AKHIR-AKHIR ini berlaku pertikaman lidah di antara personaliti-personaliti politik tanahair. Cuma kali ini tikam lidah itu bukan menghujah mahupun mengkritik isu-isu semasa dan falsafah perjuangan. Tetapi pertengkaran jarak jauh itu berkisar mengenai hal-hal peribadi.

Apa yang berlaku puluhan tahun dahulu di antara mereka sama-sama diperkata dan diperlekehkan. Hinggakan banyak perkara yang menjadi rahsia di antara mereka pun sudah terdedah menjadi santapan gosip orang ramai. Bagaimana ya, hal-hal yang jauh sangat daripada hujah politik yang disalut ilmiah itu kini telah menjadi hamburan kata nista yang kadangkala melucukan?

Adatlah jika musuh dengan musuh yang bergaduh, kita faham akan bahangnya. Tetapi apabila kawan sesama kawan sudah bertukar menjadi musuh, api kepanasannya boleh membara hingga rentungnya persahabatan dan silaturrahim. Iyalah, apabila hal-hal peribadi sudah diperkatakan, minda, hati, jiwa dan perasaan jadi merana.

Apabila difikirkan, mengapa sampai hal-hal peribadi menjadi pokok pertengkaran? Pada saya, wacana, hujah dan debat telah ditolak ketepi kerana ia berkisar mengenai konsep dan ideologi. Apabila hal-hal peribadi sudah menjadi pokok bicara, maknanya perbalahan sudah bertukar menjadi dendam.

  Apakah itu dendam? Bagi saya, dendam adalah suatu tindakan untuk membalas apa yang dialami oleh seseorang yang berasakan teraniaya. Dendam adalah tindak balas tertangguh kerana pada waktu kejadian, yang dimangsai tiada daya mahupun niat untuk memberi tindak balas. Apabila yang menderita itu memperoleh kekuatan, maka tindak balas yang tertangguh itu dilaksanakan.

Biasa juga terjadi di mana yang dimangsai itu meminta orang lain yang bersimpati untuk membalas dendam. Orang yang muncul untuk membantu itu biasanya sahabat mahupun saudara kepada si mangsa. Cuma apa yang biasa berlaku ialah, mereka yang membantu untuk membalas dendam itu akan melakukan sesuatu yang jauh lebih memudaratkan daripada tahap kesengsaraan si mangsa.

Misalnya, jika A berlengan dengan B, dan B cedera hingga luka-luka di tubuh badannya… rakan B yang muncul pada waktu lain untuk membalas dendam, hampir pasti membelasah A hingga tinggal nyawa-nyawa ikan. Ketidakadilan biasanya akan terjadi dalam proses membalas dendam.

Dendam juga sebenarnya hanya memberi kepuasan sementara. Orang yang berjaya membalas dendam itu kononnya akan berasa berjaya dan puas. Sebaliknya, apa yang akan terjadi ialah kesan kesakitan yang berpanjangan.

Sepatutnya, jika kesalahan dimaaf dan dilupakan, luka lama akan hilang. Namun, selagi dendam masih bersarang di hati, seolah-olah orang yang mendendam itu tidak membenarkan lukanya pulih. Si pendendam itu sebenarnya telah melukakan kembali dirinya.

Sepatutnya perasaan dendam itu dialih dan dijelmakan menjadi azam untuk menjadi lebih bagus dan lebih handal daripada orang yang didendami. Hanya dengan cara itu, perasaan malang kerana dianiaya telah diatasi dengan rasa puas dengan kejayaan diri. Dendamnya terbalas juga apabila orang yang menganiaya termalu dengan keadaannya yang kini lebih lemah daripada orang yang dianiayainya.

Kita hidup di zaman yang serba moden. Yang menuntut kita bergerak ke hadapan tanpa menoleh-noleh lagi. Tidak perlulah menyimpan dendam kesumat hingga dibawa mati. Apatah lagi mewasiatkan dendam itu kepada kaum keluarga dan sanak saudara agar melampiaskan dendam itu.

Mengapa berfikiran cara orang purbakala yang berdendam hingga tujuh keturunan? Mengapa nak jadi seperti Sultan Mahmud yang menyumpah agar tujuh keturunan Laksmana Bentan diharamkan menjejak kaki ke bumi Kota Tinggi? Keturunan Laksamana Bentan bukan pelaku kesalahan kepada sultan.

Mengapa pula Mahsuri yang menghadapi maut sanggup bersumpah supaya Langkawi menjadi padang jarak padang terkukur selama tujuh keturunan? Mengapa kaitkan rakyat Langkawi sedangkan yang memfitnahnya hingga dihukum bunuh hanyalah kakaknya sendiri?  

Kalau pun marah, biarlah sekejap sahaja. Buat apa dibara kemarahan itu hingga memakan diri? Lagipun, dendam ini adalah emosi yang dibuai dan dihembus makhluk yang kita tak nampak. Jangan main-main dengan perasaan ini. Kesan perbuatan itu biasanya berskala besar.