Saya terkejut dengan bantahan parti MCA terhadap pengundian pos oleh rakyat Malaysia yang menetap di luar negara atas alasan logistik dan tidak memahami situasi semasa di Malaysia. Menurut parti itu, jenis maklumat yang diperoleh mengenai negara kita dikatakan berat sebelah dan tidak betul.

Saya tidak begitu pasti, sama ada berita yang dibaca daripada sumber-sumber media selain lidah akhbar parti dan media arus perdana boleh dikategorikan sebagai palsu sekalipun saya menetap di tanah air. Menggunakan hujah yang sama seperti dibangkitkan oleh MCA, saya berisiko besar hilang hak mengundi.

 Dalam konteks sama, kumpulan pengundi ini yang jarang-jarang sekali membaca sebarang berita politik disebabkan tahap celik huruf mahupun kecenderungan mereka sudah pasti dianggap sebagai “ketinggalan” mengenai politik tempatan, sekali gus menyebabkan mereka “dibatalkan” daripada mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Saya berasa kelakar dengan hujah mereka (MCA) bahawa hanya rakyat Malaysia yang menetap di Malaysia sahaja arif mengetahui rekod pencapaian calon-calon yang bertanding di kawasan masing-masing. Adakah apa yang dinyatakan oleh MCA tadi merujuk kepada soal menangani isu-isu seharian rakyat seperti aduan kutipan sampah dan saluran perparitan tersumbat atas nama khidmat rakyat, yang kemudiannya memberikan ramai calon berpotensi dan wakil rakyat sedia ada liputan media yang dimahukan? Jika begitu, adakah ini bermakna itu merupakan satu-satunya penanda aras untuk menilai seseorang calon dalam PRU nanti?

MCA, yang kalah teruk pada PRU 2008 seharusnya sedar, penanda aras yang disebutkan tadi sudah tidak relevan dengan kumpulan pengundi sekarang. Berhubung dengan soal logistik dalam menjalankan pengundian pos untuk rakyat Malaysia di seberang laut, aspek teknikal sudah tentu menjadi salah satu daripada kebimbangannya, namun ia tidaklah mustahil untuk dilaksanakan memandangkan pengundian pos bukan sesuatu yang asing dalam sistem demokrasi berparlimen.

 Sesungguhnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang harus menggalas tanggungjawab ini, bukannya MCA! Untuk tidak membenarkan pengundian pos bagi kumpulan rakyat Malaysia di luar negara atas alasan ia mencetuskan masalah logistik, bukanlah alasan untuk menafikan hak-hak Perlembagaan yang dimiliki oleh rakyat Malaysia di seberang laut.

Isu ini turut mengingatkan saya kepada alasan sama yang pernah digunakan untuk melengah dan menghalang pelaksanaan resolusi-resolusi Perhimpunan Agung Tahunan MCA tidak beberapa lama dahulu, khususnya untuk pemilihan parti secara langsung bagi jawatan Presiden Parti serta semua jawatan penting parti semasa saya memegang tampuk pemerintahan MCA. Barangkali, kurangnya keyakinan diri merupakan justifikasi tunggal yang digunakan oleh MCA dalam mengeluarkan pendirian sedemikian.

Pendirian tersebut jelas bercanggah dengan semangat untuk menegakkan hak-hak Perlembagaan yang dimiliki rakyat. Apa pun, tindakan terbabit adalah tidak beretika dan adalah memalukan untuk sebarang parti politik yang mendakwa mereka menjuarai hak-hak rakyat. Bagi saya, ujian sebenar kepada komitmen dan iltizam politik bergantung pada keberanian dan kesediaan mereka dalam mempertahankan hak-hak rakyat yang berkemungkinan besar tidak akan mengundi kita.