Mencaci pihak lawan adalah asam garam politik, namun jarang-jarang kita sedar kayu pengukur sama boleh juga diguna pakai untuk mengukur amalan pihak pengkritik. Sekiranya mereka ‘cakap tak serupa bikin’, maka cacian dilemparkan terhadap pihak lawan kemungkinan besar akan menjadi ‘senjata makan tuan’.

Dalam hubungan ini, isu bantahan masyarakat setempat (12 taman kediaman) di persekitaran Cheras Hartamas terhadap penegakan menara talian penghantaran bervoltan tinggi Tenaga Nasional Berhad (TNB) memperlihatkan satu contoh yang cukup meyakinkan.

Isu ini sebenarnya hanya diketahui umum pada Mei 2009 bila beberapa tiang pembinaan menara TNB kelihatan ditegakkan di Cheras Hartamas, walaupun sebelum itu pihak berkuasa tempatan - MPAJ keberatan hendak mengesahkan kewujudan projek itu. Dalam erti kata lain, projek berkenaan direstui oleh MPAJ yang dikuasai Pakatan Rakyat tanpa pengetahuan masyarakat setempat, yang majoritinya khuatir terhadap penegakan yang boleh menjejaskan kesihatan mereka.

Peliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP bagi kawasan itu (DUN Teratai) turut mendakwa tidak tahu menahu akan perkara dimaksudkan walaupun beliau diketahui menghadiri mesyuarat MPAJ yang membuat keputusan penting.

Walaupun masyarakat di situ, tidak kurang 7,000 keluarga cukup terkilan dengan amalan tidak telus yang membelakangkan hak rakyat sedemikian, namun mereka tetap sanggup berunding dengan pihak terlibat agar mencari jalan keluar secara harmoni. Mereka tetap memahami perlunya pihak TNB berikhtiar menaiktarafkan kemudahan penghantaran elektriknya untuk menampung keperluan masyarakat setempat yang semakin meningkat. Tetapi masalah berbangkit sekarang tidak lain daripada pertikaian terhadap jarak yang terlalu dekat di antara menara TNB dengan rumah kediaman sedia ada.

Ramai penduduk yang terbabit dalam bantahan berkenaan terpinga-pinga atas sikap membelakangkan ketelusan yang diamalkan oleh MPAJ dan ADUN berkenaan kerana mereka tidak sangka pihak yang sentiasa mencaci pihak lain beramalan tidak telus sanggup melakukannya sendiri.

Apabila kemusykilan-kemusykilan terhadap ADUN itu tidak terjawab, dituding pula jarinya terhadap TNB yang kononnya syarikat GLC didalangi BN. Bagi saya, itu tidak masuk akal sama sekali. Biarpun syarikat berkenaan dimiliki BN, tidak bermaksud cara menangani isu yang kurang wajar itu boleh saya kompromi. Lebih-lebih lagi, kalaulah dakwaan ADUN itu benar, adalah mustahil pihak MPAJ dan Kerajaan Negeri Selangor tidak menolak permohonannya. Kecurigaan bahkan sikap terkilan mereka semakin terserlah berikutan dinginnya sikap TNB terhadap cadangan balas mereka agar menara-menara TNB bervoltan tinggi itu dapat ditegakkan semula mengikut laluan yang lebih jauh jaraknya dari rumah kediaman. Dalam hal ini, pihak MPAJ dan Kerajaan Negeri kelihatan membisu semata-mata, seolah-olah isu berkenaan tiada sebarang hubung kait dengan mereka. Ternyata sekali mereka bersikap berpeluk tubuh.

Nasib penduduk bertambah malang ketika mereka ditimpa dengan satu lagi pukulan hebat, iaitu keputusan Kerajaan Negeri melalui Majlis Tindakan Ekonomi Selangor untuk mengekal bahkan memuktamadkan perancangan asal TNB dalam mesyuaratnya bertarikh 10 Mac lalu. Ini bermakna TNB telah pun direstui menegakkan menara penghantaran elektriknya oleh Kerajaan Negeri Selangor tanpa mempertimbangkan sama sekali rintihan dan cadangan balas masyarakat setempat yang membantah. Justeru, laungan ketelusan dan tadbir urus yang kononnya bercirikan keprihatinan terhadap rakyat hanyalah sekadar propaganda yang bermadu sahaja.

Kini, tibanya peluang penghabisan yang mana Menteri Besar Selangor berpeluang lagi untuk mempertimbangkan semula keputusan merestui perancangan projek TNB itu.

Ini ujian getir bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak yang bersebelahan dengan kawasan Parlimen Pandan saya, kerana setakat ini masih belum kita nampak sebarang tindakan tegas beliau untuk membantah pembinaan menara bervoltan tinggi TNB di Taman Connaught, Cheras yang bersempadan dengan Cheras Hartamas.

* Datuk Seri Ong Tee Keat ialah Ahli Parlimen Pandan