan-bisikan seperti :

"Flat kami ni, malam-malam ramai samseng, bahaya kalau tak jaga anak-anak."

"Macam mana nak hantar budak-budak sekolah, tadika mahal sangat."

"Memang nak belajar, tapi bunyi mesin, bunyi lori, bunyi tapak sebelah (tapak pembinaan) kuat sangat, pening nak tengok buku."

Alangkah perit dan pilu apabila mengenangkan kembali bait-bait luahan ibu bapa dan anak-anak yang menetap di kawasan PPR Desa Rejang, Kuala Lumpur. Lawatan saya bersama pihak Unicef Malaysia baru-baru ini memperlihatkan sisi-sisi tempang sebuah masyarakat yang pasrah dikelilingi dengan kesusahan demi kesusahan memandangkan bagi mereka itu norma kehidupan yang dipilih.

Pemerhatian yang dilihat bukanlah fenomena baharu, dan pelbagai inisiatif telah dicadangkan oleh agensi tempatan dan NGO - khususnya berhubung keselamatan, pendidikan dan kesihatan anak-anak yang mendiami kawasan kediaman penduduk miskin bandar serta pinggiran desa.

Adalah tidak wajar untuk kita menghukum anak-anak hanya kerana kegagalan orang dewasa dalam menyusun atur sosioekonomi mandiri. Tiada akses kepada makanan bernutrisi, tempat permainan yang luas dan kondusif serta bilik dan kemudahan untuk belajar adalah pengkhianatan terhadap hak kanak-kanak.

Laporan yang dikeluarkan Unicef Malaysia dengan kerjasama DM Analytics (Kanak-Kanak Pinggiran: Satu Kaji Selidik Mengenai Kemiskinan dan Penafian Hak Kanak-Kanak Bandar di Flat Kos Rendah di Kuala Lumpur) menyoroti beberapa dapatan mengejutkan, tetapi sayangnya tindakan kerajaan terdahulu sedikit defensif dan kurang proaktif.

Bahkan usul tergempar yang dibawa ke Parlimen juga dinafikan demi mendahulukan usul berkait pilihan raya. Nah, dalam tempoh 30 hari pemerintahan, pihak Timbalan Perdana Menteri telah pun mengatur pertemuan dengan pihak Unicef dan memberi komitmen akan mengambil tindakan lanjut terhadap analisa mereka.

Saya gesa agar pendedahan bahawa 1 dalam 5 kanak-kanak di Kuala Lumpur mengalami pertumbuhan terbantut dan 1 dalam 10 mengalami kurang berat badan diteliti dari awal dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selaku pelaksana dasar utama kerajaan.

Harus wujud saluran alternatif dimana anak-anak kita boleh mendapat akses kepada makanan bernutrisi semudah dan semurah akses kepada jajan dan makanan segera yang senantiasa terhidang. Buah-buahan dan susu harus diperbanyakkan dan diberikan kadar diskaun berpatutan di kantin dan koperasi sekolah. Aktiviti seperti hari kantin dan karnival di sekolah dan pusat komuniti harus diperkenalkan dengan peraturan agar kurang gula dan advokasi makanan organik serta bernutrisi.

Hal ini mustahak apabila 97% responden menampilkan kegusaran ekoran kegagalan menyediakan makanan sihat disebabkan harga di luar kemampuan. Saya gesa agar agensi berkait tampil dengan dasar dan polisi agar pihak yang menyediakan makanan sihat boleh diberikan insentif supaya mereka menetapkan harga mampu milik kepada segenap masyarakat.

Kitaran kemiskinan pastinya berkisar dari kitaran pendidikan. Maklumat berhubung isu pendidikan juga wajar diberi perhatian serius- berikutan lebih separuh daripada kanak-kanak 5 dan 6 tahun yang tinggal di kawasan PPR didapati tidak menuntut di prasekolah. Turut membimbangkan, kira-kira 500,000 pelajar dilaporkan tercicir pada tahun 2016 di seluruh negara, berdasarkan statistik Kementerian Pendidikan.

Hanya dengan menyediakan dan memastikan kanak-kanak ini hadir ke sekolah dan mengikuti jaringan pendidikan formal, akan menjamin masa depan yang cerah untuk mereka dan keluarga agar keluar dari belenggu kemiskinan.

Anak-anak adalah seperti kain putih, ibu bapa dan masyarakatlah yang bertanggungjawab dalam mencorakkan mereka. Isu gejala sosial yang melibatkan anak-anak di kawasan flat kos rendah dan pinggiran bandar ini adalah berpunca daripada krisis ekonomi dan pendidikan.

Jika kita gagal untuk menyediakan makanan yang baik untuk tumbesaran mereka, dan pastikan mereka bersekolah dan berupaya untuk menapak lebih tinggi, hal ini akan menyebabkan mereka terjerumus dalam gejala gangsterisme dan jenayah juvana.

Harus kita ingat, pintu permasalahan ini terbuka luas apabila kita enggan mengatur langkah menyelesaikan permasalahan pokok yang pada awalnya boleh dilunaskan jika diberikan perhatian wajar.

Mana-mana pihak yang tampil dengan kajian dan analisa perlu diraikan serta diberikan ruang untuk menjelaskan. Sebagai sebuah kerajaan, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menyelesaikan permasalahan rakyat.

Krisis dan isu hanya akan berterusan apabila kita gagal untuk mengakui dan menyelesaikan dalam fasa awal setelah didiagnosis. Anak-anak kita masih jauh perjalanan masa depan mereka, kita wajib selesaikan isu pokok yang timbul kini.

Saya turut mendukung usaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang sedang bertungkus-lumus untuk memperbaiki mutu hidup kanak-kanak dan komuniti yang lebih luas secara am.

Imbasan perkongsian oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail mengenai wujudnya 20,000 kes keganasan domestik serta seksual melibatkan kanak-kanak  sepatutnya menyebabkan kita semua menekan ‘butang kecemasan’ dengan kadar segera.

Dengan bantuan kementerian berwajib (termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan), strategi yang sedang dirangka mampu menggarap masa depan negara yang lebih seimbang dan berdaya saing. Usul agar belanjawan tertumpu kepada pendidikan kesihatan mental dan mewujudkan keluarga yang sihat dan produktif.

Harus wujud lebih banyak kerjasama yang berlangsung dengan agensi antarabangsa, seperti Unicef Malaysia yang telus dan terbuka dalam menerangkan permasalahan berkisar masyarakat. Siri perbincangan yang turut saya sertai sebelum Aidilfitri lalu bersama Dr. Amjad Rabi (wakil Unicef Malaysia) dan Dr. Muhammad Abdul Khalid (pakar ekonomi terkemuka) menampakkan visi yang jelas serta matlamat yang bersepadu demi mengatasi isu kanak-kanak, wanita dan masyarakat di Malaysia.

Usaha membincangkan solusi jangka pendek, semasa dan panjang diharapkan sampai ke pelaksanaan. Perencanaan program pendidikan awal, pemakanan sihat dan seimbang, keselamatan komuniti dan domestik, serta inisiatif penjagaan kesihatan buat kanak-kanak umumnya, adalah bukti kerajaan semasa komited dalam agenda reformasi sistem menyeluruh bermula seawal umur kanak-kanak yang dipelihara.

Semangat syawal yakni kemenangan melalui ibadat puasa, sepatutnya mengiringi komitmen kita melindungi kanak-kanak sebagai manifestasi kemenangan reformasi. Ini adalah perjuangan yang wajib disegerakan dan jauh lebih utama berbanding pembangunan materi dan zahiri.

* YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Permatang Pauh dan Naib Presiden Keadilan