DI sana sini orang bertanya, “Bilakah pilihan raya akan diadakan?” Ada yang menjawab, “Pilihan raya akan diadakan pada Jun.”

 
Orang bertanya dan orang yang menjawabnya sama-sama tidak tahu. Jawapan itu ialah agak-agak. Pertanyaan lain pun demikian, misalnya “Siapakah yang akan bertanding?” Masing-masing akan membuat agakan dan kemudian tidak yakin dengan agakan itu.
 
Salah satu daripada beberapa banyak agakan tentang calon ialah, bahawa Ummi Hafilda Ali akan menentang abangnya Azmin Ali. Jika agakan ini benar-benar menjadi kenyataan, pertandingan antara dua beradik itu akan tercatat dalam sejarah tanah air.
 
Dalam politik Malaysia, anak-anak Ali rata-ratanya agak hebat. Kita sering mendengar nama Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Hasan Ali. Kedua-dua tokoh itu telah memaparkan keberanian untuk berada di tengah-tengah masyarakat, berjuang berlandaskan cita-cita yang jelas. Malaysia bertuah kerana kehadiran keempat-empat anak Ali itu. 
 
Jika Ummi Hafilda Ali, Azmin Ali, Hasan Ali dan Ibrahim Ali berada dalam satu parti politik, dan masing-masing bersuara dalam nada dan makna yang sama: untuk agama, bangsa dan tanah air, tentulah rakyat Malaysia berasa lega. Namun, dalam politik hal yang demikian sukar berlaku. Dalam politik aktivis mempunyai impian yang tersembunyi dan pengikut atau penyokong pula mempunyai cita rasa dan kemahuan yang berbeza-beza. Impian tokoh politik dan cita rasa serta kemahuan pengikut akan sentiasa menjadikan politik bergolak.
 
Dalam bicara kali ini, akan saya kemukakan adik-beradik sebagai bakal calon-calon yang berkesan. Azmin kini ialah Timbalan Presiden PKR. Beliau dikenali sebagai orang kuat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Azmin mempunyai cita-cita tinggi. Kebolehannya berpidato hampir-hampir sekuat Ezam Mohd Noor.
 
Azmin dapat kekal bersama-sama Anwar dalam PKR, dan kesetiaannya itu berbalas dengan jawatan yang diperolehnya. Jika beliau dapat terus bersetia dengan Anwar, dan jika PKR terus kuat, Azmin berkemungkinan terpilih untuk berada di tahap yang lebih atas. 
Secara umum, tiada orang lain yang terlihat ketara dapat mengatasi Azmin dalam PKR, selepas Datuk Zaid Ibrahim meninggalkan parti itu. Nurul Izzah Anwar terlalu muda dan tiada pengalaman untuk melaksanakan kerja besar pada masa ini, manakala Datin Wan Azizah Ismail kelihatannya terlalu bergantung pada populariti suaminya yang dikatakan anugerah Tuhan.
 
Ummi Hafilda ialah tokoh wanita berani yang tidak mahu mengalah dalam apa-apa keadaan. Sesetengah pihak menganggap Ummi selaku pengganggu dalam politik tanah air, tetapi seseorang yang rapi dalam penilaian, pasti tiba pada kesimpulan lain. Ummi ialah mangsa keadaan dan sentiasa tertekan oleh penindasan. Memang ada tuduhan itu dan ini, sama juga dengan Azmin, ada tuduhan, namun yang utama dalam politik bukanlah hal di sekitar tuduhan-tuduhan itu. Tokoh-tokoh besar politik negara – pihak pembangkang dan kerajaan – dipalitkan tuduhan, tetapi mereka tetap diterima oleh pengikut, kerana kerja pengikut ialah ikut.
 
Ummi ada kekuatan, kerana beliau tahu akan keadaan di sekitarnya, terutama hal-hal yang berkaitan dengan Azmin dan Anwar. Jika beliau diizinkan berhadapan dengan abangnya dalam pertembungan kempen pilihan raya, rakyat (pengundi) berpeluang membuat penilaian yang saksama, kerana kedua-duanya berbicara dalam satu kawasan. Keadaan akan lebih meriah jika Hasan Ali dan Ibrahim Ali hadir berkempen, sama ada menyokong Ummi atau Azmin. 
 
Perlu juga disebutkan bahawa dalam sesetengah hal, Ummi tidak dipedulikan oleh Umno. Datuk Seri Sharizat Jalil misalnya, tidak pernah memberikan tempat kepada Ummi dalam setiap urusan Wanita Umno. Oleh itu, tidaklah tepat jika dikatakan orang bahawa Ummi orang kuat Umno atau orang kuat sesiapa dalam Umno. Namun, dalam suasana kini, jika pihak Umno betul-betul mencari ‘calon boleh menang’, Ummi Hafilda elok dipertimbangkan dengan rapi dan saksama. Tidakkah Ummi berjasa besar kepada Umno?
 
Di pihak PKR pula, semua merasakan Azmin pasti menjadi calon pada pilihan raya akan datang. Terdapat tanda-tanda beliau dianggap sesuai untuk jadi Menteri Besar jika Pakatan Rakyat menang di Selangor. Oleh itu, untuk memastikan beliau mantap, eloklah beliau berlawan dengan Ummi Hafilda.