Saya geleng kepala banyak kali. Otak saya tidak dapat menerima hakikat kenyataan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang memberitahu Dewan Negara bahawa seramai 24,813 orang dimasukkan ke hospital kerajaan kerana masalah berkaitan mental tahun lalu.

“Setakat ini kita ada empat institusi mental di seluruh negara, 42 hospital kerajaan yang menyediakan perkhidmatan rawatan mental dan 124 pakar dalam bidang tersebut,” katanya kepada soalan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman (Pas-Pengkalan Chepa).

Ramainya! Jumlah itu rupanya semakin meningkat setiap tahun. Hakikatnya pesakit mental semakin bertambah. Sebab itulah semakin banyak kejadian tidak munasabah berlaku akhir-akhir ini angkara gangguan mental. Bunuh sadis, bakar orang, sumbat mayat dalam beg plastik, dera anak, seks bebas… semua itu antara sakit mental yang dikenal pasti.

Kenapa seks bebas termasuk dalam kategori gangguan mental? Soalan ini jenuh hendak menjawabnya. Agaknya seks bebas dilakukan kerana ada gangguan mental apabila melihat lawan jenis? Tidak kiralah lawan jenis itu seorang wanita tua, isteri orang, janda, anak dara, budak sekolah ataupun kanak-kanak.

Angka 152,182 anak luar nikah yang direkodkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dari 2008 hingga 2010 juga saya golongkan kepada pasangan yang mengalami gangguan mental apabila otak yang diletakkan di kepala sudah jatuh ke tempurung lutut.

Atas kegagalan membezakan dosa dan pahala itu, Sabah mencatat angka tertinggi dengan 41,490 orang, diikuti Selangor (18,983) dan Sarawak (17,570). Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) kononnya telah menjalin kerjasama strategik dengan Jabatan Latihan Khidmat Negara bagi mengintegrasikan pendidikan kesihatan reproductive dan sosial.

Program itu khabarnya telah melibatkan 64,000 remaja mengenai pendidikan dan risiko yang terpaksa ditempuhi kerana tindakan mereka. Setakat ini kita tidak nampak lagi sejauh mana integrasi ini berjalan. Belum ada sebarang tindakan yang jelas kelihatan. Sudah dilaksana atau belum?

Pada penghujung 2011 kita seram sejuk membaca kejadian pembunuhan kejam terhadap seorang bayi perempuan dekat Betong, Sarawak. Pelajar berkenaan yang berusia 16 tahun bertindak mengelar bayinya sehingga mati dan perut terburai dengan pisau pemotong sayur.

Hendaknya pada tahun ini tiada lagi bayi yang menjadi mangsa kelar atau dicekik oleh ibunya sebaik dilahirkan di sebuah asrama sekolah atau di kampung-kampung terpencil hatta di bilik-bilik kondo atau rumah flat. Saya juga suka hendak bertanya, di mana lelaki pasangannya setiap kali kes pembuangan bayi berlaku kerana hanya wanita saja yang dikenakan tindakan sedangkan kedua-duanya terbabit melakukan hubungan intim sehingga menyebabkan berlakunya kesalahan itu.

Kita tidak boleh biarkan perkara ini berlaku, sebab kalau tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Lelaki atau wanita yang bertanggungjawab atas pembunuhan kejam ini mesti dihadapkan ke mahkamah. Saya petik tulisan di sebuah laman web; Kehidupan seharian kita tidak akan lari daripada dua perkara, sama ada berada dalam maksiat atau taat.

Apabila Rasulullah SAW menyebut “halawah-al-iman” (kemanisan iman), fahamlah kita bahawa iman itu manis. Taat kepada ALLAH itu manis. Membaca al-Quran, solat berjemaah, menghadiri majlis ilmu, qiamullail dan sebagainya, semua itu manis.

Namun, kenapa sukar benar merasai kemanisan ini? Mungkin kerana hati kita sedang berlazat-lazat dengan maksiat hinggakan maksiat itu terasa manis. Maka, hilanglah lazat dalam ketaatan. Bahkan ketaatan terasa tawar dan pahit. Persoalannya, lazat sangatkah maksiat sehingga kebanyakan kita lebih sanggup memilih maksiat berbanding taat kepada iman?