Undangan yang saya terima daripada Sinar Harian sebagai salah seorang panel mengupas isu perpecahan undi Melayu minggu lalu, sememangnya di luar jangkaan. Bagaimanapun, saya tidak bercadang mengulangi hujah itu. Namun, bagi saya selagi terdapat dua pilihan atau lebih kepada pengundi sesebuah masyarakat, maka mustahillah mana-mana satu pihak yang berentap dalam pilihan raya akan membolot sokongan seluruh masyarakat yang disasarkan.

Dalam amalan politik kepartian berteraskan kaum sedia ada selama ini, perpaduan kaum tetap dinobatkan sebagai tema perjuangan mereka. Namun, soal pokok yang jarang-jarang disentuh mereka adalah “perpaduan demi apa?” Demi menentang kaum lain, atau semata-mata memudahkan penguasaan kaum tersebut oleh parti berkenaan yang kononnya melindungi atau memperjuangkan hak mereka?

Amat malang, politikus-politikus kita tidak dapat memberikan jawapannya. Apa yang makin dirasai dalam kalangan rakyat, khasnya mereka yang pendapatan terbawah dalam strata masyarakat adalah desakan hidup semakin membara. Tambahan pula, keadaan ini tidak sesekali dibantu mana-mana perangkaan ekonomi yang menarik.

Dalam pada itu, peratusan kekayaan negara yang dikuasai mana-mana kaum tidak bermakna langsung kepada mereka, baik Bumiputera mahupun bukan Bumiputera. Segala itu tidak relevan kepada mereka yang hidup kais pagi makan pagi, kerana peratusan kekayaan yang dipaparkan itu banyak tertumpu kepada segelintir golongan yang tertentu dalam sesebuah kaum sahaja.

Golongan berprestij tersebut lazimnya berpengaruh kuat dalam persada politik sehingga sumber kekayaan negara mudah dikuasai mereka. Pembolotan itu sebenarnya merentasi kaum.
Justeru, tidak wajar untuk kita menilai kekuatan ekonomi sesebuah kaum itu hanya berdasarkan kepada bilangan jutawan yang berjaya tersenarai dalam senarai tokoh korporat terkaya saban tahun kerana kekayaan itu bukanlah milik seluruh kaumnya.

Sebaliknya, penilaian atas pengagihan kekayaan sesebuah negara berteraskan kaum mudah mengaburi mata rakyat kerana jurang perbezaan ekonomi dalam sesebuah kaum itu tidak dapat tidak, akan ditenggelamkan nanti dengan berbuat demikian.

Begitu juga keadaannya dengan penilaian calon-calon pelbagai parti yang bertanding dalam PRU setiap kali. Selama ini, rakyat sering dilambakkan dengan seruan dan propaganda politik yang menggesa pengundi undi mengikut kaum dan agama. Sentimen yang berunsurkan perkauman dan keunggulan agama itu sengaja meminggirkan kriteria lain umpamanya integriti, kebolehan, kejujuran peribadi apatah lagi hala tuju perjuangan parti yang didukungnya.

Pada akhirnya, keghairahan pengundi kita menjurus ke arah itu hanya akan menghampakan diri mereka. Apa yang kelihatan nanti ialah calon yang kurang wajar diberikan mandat, hanya semata-mata kerana menang atas nama parti atau disebabkan desakan mengundi mengikut kaum dan agama.

Calon yang berjaya memperoleh mandat atas sebab seperti ini juga kelihatan tidak kurang yang mudah lupa daratan. Ada dalam kalangan mereka yang naik tocang kerana menganggap sokongan daripada kaum atau penganut seagamanya itu sememangnya patut wujud.

Anggapan sedemikian hanya melahirkan keangkuhan dan seterusnya merenggangkan perhubungan seseorang calon berjaya itu dengan masyarakat kaum dan penganut seagamanya itu. Walhal pengundi di luar lingkungan tersebut juga turut rasa semakin tersisih kerana terkeluar dari skop radar calon yang berkenaan.

Hakikatnya, seseorang calon yang diberikan mandat rakyat itu, biar apa parti politik sekalipun, adalah wakil rakyat bagi semua kaum, agama dan lapisan masyarakat dalam kawasan pemilihannya. Tidaklah wajar juga sekiranya sebelum PRU, seseorang calon itu merayu undi daripada semua pihak, tetapi selepas meraih kejayaan khidmatnya hanya tertumpu kepada kaum atau penganut seagamanya sahaja.

Sepanjang kerjaya politik saya, tidak terlintas dalam fikiran bahawa masalah rakyat perlu dicorakkan mengikut kaum dan agama. Pada hal semua masalah yang berbangkit tetap membabitkan semua kaum meskipun ia mungkin terserlah dalam golongan tertentu.

Bagi saya, amalan dan pendekatan seseorang wakil rakyat dalam menangani masalah rakyat akan sedikit sebanyak mencorakkan politik semasa kita kerana merekalah orang yang wajar menunjukkan teladan untuk dicontohi rakyat jelata.