SIDANG Parlimen lalu merupakan sesi yang sedikit beremosi dan padat dengan diskusi dan penetapan.

Maklum sahajalah, siapa dapat menyangka Mac ini kita akan melalui Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ketiga Belas (2018) yang mendahului pilihan raya ke-14.

Timbul pelbagai persoalan, untuk apakah lagi sidang diadakan memandangkan tempoh untuk membubarkan Parlimen telah hampir di hujung tanduk.

 Jangkaan awal yakni sidang terakhir Parlimen yang turut memuatkan sesi pembentangan Bajet 2018, akan terpakai dalam kempen untuk mengekalkan tampuk pemerintahan.

 Sayangnya, bukan itu yang terjadi. Persoalannya, apakah masih berjela senarai jawapan dan statistik yang perlu dibentangkan oleh barisan Kabinet menteri kepada ahli dewan rakyat? atau terdapat pindaan dasar sedia ada yang bakal memberikan keuntungan di sebelah pihak sahaja?

 Lebih musykil lagi, mungkinkah sidang kali ini akan digunakan untuk meluluskan rang undang-undang yang bersifat otoritarian memandangkan pihak kerajaan boleh melaksana sesi belah bahagi dan mendapat majoriti mudah.

 Izinkan saya berkongsi tentang apa yang mungkin boleh dibawa dalam sidang Parlimen kali ini. Perlembagaan Persekutuan mewajibkan Suruhanjaya Pilihan Raya mengemukakan satu laporan kepada perdana menteri seperti yang disyaratkan mengikut Seksyen 8 Jadual Ke-13 Perlembagaan Persekutuan.

 Seterusnya, Perlembagaan Persekutuan  memberi  amanah kepada Dewan Rakyat, yang merupakan badan sewajarnya, untuk membuat keputusan tentang persempadanan kawasan pilihan raya.

 Untuk makluman, Mahkamah Persekutuan memutuskan, cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan urusan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) tidak boleh dipinda dengan semakan kehakiman.

 Justeru, bagi mana-mana pihak yang ingin mengemukakan bantahan perlulah melalui saluran SPR. Sesi pendengaran yang telah mula sejak 26 Februari lalu dilihat melangkaui beberapa standard pengurusan yang lengkap.

 Pakatan Harapan Selangor yang telah berjaya mengemukakan lebih daripada 250 bantahan kepada SPR untuk syor kedua mengenai cadangan persempadanan semula. Setakat ini hanya 40 bantahan sahaja yang sedang diproses, manakala 210 bantahan yang diwakili oleh 22,000 orang lagi masih belum dipanggil untuk sesi pendengaran.

 Rakyat di Selangor berhak untuk mendapatkan jawapan tuntas daripada pihak SPR. Apakah SPR akan mengambil jalan pintas dalam membentangkan laporan akhir kepada perdana menteri walaupun 22,000 orang masih belum dipanggil untuk menyelesaikan baki bantahan yang dibangkitkan?

 Persoalan yang lebih penting, apakah memanda perdana menteri tergamak untuk menerima laporan akhir persempadanan semula SPR untuk negeri Selangor, walaupun 22,000 orang masih dinafikan hak untuk didengari.

 Apakah asbab musabab yang menyebabkan SPR terburu-buru dalam menjalankan proses persempadanan semula ini? Harapnya bukanlah kerana tekanan atau desakan daripada mana-mana pihak.

 Umum mengetahui kejayaan negeri Selangor dalam menggariskan dasar dan polisi yang pro-kebajikan. Antaranya insentif untuk bayi baru lahir (Tawas), bantuan untuk mahasiswa menyambung pengajian universiti, Skim Peduli Sihat yang memberi bantuan RM700/bulan serta Skim Mesra Usia Emas.

 Ini semua merupakan insentif dan bantuan yang tidak mengira latar belakang parti politik serta merentasi sempadan kaum dan agama. Yang pasti, rata-rata rakyat di Selangor merasa gembira dan memuji polisi dan dasar kerajaan negeri sedia ada serta berharap lebih banyak bantuan dan insentif yang boleh disediakan pada masa akan datang.

 Namun demikian, langkah SPR dalam memintas 210 jumlah bantahan ini dilihat sebagai satu strategi ‘senjata makan tuan’. Sebagai sebuah badan bebas, SPR sewajibnya sehabis daya menyiapkan siasatan dan sesi pendengaran disempurnakan.

SPR tidak wajar menyerahkan laporan separuh masak kepada perdana menteri yang akhirnya akan diluluskan di Dewan Rakyat.

 Rakyat tidak naif dalam membaca pendekatan terdesak oleh mana-mana pihak yang ingin berada di tampuk kekuasaan. Namun, kita wajib mengambil satu prinsip moral supaya keputusan kita hari ini tidak bercanggah dengan kehendak rakyat.

 Dengan itu, tunggu apa lagi, bersidang tanpa menyerah!

* YB Nurul Izzah Anwar Ahli Parlimen Lembah Pantai