Lazimnya pembangkang dipersalahkan pemerintah; serangan terhadap mereka dihebohkan ke seluruh negara oleh media arus perdana milik parti pemerintah.

Jentera kerajaan seperti polis, badan pencegah rasuah dan badan kehakiman, kadangkala dilihat sebagai alat dan ‘jabatan khas’ ibu pejabat parti pemerintah. Realiti ini didukung undang-undang lapuk yang disalahgunakan dalam menyekat kebebasan rakyat.

Jumlah undi popular yang diraih pemerintah Barisan Nasional (BN) pada Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) adalah 51 peratus, tetapi ia tetap mendapat 63 peratus jumlah kerusi di Dewan Rakyat. Ada penganalisis yang berkata  seandainya pilihan raya bersih dari dulu, sudah lama kerajaan bertukar.

Dengan menggunakan jentera kerajaan secara terbuka, kini ditambah pula dengan tindakan tertutup termasuk keganasan berbaur politik, budaya penyebaran fitnah dan serangan peribadi termasuk percubaan mencemar imej. Keberanian dan ketelusan media alternatif membuktikan komitmen untuk membuat liputan berita sebagai wartawan.

Walaupun mungkin dicaci, disekat dan dipukul, mereka berjuang demi mendapatkan berita yang benar. Ini selaras dengan ahli Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri yang berjuang kerana amanah rakyat.

Percubaan konsisten untuk mengaburi peranan Pakatan Rakyat (PR) yang taat kepada raja, negara dan Perlembagaan Persekutuan tidak melumpuhkan kepercayaan dan tanggungjawab terhadap rakyat. PR akan terus berdebat secara  aktif di parlimen, di peringkat akar umbi, dan seperti tsunami media alternatif akan terus berani kerana amanah dan kepercayaan yang diberi rakyat.

Tanpa pembangkang, tiada pembaharuan. Segala pembaharuan adalah hasil desakan, tekanan dan perjuangan pembangkang. Tanpa tekanan, BN yang memerintah 55 tahun tidak mungkin berubah.

Bersih 1 dan Hindraf selari dengan bangkitnya kesedaran rakyat yang kemudiannya menghasilkan Tsunami Politik 2008, yang memaksa perubahan dalam pentadbiran BN termasuklah lebih hak kepada Sabah dan Sarawak. Bersih 2.0  mencetuskan Reformasi Pilihanraya dan penubuhan Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) demi menambahbaikkan proses pilihan raya, namun transformasi ini jelas separuh jalan. Peluang emas untuk mendapatkan kepercayaan rakyat  dibuang begitu sahaja tatkala laporan minoriti PSC yang disediakan PR ditolak di Parlimen.

Agenda propaganda Transformasi Nasional seperti gagasan 1Malaysia, Transformasi Pentadbiran Awam (GTP) dan Transformasi Ekonomi  (ETP).Pengumuman demi pengumuman dibuat untuk membelanjakan  wang untuk perbaiki kedudukan ekonomi negara tetapi realitinya Malaysia mengalami kadar defisit yang kritikal dan hutang Kerajaan sebanyak RM456.1 bilion.

Transformasi yang dijanjikan Perdana Menteri malangnya bukan inisiatif yang baru, tetapi meniru dari Buku Jingga, seperti Dasar Gaji Minima dan BR1M. Skandal seperti National Feedlot Corporation dan  pemberian tender  Lebuhraya Kidex membuat rakyat lebih peka masalah negara.

Inimembuktikan kerajaan kini tidak kukuh apabila berdepan masalah yang disedari rakyat. Sejarah akan menunjukkan bagaimana pilihan raya dimanipulasikan dan siapa pemenang sebenar selama ini. Rakyat akan tahu jentera kerajaan disalahgunakan dan siapa menjual rahsia pertahanan - lalu mengkhianati - negara.

Kini wujud kehidupan dua darjat antara pembangkang dan pemerintah. Rakyat perlu sedar siapa yang sering menjadi sasaran fitnah, konspirasi, tangkapan, pendakwaan, pemenjaraan, disaman, dipukul malah ada dibunuh demi  memperjuangkan hak rakyat untuk menikmati janji merdeka dan demokrasi tulen.

Bagaimana pula mereka yang hidup mewah - rumah, kereta, perhiasan - dan terlepas daripada perbuatan rasuah, memukul pegawai keselamatan, pembelian kondo untuk lembu dan bebas dari kes pembunuhan serta penjualan rahsia  pertahanan negara?

Memang benar, mehnah dan tribulasi perjuangan menjadi iktibar kerana tanpa pembangkang tiada pembaharuan. Pembaharuan dan kemajuan!