SEBOLEH mungkin kita mahu orang lain memahami diri kita dan persekitaran juga tunduk dengan kehendak diri kita. Kalau boleh kita mahu orang lain sama cara berfikir dengan kita dan persekitaran juga patuh dengan kesesuaian hidup kita.

Jika kita perlukan hujan, maka hujan perlu membasahi bumi. Jika kita perlukan panas maka hujan pula terus berhenti. Apabila kita susah dan perlukan simpati, mesti ada orang yang membantu. Jika kita marah orang perlu diam dan jika kita tidak suka, orang lain perlu jauhkan diri daripada kita.

Bolehkah berlaku macam itu?. Secara realiti, semua orang tidak akan sama dengan kita walaupun sedarah dan sedaging. Persekitaran tidak akan tunduk dengan kita. Jika ada orang yang membenci diri kita, tentunya kita tidak akan boleh menghalangnya. Jika taufan datang membelah bumi, kita tiada kuasa yang untuk menyekatnya. Apa yang boleh kita lakukan ialah dengan meningkatkan daya tahan dalam diri.

Apakah yang dimaksudkan dengan daya tahan sebenarnya?. Secara analoginya, jika kita menggumpalkan kertas, plastik dan getah kita akan dapati kadar perubahan kertas, plastik dan getah untuk melentur kembali dalam keadaan asal adalah sangat berbeza kadarnya.

Namun kadar gumpalan getah untuk melentur kepada keadaan asal adalah begitu cepat sekali. Mengapa getah berjaya? Ini kerana terdapat tenaga yang begitu kuat dalam getah membolehkan melentur semula menjadi keadaan asal.

Justeru, jika tenaga yang ada dalam getah itu dibuat perbandingan dengan diri manusia, maka tenaga itulah yang dinamakan sebagai daya tahan atau resilience yang tertanam dalam diri. Hakikatnya, setiap individu mempunyai daya tahan yang berbeza.

Sebetulnya, setiap insan akan mengalami kesukaran untuk meneruskan kehidupan jika tidak ada daya tahan dalam diri. Jika mereka diberikan tanggungjawab, sudah menjadi kelaziman untuk mereka cepat mengalah. Jika ditimpa musibah, mereka seperti sudah tiada jalan keluar. Pendek kata, mereka yang kurang daya tahan dalam diri mengalami kesukaran untuk berlapang dada dan terbuka dalam pemikiran.

Apa pun usaha kita, semuanya tidak kena pada mereka. Apa yang nyata, jika kita berterusan bersikap sedemikian tanpa adanya usaha untuk meningkatkan daya tahan dalam diri, lama-kelamaan kita akan menghadapi masalah gangguan mental dan emosi. Apa yang ditakuti, kita sudah tiada harga diri.

Persoalannya, adakah daya tahan ini sudah terbentuk secara semula jadi dalam diri atau kita perlu mempelajarinya? Atau adakah daya tahan ini hanya diperoleh oleh insan yang luar biasa sahaja dan bukannya untuk orang-orang biasa?. Bagi menjawab persoalan tersebut kita perlu kembali kepada fitrah kejadian manusia seperti mana firman ALLAH:

“Sesungguhnya kami ciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). Kemudian (jika ia panjang umur sehingga tua atau menyalahgunakan kelengkapan itu) Kami kembalikan dia ke serendah-rendah peringkat orang yang rendah, Kecuali orang-orang beriman dan beramal soleh, maka mereka peroleh pahala yang tidak putus-putus”. (QS At-Tin 95: 4-6).

Ini bermakna setiap individu dikurniakan kekuatan yang sama dalam diri oleh ALLAH dan daripada kekuatan itulah mereka akan membina daya tahan.

Sebetulnya, kita perlu dari masa ke semasa membina daya tahan dalam diri. Perkara paling utama yang perlu kita lakukan ialah dengan meningkatkan jaringan sosial. Kita tidak boleh hidup bersendirian dan terbatas dengan kenalan yang rapat sahaja. Kita perlu luaskan kenalan agar dapat membina interaksi yang lebih bermakna dan sihat.

Kita juga perlu aktif dalam masyarakat setempat. Agak malang, masih ramai lagi yang tidak menghargai kejiranan mereka. Jika kita ditimpa sesuatu ujian dan berbaik pula dengan ramai orang maka secara prinsipnya mereka akan datang menolong kita dan secara langsung dapat mengurangkan tekanan kita dengan masalah berkenaan.

Selain itu, kita juga perlu sentiasa optimis dengan segala ujian yang kita terima. Kita perlu yakin bahawa setiap ujian adalah suatu pengajaran yang bermakna dalam kehidupan. Kita juga perlu yakin bahawa sesuatu yang baik akan diterima oleh kita dengan ujian tersebut.

Seboleh mungkin, apabila kita ditimpa sesuatu ujian janganlah pula mengheret masalah tersebut menjadi seperti drama. Kadangkala, ada yang banyak menokok tambah peristiwa tersebut sehinggakan benda yang kecil boleh menjadi lebih besar.

Ingatlah! Ramai yang suka melihat drama. Jika kita mahukan lebih ramai melihat lakonan kita maka teruskanlah berdrama. Namun kita akan terus merana kerana sudah lupa watak asal diri kita. Teruskan berusaha untuk tingkatkan daya tahan dalam diri.

* Prof Madya Dr Huzili Hussin Dekan Pusat Pengajian Pembangunan Insan & Teknokomunikasi Universiti Malaysia Perlis