Saya sungguh geli hati dengan gelagat pelbagai pihak atas pengumuman penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) baru yang dikenali Angkatan Amanah Merdeka (Amanah) baru-baru ini.

Sebenarnya NGO berkenaan tidak sempat pun ditubuhkan kerana hakikatnya Amanah masih belum didaftarkan penubuhannya. Namun, pihak-pihak tertentu khususnya orang parti tetap berasa kurang senang terhadap perkembangan ini sekalipun tidak semestinya mempunyai gambaran tepat dan jelas mengenai isu dimaksudkan.

Mungkin menarik perhatian mereka, khasnya pihak yang ghairah menginterpretasikan segala kejadian dalam perspektif politik, adalah individu-individu yang terlibat dalam pembentukan NGO baru itu. Memang benar dalam senarai jawatankuasa penaja Angkatan Amanah Merdeka terdapat beberapa orang politik, baik yang masih aktif mahupun yang telah bersara.

Namun, ia tidak sekali-kali mewajarkan tindak-tanduk mana-mana pihak untuk mencaci-cela penglibatan veteran-veteran politik dalam penubuhan NGO. Veteran-veteran itu termasuk Tengku Razaleigh Hamzah sendiri yang mengetuai jawatankuasa penaja itu bulat-bulat diejek dan disifatkan sebagai orang politik lapuk, sama ada telah berumur atau tertewas dalam pemilihan parti.

Saya yang turut terlibat dalam jawatankuasa penaja atas undangan Tengku Razaleigh rasa amat terkilan atas kebiadaban beberapa tukang komentar upahan parti yang terus mempertikaikan motif dan latar-belakang pemimpin-pemimpin jawatankuasa penaja itu.

Antara komentar berupa propaganda itu, ada yang mendakwa penubuhan itu bermotif memecah-belahkan sesuatu kaum; ada pula yang beria-ia benar kononnya orang politik yang tertewas atau sudah bersara ingin betul hendak berbangkit semula dalam politik melalui wadah Angkatan Amanah Merdeka itu.

Orang-orang politik khususnya yang berumur dan tertewas juga tidak wajar berkecimpung dalam perjuangan NGO. Mungkin NGO hanyalah boleh diperalatkan oleh, sama ada parti pembangkang ataupun pemerintah. Pendek kata, dalam takuk minda mereka tiada sebarang ruang bagi suara yang bebas lagi berpaksikan social conscience.

Apakah semangat merdeka diasaskan Allahyarham Tunku Abdul Rahman dalam menjalinkan perhubungan mesra lagi harmoni dalam kalangan kaum dan agama majmuk perlu dibelakangkan? Apakah usaha menyemarakkan semangat kekitaan itu melanggar gagasan 1Malaysia? Apakah laungan untuk menyahut anti-rasuah juga dijadikan pantang-larang? Cukup banyak tanda-tanya yang terlintas dalam pemikiran rakyat.

Sebenarnya, Amanah boleh diibaratkan seorang bayi belum dilahirkan. Mengikut logik biasa, biarpun ia berdaftar, NGO itu tetap NGO, tetap berbeza daripada parti politik. Kalaulah orang-orang politik yang terlibat dalamnya sudah kehilangan kewibawaan dan populariti masing-masing, takkanlah masih terdapat taring yang boleh dikhuatiri oleh pemimpin-pemimpin politik tertentu sekarang?

Bagi diri saya, walaupun ditumbangkan dalam parti MCA yang saya terajui sepertimana diharap-harapkan oleh beberapa pihak tahun lalu, namun saya tidak lagi bersedia hendak bersara.

Ketewasan saya yang diakibatkan oleh gabungan beberapa faktor dalaman dan luaran itu juga tidak semestinya menoktahi kerjaya politik saya selagi rakyat masih memerlukan khidmat saya. Saya sanggup tepuk dada tanya selera: apakah saya beramalan rasuah atau tidak bermoral, ataupun membelakangkan kepentingan rakyat ketika menyandang jawatan menteri sehingga saya tidak berhak lagi hendak bangkit semula dalam persada politik?

Pada hakikatnya, biarpun terdapat pemimpin politik yang bersifat demikian, namun kedudukan mereka dalam persada politik tetap tidak tergugat malah semakin lantang mencaci-cela serba-serbi kecuali diri mereka.

Itulah sifat-sifat yang mengecewakan rakyat sehingga mengharapkan munculnya “kuasa ketiga”. Ia tidak semestinya berpunca daripada Amanah atau entiti lain yang sedia ada. Selagi parti-parti dalam BN dan PR sedia ada masih relevan serta menepati cita rasa dan aspirasi rakyat, maka tidaklah mungkin ruang survival itu boleh wujud bagi “Kuasa Ketiga” yang dimaksudkan.

*Penulis ialah Ahli Parlimen Pandan dan Mantan Presiden MCA.