Bahang pilihan raya umum semakin hangat dirasai ketika ini dengan menyemaraknya pelbagai program kempen anjuran parti-parti politik yang bakal bertanding. Tidak kurang kerancakan perang psikologi dan propaganda di alam siber dalam kalangan pendukung, sama ada melalui Facebook, Twitter mahupun blog-blog popular.
Walau bagaimanapun, dalam keghairahan berkempen dan berpolitik, umat harus dipasakkan dalam pemikiran agar terus berpegang teguh kepada prinsip akhlak dan nilai-nilai Islam sejati.
Kempen pilihan raya bukan pesta malam hari yang berkumandang suara-suara bersemangat pemidato-pemidato cuba meyakinkan pengundi dan bukan medan melepaskan geram dan menanam perasaan benci.
Ia tidak seharusnya menjadi pentas adu-domba dengan alunan cacian, makian apatah lagi menjual ayat-ayat suci ALLAH bagi meraih sokongan undi. Dalam konteks ini ALLAH telah memberikan amaran keras: “Dan janganlah kalian menjual ayat-ayat-Ku dengan harga yang rendah.” (Al-Baqarah:41)
Sering kali juga cerita-cerita sensasi diolah dalam pelbagai bentuk dan wajah demi memastikan persepsi rakyat dapat dicanai, sekali gus diterjemahkan dalam bentuk sokongan kepada parti-parti bertanding. Lebih merimaskan apabila masyarakat dihidangkan dengan pelbagai berita yang belum tentu kesahihannya, tetapi apabila diratib berulang kali, kepalsuan tampak bagaikan kebenaran.
Justeru rakyat harus kental berprinsip agar tidak mudah termakan dengan cerita-cerita palsu mengelirukan. Haruslah diselidiki terlebih dahulu agar kita tidak membuat keputusan salah, khususnya dalam pertimbangan memilih pemimpin.
Cukuplah amaran ALLAH dalam al-Quran dijadikan sandaran: “Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu.
Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya. Dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar.” (An-Nur:11)
Rakyat sebagai pengundi harus bijaksana dalam menilai prestasi kerja, keikhlasan berkhidmat, keseriusan calon-calon bertanding dalam mengangkat taraf kehidupan rakyat dan kemajuan negara tanpa melupakan aspek akhlak dan moral pemimpin berkenaan berpandukan sumber-sumber sahih.
Pemikiran yang diselaputi sentimen marah dan benci lantaran terpengaruh dengan hasutan sambil disulami ayat-ayat ALLAH oleh pencacai-pencacai politik berkepentingan sering kali menjurus rakyat untuk membuat keputusan yang tidak tepat dan akhirnya membinasakan masa depan umat dan negara.
Malangnya ramai ahli politik Islam sendiri ikut hanyut dalam arus budaya dan amalan politik Machiavelli yang menghalalkan segala cara demi mencapai cita-cita. Perlakuan seumpama ini secara jelas membelakangkan prinsip akhlak dan nilai keagamaan.
Ramai juga politikus berkepentingan menjustifikasikan penyimpangan yang dilakukan mereka dengan alasan, menjatuhkan parti-parti yang dianggap zalim dan menindas adalah lebih utama. Justeru apa jua helah dan penipuan dihalalkan asalkan matlamat yang didakwanya lebih mulia itu tercapai.
Pastinya hujah dangkal seperti ini amat bertentangan dengan prinsip asas Islam yang tidak pernah menghalalkan perbuatan menyimpang Syariah.
Kedangkalan nilai dan etika kini pastilah akan mudah menghakis jati diri dan membunuh idealisme perjuangan sejati.
Penyimpangan budaya politik ini juga bakal menuntun kepada permasalahan lebih besar sehingga mampu meleburkan perpaduan dan memporak-perandakan negara.
Justeru, sudah tiba masanya kita melakukan anjakan budaya dan pemikiran ke arah merealisasikan budaya politik baru lebih bermaruah. Budaya politik baru yang dimaksudkan ialah berteraskan kasih sayang dan tolak ansur sesama manusia walau berbeza parti mahupun ideologi.
Budaya politik baru ini juga mestilah berteraskan idealisme luhur dengan kekuatan ilmu dan bukannya sentimen amarah dan hasad dengki.
Lebih mustahak lagi ialah budaya politik baru mesti meletakkan prinsip agama dan nilai akhlak lebih tinggi daripada kepentingan diri dan parti.
Sesungguhnya Islam melangkaui sempadan dan geografi parti dan fahaman politik. Islam tidak wajar diperalatkan mahupun diletakkan setaraf parti politik. Sebaliknya Islam lebih tinggi daripada parti dan harus dijadikan benteng terakhir mempersatukan umat yang sedang galak berpolitik.
Penjernihan budaya politik masa kini
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini.
Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.














