GURUH berdentum membangkitkan saya dari tidur. Selepas tahajjud sebentar tadi, saya bercadang hendak sambung tidur. Sebelum tergolek semula, memang sudah terbiasa, saya akan membelek telefon dahulu. Saya meneliti mesej-mesej yang masuk termasuk di Facebook lalu terpandang personal message (PM) daripada Abdul Rahman Adam.

Pak Rahman adalah super senior saya di sekolah. Rakan sekelas kepada abang saya pula. Namun, komunikasi melalui Facebook menjadikan saya berkenal dan berkawan dengannya. Sejak adanya laman Anak Mersing di Facebook, maka kami kerap juga berhubung.

Pak Rahman adalah bekas pegawai askar. Kini menetap di pinggir Kuala Lumpur dan menjalani kehidupan yang santai. Kerap juga saya berkunjung ke lamannya untuk mengikuti aktiviti beliau yang antaranya melukis. Ya, Pak Rahman memang berbakat dalam melukis.

"How  are you?" Begitulah dia menegur di kotak mesej. Saya melihat  waktu  mesej dihantar. 4.22 pagi. ‘Wah, Pak Rahman ni kirim mesej usai tahajjud juga, kot?’ detik hati saya.

Lantas saya teringat majlis perpisahan di mana saya dan Puan Sri Diah diraikan sebagai wira dan serikandi pada petang semalam. Majlis meriah itu diadakan kerana kami berdua mula bersara pada 30 Jun lalu. Acara itu diadakan live di laman sosial Alaf 21, iaitu di antara syarikat penerbitan tempat kami bernaung.

Banyak juga posting daripada rakan-rakan mengenai majlis itu di laman Facebook masing-masing. Barangkali Pak Rahman terpandang status mengenai majlis  itu dan ingin menyapa serta bertanya khabar.

"Today is the happiest day of my life!" Pak Rahman mengirim mesej sebaik sahaja saya membalas tegurannya. Saya teruja dan sudah tentu ingin tahu apa yang menggembirakannya. "Apa cerita, pak?" tanya saya kembali. "Hari ini saya terima AS$150,000!" balas Pak Rahman.

"Alhamdulilah. Terima daripada siapa?"  "Saya dapat daripada Yayasan Kelly Smith. Yayasan itu menolong sesiapa sahaja yang memohon untuk perniagaan dan juga untuk membantu orang lain!"

Minda saya terus terfikir, mungkin Pak Rahman mahu melabur  dalam perniagaan saya! Agaknya apabila membaca berita persaraan saya dan kebetulan pula dia mendapat wang yang banyak, dia mahu membantu saya di samping mendapat pulangan. "Bagus tu, Pak Rahman. Wang itu banyak. Boleh juga dimanfaatkan untuk perniagaan dan kerja-kerja amal." Demikian saya mencelah.

"Mahukah anda berbuat perkara yang sama?" Tanya Pak Rahman lagi. Soalan itu membuat saya terpempan. ‘Anda?’ Pak Rahman panggil saya ‘anda’ dan bukan Pak Norden seperti lazimnya? Pelik sungguh penggunaan ‘anda’ ini. Oh, oh!

Naluri seorang wartawan segera merangsang dan menyerang minda saya. Lantas saya membuat carian nama Abdul Rahman Adam di laman sosial itu. Terus saya terjumpa dua nama yang sama, dengan imej profil yang sama juga. Namun, profil yang di atas mempunyai nama Abdul Rahman Adam dengan 240 mutual friend sementara yang satu lagi Abdul Rahman Adam dengan 40 mutual friend.

Syak saya benar. Satu profil tulen. Yang satu lagi akaun palsu! Apabila saya membuka profil yang kedua, saya dapati halaman itu baru sahaja dibuka pada 1 Julai lalu. "Sah, ini spam!"  kata hati saya. Lantas saya menelefon Pak Rahman. Panggilan tidak berjawab.

Sementara itu Abdul Rahman Adam yang palsu mengirim sebuah pautan yayasan yang beliau maksudkan, dengan mesej agar saya membuka untuk memohon dana. Secara spontan saya mengkliknya. Namun tidak aktif. Tiba-tiba bulu roma saya berdiri!

"Bagaimana kalau pautan itu membolehkan Abdul Rahman Adam yang palsu mengakses segala kata laluan daripada fon saya?" Rasa kesal mula menghantui pula fikiran ini. Lantas saya membuka salah sebuah akaun bank saya. Alangkah terkejutnya dalam akaun itu hanya ada RM30 saja bakinya.

Peluh dingin mula merembes di tengkuk saya. "Habislah duit aku…" Namun, bila saya bertenang kembali, barulah saya ingat dalam akaun saya itu sememangnya hanya ada RM30! (Ha ha, saya melawak ni!) Bagaimanapun, saya menukar kata laluan di akaun-akaun bank saya sebagai langkah keselamatan.

Lebih kurang jam 9 pagi, Pak Rahman menghubungi saya. Apa-bila saya menceritakan apa yang terjadi, beliau tertawa berdekah-dekah. "Sebenarnya dah dua-tiga orang yang hubungi saya bertanyakan betul ke saya yang dapat duit daripada yayasan itu. You pun tahu, selepas pencen ni, saya hanya naikkan status pasal makan, lukisan dan hal-hal ibadah. Entahlah, dia orang ni, nak cari duit dengan cara mudah dengan menipu!"

Mujur. Mujur sangat kerana saya hampir terpedaya dengan kelentong di penipu di alam maya ini. Saya yang pantang menjawab panggilan daripada nombor yang tidak bertuan dan berjaga-jaga bila disapa oleh orang yang tidak dikenali pun boleh terkena juga.

Orang tua kata, malang tak berbau. Saya pula tambah, kalau malang itu berbau, tentu baunya busuk dan kita akan lari menjauhinya!

Carian saya baru-baru ini mendapati akaun palsu Abdul Rahman Adam telahpun dipadam.

* Norden Mohamed ialah Penasihat Grup Buku Karangkraf