Isu PKFZ (Port Klang Free Zone) terus dianggap sensitif. Walaupun kes perbicaraan yang melibatkan dua orang bekas Menteri Pengangkutan itu masih berjalan, namun bukannya semua soalan mengenai persoalan ini patut dianggap sub-judice sehingga ditegah sama sekali untuk dibincang atau dipersoal dalam persidangan parlimen.

Itulah nasib soalan-soalan Parlimen saya yang berkisar dengan isu berkenaan sejak saya bertugas semula sebagai backbencher selepas digugurkan dari Jemaah Menteri pada 1 Jun 2010. Saya sememangnya kurang diyakinkan bahawa soalan saya yang menyentuh tentang daya maju projek PKFZ juga turut berupa sub-judice, sehingga mampu menjejaskan perbicaraan mahkamah yang tengah berjalan.

Baru-baru ini biarpun kelihatan terdapat ‘kelonggaran’ tertentu yang diberikan kepada soalan PKFZ saya, namun layanan pihak Kementerian dan Parlimen terhadapnya tetap dikesali. Soalan-soalan itu sama ada disenaraikan di lingkungan bawah pertanyaan-pertanyaan lisan dalam kertas aturan urusan mesyuarat sehingga tidak sempat disoal dan dijawab secara lisan; ataupun jawapan bertulis yang diberikan kementerian itu bersifat sambil lewa semata-mata, jika bukan jauh terpesong sama sekali.

Sebagai contoh, soalan saya pada 15 Mac 2012 menyoal tentang jumlah hutang Lembaga Pelabuhan Kelang (LPK) yang masih tertunggak bagi projek PKFZ setakat ini. Juga bagaimana Kementerian dapat memastikan agar LPK berdaya membayar balik hutang berkenaan mengikut jadual dan kadar faedah yang ditetapkan, memandangkan sumber pendapatan LPK melalui PKFZ itu masih belum dapat menampung beban hutang itu.

Tetapi terkejutnya saya apabila soalan yang ke-71 itu dijawab seperti berikut:

LPK telah membuat pengeluaran pinjaman kerajaan sebanyak RM2.6 bilion. Berhubung dengan keupayaan LPK bagi membayar balik pinjaman tersebut, salah satu opsyen adalah LPK memohon kepada Kementerian Kewangan untuk mengkaji semula terma-terma dan syarat pinjaman berkenaan.

Jawapan sedemikian bukan saja tidak menepati soalan, malahan memberikan saya dan orang awam satu gambaran seolah-olah soal pokok yang diketengahkan itu sengaja dielakkan. Meneliti jawapan bertulis yang singkat ini, saya tidak nampak sama sekali angka jumlah hutang yang masih tertunggak.

Lebih-lebih lagi, jika dakwaan saya atas kemampuan LPK menjelaskan hutang didapati tidak berasas atau kurang tepat, saya memang mengharapkan agar pihak Kementerian dapat menangkisnya dengan fakta dan perangkaan tepat yang dipohon. Namun malangnya ini tidak. Permohonan Kementerian Pengangkutan kepada Kementerian Kewangan yang dimaksudkan itu sebenarnya telah berulang kali saya usahakan ketika saya masih menyandang jawatan Menteri Pengangkutan. Apa yang diharapkan tidak lain daripada perkembangan lanjut dan kesudahan permohonan itu. Jika telah ditolak oleh Kementerian Kewangan, apa pula strategi alternatifnya untuk menyelamatkan projek PKFZ mega itu?

Saya memilih mengungkit-ungkit persoalan PKFZ ini semata-mata kerana rasa terpanggil untuk berbuat demikian. Lebih-lebih lagi perjuangan untuk menegak keadilan bagi isu PKFZ secara menyeluruh masih belum selesai dan sampai hasratnya.