PADA 4 Disember lalu, rakyat Rusia mengundi dalam Pilihan raya Parlimen atau Duma dalam bahasa tempatan. Walaupun tidak bertanding, pilihan raya ini ujian getir buat Perdana Menteri Putin yang juga mantan Presiden Rusia. Ini kerana beliau menyimpan hasrat untuk bertanding semula sebagai Presiden setelah tiga tahun menduduki kerusi Perdana Menteri.

Ketika musim berkempen, ramai pengamat politik menjangkakan “Parti Rusia Bersatu” pimpinan Putin akan menang besar. Tambahan lagi, parti inilah yang telah mengembalikan kegemilangan ekonomi Rusia setelah keruntuhan empayar Soviet dan kepimpinan lemah Boris Yeltsin. Namun sebaliknya berlaku. Walaupun menang, majoriti parti pimpinan Putin itu berkurangan dan hanya memenangi 49.3 peratus undi popular dan 238 kerusi dari 450 yang dipertandingkan, hilang 77 kerusi berbanding pilihan raya lepas.

Sememangnya, menjelang pilihan raya kelmarin, kemarahan rakyat membuak-buak berikutan gejala rasuah berleluasa di kalangan pimpinan parti berkuasa itu dan rencana Putin untuk bertukar kerusi dengan Presiden Dmitry Medvedev. Lebih teruk lagi, banyak tuduhan penyelewengan ketika pilihan raya seperti yang dirakamkan dalam Youtube telah dilemparkan. Ini mencetuskan demonstrasi di ibu kota Moscow dan membawa persoalan kepada pemerhati politik antarabangsa- adakah ini titik permulaan perubahan ala Timur Tengah?

Seperti dijangka, reaksi Putin ternyata keras. Beliau mengarahkan polis untuk meleraikan demonstrasi itu dan menegaskan masih akan bertanding untuk jawatan Presiden tahun depan. Namun, kemerosotan sokongan terhadap Putin dan partinya sememangnya mencalarkan imejnya sebagai pemimpin hebat dan autokrat yang mementingkan keberhasilan.

Apakah Malaysia boleh pelajari daripada episod ini? Pertama, keputusan pilihan raya jelas menunjukkan sekali lagi kuasa media alternatif. Walaupun Putin dan konco-konconya menguasai media arus perdana sepenuhnya, golongan menengah dan berpendidikan berjaya mendapatkan informasi mereka dari blog dan media sosial. Tiada apa boleh menghalang rakyat dari mencurahkan kemarahan mereka terhadap insan paling berkuasa di Rusia itu.

Seperti Kebangkitan Musim Bunga di Timur Tengah, Facebook, Youtube dan laman web sosial popular di Rusia VKontakte telah menjadi alat untuk menggerakkan kebangkitan rakyat untuk bangun menentang seorang pemerintah yang zalim.

Ini membawa saya kepada hujah seterusnya- gaya tidak boleh mengalahkan isi, terutamanya dalam membawa reformasi politik dan ekonomi. Putin terlalu taksub dengan gaya dan pesona politik. Lihatlah gambar-gambar “jantan” di internet di mana beliau difotokan sedang memburu, menunggang kuda dan menyelam skuba. Laman web Parti Bersatu Rusia itu juga ternyata canggih dan menarik dan boleh disambungkan ke akaun Facebook dan Twitter. Dengarlah ucapan Putin dan bonekanya, Medvedev. Mereka sering memuji demokrasi dan mementingkan kesefahaman dan titik tengah. Sememangnya, ini semua hasil tangan perunding imej dan pakar perhubungan awam!

Namun, imej positif yang cuba ditampilkan tidak mampu menyorok hakikat bahawa kemiskinan, penyelewengan dan gejala rasuah masih berleluasa di Rusia walaupun ekonominya bertambah maju. Walaupun bilangan oligark minyak semakin meningkat, bilangan mereka yang miskin tegar juga meningkat dari 20.6 juta pada 2010 ke 22.9 juta tahun ini.

Tambahan lagi, kebebasan politik dan sivil yang terbatas dalam zaman pemerintahan Putin tidak banyak beza dengan zaman pemerintahan Tsar Rusia atau pemerintahan komunis Soviet. Ramai bekas sekutu, musuh politik dan wartawan bebas yang telah “disenyap” dan “dilenyap” oleh kerajaan Putin.

Punca masalah Rusia ialah hasrat Putin untuk kekal berkuasa. Jika beliau berundur dengan penuh hormat pada 2008, beliau akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin yang berjaya membangunkan dan memajukan Rusia, walaupun dengan cara agak kontroversi. Tetapi kini, kerjaya beliau mungkin berakhir sebagai salah seorang pemimpin terlalu lama berkuasa dan digulingkan.

Ternyata, tiada gunanya jika pemimpin itu terlalu menggilakan imej positif dan berinteraksi dengan arus zaman jika tiada keikhlasan membangunkan negara dan memberi kebebasan kepada rakyat. Apa lebih penting ialah pemimpin itu perlu ingat bahawa mereka tidak menipu sesiapa kecuali diri sendiri, apabila berbicara soal reformasi dan transformasi tetapi mengekalkan “status quo” kuasa dan melestarikan kepentingan sendiri.