Fitnah atau musibah yang menimpa umat Islam dilihat dari pandangan dan cakupan yang luas, merangkumi segala sesuatu yang berbentuk perpecahan, pergaduhan, permusuhan, rusuhan, perselisihan, tuduhan palsu, dan hal-hal membawa kepada keretakan hubungan Sesama kaum Muslimin.

Rasulullah SAW pernah menyebut tentang bangsa Arab dalam sabda Baginda: “Sesungguhnya Syaitan telah berputus asa untuk disembah oleh orang-orang yang salat di Tanah Arab, akan tetapi dia akan mewujudkan perpecahan (permusuhan) di kalangan mereka.” (Riwayat Muslim).

Realitinya dapat dilihat sampai ke hari ini. Walaupun masyarakat Arab merupakan bangsa yang sama, bahasa mereka gunakan adalah sama, tetapi mereka masih berpecah. Dapat kita lihat dengan mata kepala kita apa berlaku di Mesir, apa yang berlaku di Palestin pada hari ini di mana umat Islam tidak bersatu.

Terbaharu, ialah perselisihan di Lahad Datu, Sabah yang akhirnya membawa pertumpahan darah dipihak keselamatan negara kita dan juga pihak penceroboh. Kita mendoakan agar jalan perdamaian dapat dicapai dan tiada lagi nyawa terkorban.

Nabi SAW diutuskan membawa mesej keamanan. Walaupun sebelum dilantik menjadi Nabi dan Rasul, Baginda telah terkenal sebagai seorang yang amanah, memiliki ciri-ciri kepimpinan, bercakap benar, berakhlak mulia, dan menghormati orang-orang lebih tua daripadanya.

Setelah ditabal menjadi Rasul, masyarakat Arab Jahiliah gagal mencari kesalahan Nabi kerana mereka telah menghormati Baginda SAW sejak sebelum Baginda diutuskan sebagai Rasul lagi. Maka setelah ditabal menjadi Rasul, tidak ada kecacatan boleh dijadikan alasan untuk menjatuhkan Baginda, melainkan mereka terpaksa menyerang karakter Nabi.

Disebabkan tiada kesalahan Baginda yang dijumpai, akhirnya mereka melakukan tuduhan palsu ke atas Nabi SAW dan al-Quran telah merekodkan kisah tersebut. Selama 13 tahun Rasulullah SAW di Makkah berdakwah membina akidah dengan adab dan akhlak dan pada masa sama juga Arab jahiliah gagal mencari kesalahan Baginda.

Membunuh Nabi memang telah lama ada dalam perancangan, tetapi mereka gagal mencari kesalahan. Tidak ada alasan, asas dan tujuan untuk membunuh Nabi. Masyarakat Arab hidup berkabilah dan berpuak. Sedangkan kabilah Nabi –Quraisy- merupakan kabilah yang sangat dihormati dalam masyarakat Arab.

Sekiranya mereka membunuh Nabi tanpa sebab, nescaya akan berlaku peperangan di antara kabilah. Itu yang dihadapi oleh Nabi SAW. Kemudian setelah Islam yang disampaikan oleh Nabi SAW ditolak mentah-mentah oleh Arab Jahiliah dan setelah para sahabat diseksa, turunlah perintah ALLAH SWT  agar mereka berhijrah.

Nabi membawa Islam bersama para sahabat RA. Apabila tiba di Madinah, Baginda masih membawa mesej keamanan dan perpaduan. Baginda menyatukan antara Muhajirin dan al-Ansar.

Sewajarnya kita membawa mesej yang sama seperti yang dibawa oleh Rasulullah SAW. Jauhi sebarang perselisihan dan perpecahan di mana pada zaman ini, punca utama dan paling besar yang menyebabkan perpecahan berlaku di kalangan manusia adalah fitnah. Hal ini sangat mendukacitakan dan sangat dibimbangi Nabi SAW.

Baginda suatu hari pernah menyebut tentang Akbarul Kabaa-ir (dosa paling besar). Pertama: syirik kepada ALLAH. Kedua: derhaka kedua ibu bapa. Apabila Baginda hendak menyebut tentang yang ketiga, Baginda dalam keadaan duduk bertongkat lalu bangun dan menyebut: ‘Perkataan palsu, perkataan palsu, perkataan palsu!’ Dan Baginda mengulang-ulanginya sehingga sahabat Nabi berkata, alangkah baiknya jika Baginda diam.

Nabi menyamakan perkataan palsu dengan dosa syirik kepada ALLAH yang menjatuhkan pelakunya kufur dan Nabi menyamakannya dengan dosa derhaka kepada kedua ibu bapa. Itu bukti betapa dosanya sangat besar. Bukti kedua dosa tuduhan palsu ini sangat besar adalah apabila Baginda mengubah kedudukannya dari duduk bersahaja kepada bangun dan berdiri.

Bukti ketiga menunjukkan tuduhan palsu itu dosa yang sangat besar adalah Baginda mengulang-ulanginya beberapa kali. Dan dalam hadis yang lain Baginda bersabda: “Orang Islam itu adalah orang yang orang Islam lain selamat daripada lisan dan tangannya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Maka sebagai Muslim, janganlah kita mencederakan saudara Muslim yang lain dengan lisan (perkataan) mahupun tangan (perbuatan).