Dalam masyarakat majmuk kita terdapat banyak isu yang dianggap sensitif. Ada yang sensitif kerana ia mampu memporak-perandakan masyarakat jika tidak ditangani dengan penuh kepekaan, umpamanya isu kaum dan agama. Ada juga semata-mata kerana sengaja disensitifkan oleh pihak tertentu, umpamanya skandal membabitkan kepentingan pihak tertentu.

Bagi isu berkaitan kaum dan agama, oleh kerana kepentingan kestabilan dan ketenteraman sosial, maka amalan tidak menyentuh isu-isu sensitif demi perhitungan kepentingan negara bolehlah kita fahami, walaupun ia tidak semestinya kaedah paling wajar untuk menyelesaikan masalah percanggahan.

Sedangkan amalan mensensitifkan sebarang kritikan atau cacian terhadap mana-mana skandal rasuah, khasnya yang membabitkan wang rakyat, dengan niat untuk membisukan pengkritik; adalah semata-mata demi mempertahankan kepentingan pihak yang ditegur. Ini tidak munasabah sama sekali.

Sebenarnya amalan mensensitifkan mana-mana isu atas apa sebab sekalipun tidak boleh diterima sama sekali dalam masyarakat liberal yang demokrasinya kononnya subur.

Pandangan sedemikian mungkin tiada tempatnya dalam masyarakat majmuk kita yang masih lagi lebat dengan pelbagai pantang-larang. Namun secara logik memang kita tidak dapat tidak menerima satu hakikat, iaitu pendekatan mengelakkan sesuatu isu kerana ia dianggap sensitif oleh sesuatu pihak, khasnya orang politik tidak akan membantu kita sama sekali dari segi penyelesaian masalah.

Perkara yang sengaja dielakkan atas sebab sensitif itu, jika berupa hakikat hidup, memang tidak akan lenyap begitu saja tanpa usaha intervensi. Manakala perkara yang berbentuk kontroversi, khususnya skandal yang membabitkan kepentingan orang ramai, tidak juga mudah dilupai kerana tidak diungkit setelah ia disensitifkan.

Malah spekulasi yang pelbagai rupa kemungkinan tercetus berikutan tiada sebarang ketelusan dan maklumat yang tepat untuk pengetahuan umum.

Demikian juga, sekiranya terdapat soalan wakil-wakil rakyat yang tidak terjawab dalam Parlimen atau Dewan Undangan Negeri atas sebab soalan itu berbaur sensitif, ia tidak akan juga diterima.

Baru-baru ini senario sedemikian timbul ketika soalan berkaitan konsesi monopoli bagi pemeriksaan kenderaan komersial yang dipegang oleh Puspakom dibangkitkan. Soal pokoknya hanyalah berkisar kepada dua perkara, iaitu:

(i) Menurut jawapan Parlimen oleh Jabatan Perdana Menteri pada Disember 2010, konsesi itu hanya dilanjutkan tempohnya sepanjang lima tahun hingga 2014, sedangkan jawapan terkini dari jabatan yang sama telah dipinda tempohnya kepada 15 tahun, iaitu hingga 2024;

(ii) Mengapa tidak konsesi berkenaan dibuka kepada persaingan terbuka agar kualiti khidmatnya dapat dipertingkatkan?

Malangnya jawapan yang diharap-harapkan tidak sekali-kali timbul. Sebaliknya jawapan timbalan menteri berkenaan cukup memeranjatkan apabila beliau menyatakan, perkara yang dibangkitkan itu adalah sensitif. Jawapan itu dengan segera membangkitkan kemarahan Ahli Dewan Rakyat daripada pihak pembangkang, malah pihak parti pemerintah.

Ternyata sekali, ketika menghadapi persoalan sedemikian, ketelusan dan ketuntasan (consistency) kerajaan tetap akan diuji. Istilah “sensitif” yang diguna-pakai oleh timbalan menteri apabila jawab persoalan berkenaan ditafsirkan sebagai satu-satunya laluan mudah untuk mengelakkan penjelasan yang kemungkinan besar menyentuh kepada sesuatu kontroversi. Beliau sepatutnya menumpukan saja kepada dua perkara, iaitu:

(i) Sama ada konsesi bagi Puspakom itu telah diberikan lanjutan tempoh dari lima tahun (selepas 2009) kepada 15 tahun;

(ii) Apakah justifikasinya, jika dakwaan yang ternyata dalam (i) adalah benar.

Sebarang alasan yang kurang rasional atau tindak-tanduk yang berdolak-dalih bukan sekadar mencerminkan tahap kebijaksanaan seseorang pemimpin politik, malah menjejaskan lagi kredibiliti kerajaan.