SEGALA kemelut yang kita hadapi dalam negara; dari persoalan kualiti pendidikan, kemiskinan, pembelaan golongan terpinggir, pemberdayaan masyarakat, toleransi antara kaum dan sebagainya, kita tidak dapat  mengimpikan suatu tanpa masyarakat dan negara di mana keadilan dan kesaksamaan menjadi prinsip dan batu asas matlamat pemerintahan.

Sebagai umat Islam, kita pastinya mengenali Rasulullah SAW selaku seorang tokoh yang digelar Al-Amin kerana sikap Baginda yang jujur, amanah, bijaksana; dan peranan Baginda sebagai seorang rasul, bapa, suami negarawan, panglima perang dan usahawan - semuanya sebagai tokoh yang wajar dicontohi keperibadiannya.

Sabda Baginda: "Apabila amanah sudah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat. Berkata Abu Hurairah Bagaimana mensia-siakan amanah itu? Beliau menjawab “Apabila suatu pekerjaan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kiamat (saat kehancuran).” (Hadis riwayat Bukhari)

Ketika Baginda berusia 35 tahun, di tengah-tengah konflik, antara pimpinan kabilah-kabilah dalam meletakkan Hajar Aswad ke tempatnya semula, Rasulullah dengan mudahnya membentangkan serbannya, dan meletakkan batu tersebut di tengah-tengah dan diangkat oleh kesemua pimpinan kabilah tersebut dengan memegang setiap penjuru. Kebijaksanaan keputusan Nabi itu diterima oleh mereka dengan sebutan “kami terima keputusan Al-Amin."

Begitulah sifat Al-Amin seorang rasul yang bijaksana dalam menyelesaikan konflik dalam masyarakat. Maka, di sini saya sarankan agar konsep Al-Amin diguna pakai sebagai etika pentadbiran yang mengguna pakai konsep yang saya namakan sebagai negara Al-Amin.

Negara Al-Amin ini adalah sebuah negara idaman bukan sahaja jujur dan telus pemerintahannya, malah suatu negara yang dipercayai kejujurannya dalam memberi keselamatan dan kesejahteraan kepada rakyatnya; lebih-lebih lagi kepada golongan terpinggir dan rakyat miskin dengan mengambil semangat al-Quran, Surah Quraisy, ayat 4 yang bermaksud “Tuhan yang memberi mereka penghidupan, menyelamatkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan.”

Negara Al-Amin bertujuan menjadi penjaga yang memelihara kebajikan rakyat terbanyak, bijaksana dalam mengelolakan polisi negara yang menguntungkan rakyat, sentiasa telus dan terbuka dalam perancangannya, memerangi korupsi sebagai amalan, dan juga mengangkat keadilan sebagai matlamat tertinggi.

Negara Al-Amin bukanlah sebuah negara hukum yang hanya tahu mengeluarkan segala macam perundangan dan hukuman yang didukung oleh fatwa-fatwa agama untuk menghukum rakyat marginal, termiskin dan terpinggir serta membiarkan elit-elit dan para pemerintah yang korup berleluasa; tetapi ia sebuah negara yang membentuk mekanisme yang neutral dan saksama, buta status, pangkat dan kuasa untuk memberikan keadilan setimpal bukan sahaja kepada mangsa, malah pemangsa sebagai tujuan mendidik.

Ia juga suatu konsep yang menekankan pemberdayaan sosial, pengiktirafan hak-hak asasi manusia sebagai warganegara, mengendalikan perbezaan dan kepelbagaian dalam kerangka sosial kontrak yang dipersetujui bersama, membuang kecenderungan eksklusiviti kepada metod dan pendekatan yang lebih inklusif dan terbuka kepada kritikan, menjauhi penafsiran terhadap teks-teks suci secara literal yang bersifat ekstrem akan tetapi menggali keadilan sejagat dan kesetaraan, dan menjunjung kebajikan yang progresif dalam memahami keperluan , gaya hidup dan tindak-tanduk masyarakatnya dalam menempa arus pemodenan dan globalisasi.

Konsep Al-Amin ini jika diguna pakai sebagai etika yang melatari kehidupan masyarakat bermula daripada individu, keluarga, masyarakat, seterusnya negara, akan merubah keseluruhan struktur sosial ke arah lebih baik di mana sikap individualistik dan narsisistik yang hanya mementingkan perut masing-masing, di samping kemewahan yang dinikmati digantikan dengan dasar kebersamaan dan kepedulian sebagai fungsi hidup bermasyarakat di bawah payung negara yang adil.

Semoga konsep negara Al-Amin ini menjadi matlamat kita yang holistik menyentuh dari sikap pemerintahan, mekanisme perundangan dan matlamat sosial sehingga pembentukan sikap individu-individu di dalam masyarakat dalam merubah ke arah kehidupan bernegara yang lebih baik dan saksama.