INDUSTRI persuratkhabaran mula berkembang di Eropah. Pada awalnya, akhbar ditulis tangan dan beredar di Venice pada 1566.

Akhbar bercetak pula diterbitkan secara mingguan di Jerman mulai 1609. Ia mula berkembang pesat di United Kingdom apabila kerajaan pada ketika itu melonggarkan sekatan.

Di tahun 18306-an mesin cetak besar memainkan peranan untuk menerbitkan ribuan naskhah dan akhbar berkembang di bandar-bandar utama Eropah.

Pada mulanya akhbar banyak bersandar kepada laporan politik untuk mendapat dana.

 Mulai tahun-tahun 1900-an pula dunia pengiklanan kian berkembang. Dan, akhbar sebagai medium pengiklanan memperoleh pendapatan untuk hidup hasil sumbangan pengiklanan.

Apabila radio tercipta, berita mula disampaikan melalui medium itu. Namun, radio tidak begitu menjejaskan jualan akhbar hingga munculnya televisyen pada tahun 1950-an. Televisyen melalui persembahan audio visualnya menarik sejumlah besar pembaca akhbar.

Namun, perkembangan internet pada tahun 2000 dan kemunculan telefon pintar sedekad kemudian amat memberi kesan kepada pendapatan iklan.

Banyak para pengiklan memperuntukkan sejumlah besar dana pemasarannya melalui pembelian ruang iklan. Akhbar sebagai medium pengiklanan kian ditinggalkan.

Kewujudan media sosial khususnya Facebook memberi kesan yang besar kepada akhbar cetak. Sebagai medium sembang yang popular, penerbitan akhbar ingin mencuri perhatian pengguna dengan muncul di platform itu. Walaupun terus diterima oleh khalayak pembaca, jualan akhbar bercetak kian merosot.

Syarikat-syarikat yang ingin mengiklankan produk mereka mula memperuntukkan sejumlah besar belanja iklan mereka di media sosial pula.

Instant article di mana iklan diselang-seli dengan berita di laman Facebook menjadikan khalayak pembaca semakin memandang enteng kepada akhbar bercetak. Youtube, Twitter, Instagram dan portal-portal akhbar dalam talian juga bagai menjanjikan talkin untuk akhbar bercetak.

Trend itu juga dapat dilihat pada perkembangan industri akhbar di negara ini. Akhbar-akhbar arus perdana nampaknya mengalih perhatian kepada laporan berita dalam talian.

Portal-portal akhbar-ini begitu popular kerana mendapat tempat  teratas sebagai laman yang paling banyak dilayari.

Laporan Comscore bagi  Oktober 2017 menunjukkan akhbar Harian Metro, Berita Harian, The Star, Malaysiakini dan akhbar Sinar Harian  menduduki lima tangga teratas sebagai portal-portal berita yang paling popular di Malaysia. Harian Metro mendapat lebih 47 juta pelayar yang mengunjungi lamannya.

Ini diikuti dengan The Star 25 juta, Malaysiakini 23 juta, Berita Harian, 21 juta, dan Sinar Harian 17 juta. Apabila jutaan pengunjung melayari portal berita ini, ia menarik sejumlah besar iklan daripada akhbar bercetak kepada akhbar atas talian. Ia menjanjikan potensi pengiklanan yang kian membuak.

Kini, akhbar-akhbar perdana ini mengubah cara kerja masing-masing dengan menggunakan pendekatan digital first. Wartawan pada hari ini tidak lagi menghantar laporan ke akhbar cetak supaya beritanya dapat diterbitkan pada keesokan hari.

Sebaliknya, wartawan diwajibkan menghantar berita ke portal akhbar untuk dipapar secara dalam talian kerana berita itu perlu disiarkan pada hari yang sama. Namun biasanya, berita secara live adalah pendekatan yang paling dikehendaki.

Malah, struktur organisasi syarikat akhbar dirombak dengan mengadakan sistem bilik berita bersepadu atau common newsroom di mana sesebuah berita itu disampaikan dalam bentuk tulisan, foto dan juga video.

Berita ini ditarik untuk diagih ke platform penyampaian berita di akhbar cetak mahupun secara digital.

Khalayak pembaca akan suka bilamana mereka boleh menonton sesebuah perlawanan bolasepak di stadium dengan melihat dengan mata kepalanya atau melalui telefon pintar masing-masing secara live.

Pada keesokan harinya, dia tidak perlu membelek akhbar lagi untuk membaca mengenai perlawanan semalam. Dia hanya perlu menatap ulasan perlawanan bersama dengan ulasannya di telefon pintarnya.

Kemudahan penyiaran berita melalui internet menjadikan khalayak mendapat apa yang diingininya secara cepat.

Dia akan melayari ke mana-mana sahaja hingga dia bertemu jawapan yang dikehendakinya. Syarikat-syarikat akhbar memenuhi keperluan ini secara dalam talian. Akhbar cetak semakin dilupakan.

Namun, tanpa disedari oleh khalayak, mereka menjadi semakin tumpul pemikiran. Mereka menonton, membaca dan mendengar. Tanpa sempat merenung apa yang ditatap, mereka sudah beralih ke cerita lain.

Sambil membaca, fikiran mereka diusik pula dengan iklan-iklan yang muncul tanpa salam.

Akhirnya, dunia pemberitaan menjelma menjadi dunia hiburan bila mana apa yang menarik itulah yang disukai. Kisah mangsa pelarian yang kebuluran kurang mendapat perhatian berbanding dengan kisah lembu jatuh ke dalam parit!