Kalau mengikut Pak E.B. White, seseorang penulis itu hanya perlu membuat apa yang dia suka, apa yang menyentuh hatinya dan apa-apa sahaja yang bisa menggerakkan mesin taipnya, kerana seorang penulis tidak perlu rasa bertanggungjawab terhadap mana-mana polar politik, kecuali kepada masyarakat yang membaca apa ditulis.

Tugas penulis bukan sekadar memberi gambaran atau mentafsir kehidupan, beliau wajib memberitahu dan mengarcakan kehidupan itu.

Kebitaraan tugas penulis itu getir, malah menakutkan jika diimbas betapa beratnya tanggungjawab. Tugas berfikir dan berkarya menuntut taat, disiplin dan pengorbanan masa yang total.

Tapi rata-rata kawan penulis saya, semuanya ada kerja tetap kerana tak mampu untuk menulis sepenuh masa. Kenapa begitu? Keluh jawapan mereka serupa, menulis di Malaysia – apatah lagi kalau genre yang dipilih itu puisi atau sastera, bukan genre cinta atau seram – alamatnya mereka cari penyakit bekalan elektrik dan internet rumah bakal dipotong. Kata mereka, tak seberapa bayaran royalti dan honorarium yang diterima.

Ketika mendengar Perdana Menteri bentang Belanjawan 2014 di Dewan Rakyat, perkara ini singgah semula di benak. Di suku terakhir ucapan, beliau sekali lagi mengulang tentang betapa besarnya sumbangan karyawan dalam landskap sosial negara, lantaran itu dana RM6 juta diperuntukkan.

Soal dana untuk karyawan ini bukan baru, pelbagai dana telah diperuntukkan untuk menopang kegiatan anak-anak seni, tapi mengapa masih ada penulis yang berasa terpinggir? Pada 27 April 2009, saya pernah menulis tentang dana penulisan RM10 juta di bawah Dewan Bahasa dan Pustaka sejak 2007. Kenapa sambutan terhadap dana itu jadi suam-suam kuku, adalah kerana syarat permohonan mengekang penghantaran genre fiksyen untuk diterbitkan.

Ada yang terkhilaf di situ, memperkasa seni, menggalakkan penulisan, membudaya sikap membaca maknanya tidak mengekang apa-apa bentuk genre penulisan, malahan kita mesti membuka aula yang lebih ruas dalam rencah kepelbagaian. Kalau ikut pengalaman dan pemerhatian saya yang tak seberapa ini, membaca fiksyen – yang lazimnya akan mengunjur kepada cinta untuk membaca puisi pula – adalah candu paling berkesan lagi murah untuk menularkan epidemik membaca dalam sesebuah masyarakat.

Manakala kalau kita mahu ikut kata cerdik pandai yang menyelidik tabiat insani, seorang profesor psikologi kognitif dari University of Toroto, mendapati golongan yang suka membaca fiksyen terdiri daripada orang-orang yang mempunyai nilai empati tinggi.

Kesan sama disimpulkan bakal terjadi sekiranya kanak-kanak didedahkan dengan pembacaan fiksyen dari usia muda.

Golongan penulis dan karyawan, hatta dari mana-mana negara sekalipun, perlu diberi tumpuan dan dibela perjuangan mereka, kerana akibat meminggirkan mereka ini boleh jadi fatal.

Semasa Afrika Selatan terbungkam di bawah sistem aparteid, kesusasteraan dijadikan senjata perjuangan untuk rakyat meloloskan diri dari cengkaman dasar itu.

Tidak perlu pergi jauh, cukup sekadar kita meneropong setakat ke Pulau Jawa sahaja, bagaimana W.S. Rendra menyindir kesenjangan sosial, ekonomi dan politik Indonesia melalui prosa-prosa puisinya.

Tiada yang boleh lupa bagaimana Rendra menukil setiap penderitaan golongan buruh Indonesia melalui puisinya, "Sajak Orang Terbuang".

Kalau memberi dana untuk mereka yang berorientasikan seni ini, tidak perlu disubjekkan kepada banyak syarat dan formaliti. Apatah lagi jika syarat tersebut diolah oleh mereka yang tak faham tentang seni.

Tak usah diwajibkan mereka bernaung di bawah mana-mana persatuan atau syarikat persendirian, bukan semua perkara boleh dicatu atau diKPIkan.

Pendekatan berbeza perlu diambil untuk mengukur kesan sesuatu yang abstrak dan halus. Cukup sekadar kita tahu betapa pentingnya sumbangan mereka dalam mencorak fabrik kehidupan. Kita mahu jadi negara maju bukan sekadar di kantung sahaja, tapi kita mahu jadi negara maju penuh jiwa.

Dan saya percaya, bahagia untuk karyawan itu sederhana. Bahagia untuk saya juga sederhana, hanya nak jadi seorang hakawati.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.