MASIH segar di ingatan saya, penceritaan kenangan mama bersama ilmuwan ulung filasuf Islam iaitu Allahyarham Profesor Dr Isma’il Raji al-Faruqi.

Sedang mama menziarahi Allahyarham dan isteri, ditemui figura ulung itu sedang memasak kerana isterinya, Allahyarhamah Louis Lamya sarat mengandung.

Nah, ini merupakan suri tauladan yang sepatutnya diambil oleh kita, bahawasanya tugas untuk melindungi wanita itu tidak hanya tertakluk kepada pembinaan rumah semata-mata, tetapi menjauhkan beliau daripada sebarang bahaya.

Sayangnya pada Mei 1986, Allahyarham Prof Dr Ismail dan Allahyarhamah Louis mati terbunuh di kediaman mereka, di Pennsylvania, USA.

Figura seperti Allahyarham telah menjadi inspirasi bahawasanya kaum Adam mampu untuk berperanan dalam membantu urusan domestik, meskipun sibuk di lapa-ngan kerjaya dan umat.

Lihat sahaja bagaimana sirah Nabi Muhammad SAW serta para sahabat yang sering melindungi dan mengutamakan keselamatan wanita, tatkala sibuk dengan urusan agama dan negara sekalipun.

Kita sudah pun menapak dalam tahun 2018, yang turut diangkat sebagai tahun pemerkasaan wanita. Tetapi malangnya, sikap masyarakat bila berdepan dengan isu wanita masih mampu diperbaiki.

Saya tergamam apabila mendengar statistik yang dikongsikan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datin Paduka Chew Mei Fun dalam sidang Dewan Negara pada April tahun lepas.

Menurut beliau, sejumlah 57,519 kes keganasan terhadap wanita direkodkan Polis Diraja Malaysia dari tahun 2010 sehingga Mac 2017.

Lebih mengejutkan, 40 peratus daripada kes berkenaan adalah kes keganasan rumah tangga melibatkan wanita.

Jumlah 23,212 kes dalam tempoh berkenaan adalah bukti nyata bahawa wanita tetap menjadi mangsa kegilaan emosi sebahagian lelaki yang bertindak agresif.

Di samping perlakuan fizikal, golongan wanita turut ditekan secara mental atau emosi.

Daripada 228 kes pembulian siber yang dilaporkan kepada Pusat Bantuan Cyber999 sepanjang 2017 (sehingga suku ketiga), sebahagian besar daripadanya melibatkan kaum wanita.

Sebagai seorang wanita, sudah tentu saya amat bersimpati dengan kesan pembulian siber yang berlaku, sehingga mangsa mengalami tekanan perasaan dan depresi berpanjangan.

Memang benar, kewujudan Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 memainkan peranan besar dalam memberi perlindungan undang-undang buat para wanita.

Namun pada hari ini, inisiatif yang lebih padu harus dilaksanakan dalam mendidik masyarakat tentang peranan penting wanita, supaya seluruh komuniti lebih menghargai jasa kaum Hawa dalam mencorakkan institusi kekeluargaan.

Di sini, saya menggesa pihak berkuasa, agensi kerajaan, pihak NGO dan masyarakat secara amnya agar sama-sama mempertingkatkan usaha memartabatkan hak wanita, sebagai golongan insan yang seharusnya dilindungi dengan baik.

Di balik segala kudrat yang kita curahkan demi mengangkat keadaan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara, usah kita lupa pada peranan semua individu bergelar wanita yang pernah menyinari hidup kita.

Baik ibu, guru, isteri mahupun sahabat, setiap satunya harus diberi perlindungan dan penghargaan sewajarnya dalam setiap aspek kehidupan.

Sekelumit rasa kasih yang dipamerkan, mampu mengubah kehidupan kaum wanita dan memberi gambaran bahawa segala jasa disambut baik.

Maka, layanilah kaum wanita dengan adil, saksama dan berakhlak demi mewujudkan persekitaran komuniti yang harmoni.