Pembentangan belanjawan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan baru-baru ini memperlihatkan beberapa pemberian imbuhan kepada kumpulan tertentu, khasnya golongan berpendapatan rendah.

Bagi ahli parti pemerintah, itulah yang diuar-uarkan sebagai sifat dan langkah penyayang Kerajaan Persekutuan. Namun bagi pihak pembangkang pula, seperti biasa timbul pelbagai persoalan bahkan ejekan dan pertikaian, dari dakwaan bahawa idea bagi amalan pemberian tertentu diciplak daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat, kepada kesangsian kalau-kalau kerajaan mampu laksana projek tersebut.

Segala tindak-tanduk saling mengejek itu tidak lain mainan politik kepartian yang tidak membina. Namun ternyata kedua-dua pihak, baik parti pemerintah mahupun pembangkang, tidak lari daripada hakikat untuk mengambil hati pengundi berbilang kaum menjelang PRU 13. Justeru, mereka berlumba-lumba untuk menabur wang rakyat melalui pemberian terus kepada pengundi, baik di peringkat kebangsaan atau negeri dikuasai.

Sesungguhnya, ini bukanlah satu trend atau hala tuju politik sihat dan membina kerana sebarang pemberian terus yang berupa one-off itu hanya sekadar menyeronokkan hati si penerima, tetapi tidaklah memadai untuk membebaskan mereka yang daif daripada kepompong kemiskinan dalam jangka masa panjang. Lebih-lebih lagi, perbuatan sebegini juga mudah membiakkan gejala sindrom subsidi yang sememangnya sukar dikikis dalam amalan hidup kita.

Kini, terlintas di hadapan mata kita ialah cabaran yang memang boleh dijangka, iaitu penyampaian pemberian yang dimaksudkan. Adalah wajar mekanisme yang telus digerak dan diumumkan untuk melicinkan penyampaiannya secara berkesan tanpa penyelewengan atau kelambatan.

Jentera Kerajaan Persekutuan perlu ambil iktibar daripada kekeliruan yang pernah timbul dalam pemulangan rebat petrol beberapa tahun lalu. Tidaklah munasabah jika sesuatu pemberian yang bertujuan mendekati rakyat itu menimbulkan ketidakpuasan hati semata-mata kerana penyampaiannya kurang terancang. Apa yang dilakukan itu tidak banyak beza daripada ‘senjata makan tuan’.

Memang perlu dan tepat tindakan sesebuah kerajaan mengenal pasti masalah rakyat demi kesejahteraan negara. Namun bagi kita, dugaan yang betul-betul mencabar ialah strategi meningkatkan daya saing negara dalam pelbagai sektor di persada antarabangsa.

Daya saing dimaksudkan tidaklah sekadar tercermin dalam perangkaan kemasukan FDI, tetapi tahap daya saing anak-anak watan kita sendiri dalam pelbagai sektor ekonomi.

Dalam pada itu, segala sumber bakat kita yang ada perlu dihargai dan diterokai untuk membawa manfaat kepada negara. Bakat yang terpendam perlu dicungkil, yang dipinggirkan perlu ditawarkan peluang, yang sudah berhijrah ke luar negara tetap didekati agar mereka turut berpeluang menyumbang kepada tanah air, baik dari negara bermastautin atau pulang ke negara sendiri.

Dalam hal ini, badan TalentCorp yang baru setahun jagung memikul tanggungjawab cukup berat untuk merealisasikan brain gain di negara ini. Pengalaman daripada kegagalan kita dalam usaha sama pada masa lampau, seharusnya menjadi pengajaran kepada kita mengatur semula strategi untuk mencapai tahap keberkesanan munasabah.

Sebagai contoh, pendekatan yang sungguh menarik pakar-pakar ikhtisas kita yang telah berhijrah agar berbakti kepada tanah air sememangnya satu anjakan paradigma positif berbanding dengan sikap bulat-bulat melabel mereka sebagai tidak patriotik bahkan pengkhianat negara.

Namun, daya usaha brain gain yang tengah rancak diusahakan kini tidak semestinya terus terbelenggu dalam takuk minda lama, yakni pentakrifannya hanyalah terbatas pada mereka yang sanggup pulang ke tanah air sahaja, tanpa mengambil kira keadaan kerjaya seseorang individu itu selepas kepulangannya nanti.

Ternyata, hingga kini masih terdapat mereka yang sanggup mengorbankan pendapatan lumayan di seberang laut, kerjaya terbantut di negara sendiri kerana kepakaran didapati tidak berbaloi dengan sistem perkhidmatan sedia ada.

Hakikatnya, banyak masalah masih dihadapi kita sejak sekian lama bukanlah serumit ilmu sains roket, tetapi disebabkan kurang komitmen dan iltizam untuk mencari jalan keluar buat jangka masa panjang. Itu tetap satu-satunya faktor penghalang yang terus membelenggu kemajuan kita selama ini.

* Penulis merupakan Ahli Parlimen Pandan