SEJARAH menyaksikan bagaimana pejuang rakyat dipenjarakan daripada Nabi Yusuf a.s, rakyat-rakyat Makkah di bawah pemerintahan zalim Quraisy, Ibn Taymiyah, Hassan Al-Banna, Sayyid Quttub, Muhammad Abduh, Jamaluddin Al-Afghani, Hamka, Nelson Mandela, Aung San Suu Kyi, Kim Dae-Jung, Antonio Gramsci, Mahatma Gandhi, Liu Xiabo, Benazir Bhutto sehinggalah ke ayah saya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bapa saya dahulu pernah dipenjarakan dan sekarang berhadapan dengan kes mahkamah sekali lagi. Apakah kesalahan sebenar beliau? Beliau memperjuangkan kesamarataan, kebebasan dan keadilan buat semua, beliau menentang rasuah, menentang penindasan dan kerajaan zalim, selaras dengan tugas-tugas yang telah diamanahkan oleh rakyat. Itulah kesalahan sebenar beliau.

Mungkin ada dalam kalangan kita sebenarnya sudah melupakan matlamat kerajaan dan pembangkang. Jadi haruslah kita cuba mengingatkan kembali apakah tempat dan fungsi sebuah kerajaan yang berteraskan demokrasi.

Amanat utama sebuah kerajaan berteraskan demokrasi adalah “Memerintah secara adil demi kepentingan rakyat mengikut Perlembagaan”.

Amanat utama pihak pembangkang pula adalah “Mempertahankan hak kepentingan rakyat - melalui bersuara membangkitkan dan membantah dalam proses demokrasi mengikut Perlembagaan”.

Pendek kata, kerajaan memerintah dan pembangkang mempertahankan hak rakyat mengikut Perlembagaan.

Oleh demikian, kedua-dua pihak ini memainkan peranan demi mengimbangi antara kuasa dan hak.

Kedua-dua pihak iaitu kerajaan dan pembangkang’ mesti dilihat sebagai integral to democracy iaitu sama penting untuk demokrasi.

Malangnya, demokrasi di bawah kepimpinan kerajaan dilihat mengorbankan prinsip keadilan – melalui penggunaan undang-undang bekas penjajah iaitu Akta Hasutan dan penggunaan sistem kehakiman.

Selagi salah guna kuasa ini berterusan, selagi itu suara majoriti rakyat dan kami akan terus memegang kepada amanat - iaitu mempertahankan hak rakyat - untuk bersuara lantang menentang kebatilan dan fitnah besar?

Setelah 16 tahun dalam perjuangan ini, sekali lagi kami terpaksa melangkah ke mahkamah. Papa yang kami kasihi, sekali lagi terpaksa berdepan dengan fitnah jahat, hanya kerana mempunyai persepsi yang berbeza dengan kerajaan Pusat tentang pengurusan kenegaraan, fahaman politik dan kewajaran pembangunan ekonomi yang lebih inklusif, agar segenap rakyat jelata dapat menikmati hasil bumi Malaysia yang kita cintai ini.

Namun, setelah 16 tahun kami bergelumang dengan fitnah-fitnah yang tidak henti-henti tiba, pengorbanan kita semua dalam Parti Keadilan Rakyat tidak sia-sia. Kita telah berjaya membina sebuah parti yang benar-benar mengungguli prinsip kepelbagaian bangsa yang telah diimpikan oleh pemimpin-pemimpin kita yang terdahulu.

Tahun 2008 tahun tsunami politik Malaysia. Untuk pertama kali, Pakatan menidakkan majoriti 2/3 kerajaan. Momentum Pakatan diteruskan lagi dengan sokongan undi popular rakyat pilihan raya 2013.

Dengan kejayaan-kejayaan ini, tidak hairanlah mengapa Umno/BN amat gentar sekali dengan gelombang kebangkitan rakyat yang dicetuskan oleh pimpinan-pimpinan politik pembangkang. Amat menyedihkan apabila tindakan mereka bukan mengetengahkan kegusaran-kegusaran rakyat, tetapi dengan menimbulkan keinginan mereka untuk menghancurkan kebangkitan ini dengan memusnahkan pimpinan-pimpinan pembangkang.

Sekiranya kita menganggap kes fitnah terhadap ayah saya merupakan sebuah kes peribadi, haruslah kita anggapkan jua bahawa fitnah, amalan rasuah, provokasi antara kaum dan agama adalah perkara-perkara biasa dan boleh diterima atas dasar politik; pendakwaan selektif dan bias adalah perkara yang normal, standard kualiti pendidikan yang semakin merudum tatkala negara lain terus melangkaui kita tidak menggusarkan kita.

Ini bukanlah sebuah masalah peribadi. Sekiranya fitnah seperti ini boleh berlaku kepada Anwar, ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Tetapi, jangan kita sekali-kali mengaku kalah. Kita harus terus berjuang. Memanglah ini bukan perkara yang mudah.

Kita akan terus berjuang sehinggalah kita dapat menegakkan demokrasi yang lebih adil dan saksama, sistem kehakiman yang bebas dan adil, pasukan polis yang profesional, pilihan raya yang adil, media yang bebas, keadilan dalam pengagihan kekayaan hasil bumi, dan peluang yang sama rata.