SPR baharu sahaja mengumumkan hari mengundi bagi PRU-14 iaitu pada Rabu, 9 Mei 2018.

Pengumuman itu dinanti-nanti dan disambut dengan penuh gembira bercampur debar oleh rakyat Malaysia yang mengikuti arus politik negara.

Laman-laman di media sosial dan portal menjadi riuh rendah bagai mendengar pengumuman kemunculan anak bulan bagi menyambut hari raya.

Semua pihak terutamanya parti-parti politik,  kedutaan-kedutaan, agensi-agensi berita, badan korporat, syarikat, institusi, pertubuhan, komuniti, kumpulan hinggalah ke peringkat keluarga membicarakan mengenai pilihanraya ini. Ramalan siapa menang dan siapa pula yang bungkus menjadi topik bualan.  

Laman-laman sosial yang sudah lama membahang kerana angin PRU mula bertukar panas.

Jentera parti-parti politik dan ahli-ahli politiknya semakin giat meneruskan kempen untuk memenangi DUN-DUN bagi memerintah negeri dan memperoleh kemenangan bagi kawasan parlimen untuk menguasai Dewan Rakyat.

Orang politik, aktivis politik, penganalisis politik dan juga jentera parti-parti politik akan bekerja kuat untuk memenangkan pihak masing-masing.

Sudah kerja dan tugas mereka begitu. Bagaimana pula kita sebagai individu yang membuka mata dan telinga bagi mendapat maklumat, berita dan gosip termasuk fake news?

Ramai sekali di kalangan kita sudah mengambil pendirian untuk condong ke kiri atau kanan. Kita layari portal, laman media, video dan audio pihak yang kita suka dan juga pihak yang kita tidak suka.

Hasrat kita ialah untuk memenuhkan naluri ingin tahu di samping membuat pengukuhan pendirian untuk menyokong sesuatu pihak. Dan, membina benteng untuk membenci pihak yang lain pula.

Malang sekali buat kebanyakan bagi kita kerana punyai perasaan hitam dan putih. Jika sesebuah pihak itu kita sokong, maka apa jua yang tidak elok pun kita terima dengan baik. Jika pihak yang satu lagi kita tak sokong, maka apa sahaja perkara yang baik pun kita tolak mentah-mentah.

Akibatnya, kita beriya-iya berkempen di laman sosial dan kumpulan sembang yang kita sertai. Kita nyatakan sokongan dan menghebahkan sokongan kita tanpa ragu-ragu lagi seolah-olah pihak yang kita sokong itu tiada dosa politik. Sebaliknya kita begitu berani membelasah pihak yang kita tidak sokong.

Apa yang tidak moleknya, kita tidak menoleh ke kiri dan ke kanan. Audien di laman-laman sosial atau kumpulan sembang bukannya hadirin di dalam sebuah dewan ceramah di mana kita boleh nampak kesemua yang ada.

Jadi, apabila kita menyuarakan sokongan ataupun kritikan tanpa timbang rasa, kita tak sedar bahawa di dalam kumpulan yang kita sertai terdapat kawan sekolah, pakcik, makcik, guru, saudara-mara, bos dan juga orang yang sama sekali berlainan pendirian daripada kita.

Orang tua-tua berkata, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Tapi, kita tidak ingat semua itu kerana seronok berkempen.

Kita rasa, apabila apa yang kita suarakan itu mendapat likes, itu tanda mereka menyokong kita. Padahal, dalam 100 likes yang kita dapat, ada beratus-ratus daripada mereka yang dislike apa yang kita suarakan.

Cuma mereka tidak mahu menyuarakan bantahan mereka.

Oleh itu, kita rasa yang kempen kita itu diterima. Padahal, kita berkempen tanpa ilmu.

Berkempen itu untuk memenangi hati agar mereka yang mengikuti hujah-hujah kita akhirnya akan menerima pandangan kita dan menyokong apa yang kita sokong.

Sebaliknya, kempen secara sembrono pula akan menjauhkan mereka untuk menerima pihak yang kita kempenkan.

Lebih buruk lagi jika ia juga menimbulkan rasa jauh hati mereka terhadap kita secara peribadi kerana pilihanraya akan tamat apabila pusat-pusat undi ditutup.

Yang akan berterusan ialah hidup kita bersama dengan mereka di sekeliling kita. Mereka inilah yang akan kita hadapi dan temui pada hari-hari selepas itu.

Menyokong ahli-ahli politik jangan pula seperti kita menyokong ahli gusti. Kita terpersona menonton mereka membelasah di antara satu sama lain.

Kita terkeliru bahawa ia adalah sebuah sukan yang mana apabila perlawanan tamat, masing-masing akan bertegur sama dan terus jadi kawan.

Ahli-ahli politik pun sama. Di pentas-pentas politik mereka bercakap apa sahaja dengan lantang dan tegas.

Apabila mereka turun ke tanah dan jauh dari lampu sorot, mereka minum kopi bersama dan berlawak jenaka. Mereka rasional, kita yang emosional.

Kita tidak sedar bahawa bertekak dan bertikam lidah adalah kerjaya mereka lebih-lebih lagi di musim pilihanraya. Selepas 9 Mei, ahli-ahli politik yang menang akan angkat sumpah.

Jangan nanti kita terus menerus kena sumpah kawan-kawan kerana menyampah dengan perangai kita!