Setiap kaum dan agama tetap ada pantang-larang tersendiri. Sebenarnya di bumi Malaysia, kita tidak kekurangan peluang untuk mengenali bahkan memahami pelbagai pantang-larang itu melalui interaksi sesama kita saban hari.

 Walau bagaimanapun, kes-kes kontroversi yang melibatkan sensitiviti kaum atau agama masih tetap kedengaran di sana sini. Keadaan ini sedikit sebanyak menandakan kurangnya kepekaan sesetengah golongan masyarakat terhadap pantang-larang dalam kalangan kaum dan agama lain.

 Padahal kejahilan atau kurangnya pemahaman terhadap budaya kaum dan agama lain bukanlah alasan wajar kerana pergaulan antara berbilang kaum dan agama kita tidak lagi terbatas, melainkan kita sendiri memilih memencilkan diri.

 Lazimnya sikap keangkuhan dikenalkan sebagai faktor penyumbang utama kepada lahirnya sentimen perkauman, sekali gus menjelmalah perbuatan-perbuatan menggores perasaan kaum dan agama lain, bahkan menyemarakkan kemarahan mereka. Ini bukan sahaja menjejaskan perhubungan baik antara kaum dan agama, malah kemungkinan menghancurkan keharmonian masyarakat sedia ada.

 Kita harus mengambil iktibar daripada peristiwa lepas. Saya yakin tindak-tanduk mencemar kesucian sesebuah bangunan beribadat - masjid, surau mahupun kuil, tokong atau gereja, tidaklah tercetus akibat kejahilan, ia mungkin disengajakan sebagai tanda penghinaan yang berpaksikan prejudis.

 Kita sering menuding jari kepada anasir-anasir pelampau sebagai pihak mendalangi perbuatan terkutuk ini. Namun sekiranya fenomena ini dikupas secara mendalam, didapati semua agama sebenarnya menegah perbuatan keganasan biarpun ia dilakukan kepada penganut agama lain. Dalam perspektif ini, kemungkinan sesetengah politikus hendak menangguk di air keruh tetap wujud. Disebabkan sifat dan amalan mereka yang oportunis, maka kesejahteraan dan keharmonian sosial turut tergadai.

 Kejadian mencaci dan mencabar bahkan hina-menghina dalam masyarakat majmuk kita cukup berbahaya kerana gelagat seperti itu sudah cukup untuk menyemarakkan emosi perkauman dan agama yang terpendam. Baik mereka yang memijak kepala lembu mahupun kebiadaban menggantung kepala khinzir dalam pekarangan surau.

 Demikian juga, kata-kata yang memperlekeh status warganegara lain sering dilontarkan kepada keturunan tertentu, sama ada dengan menyifatkan mereka sebagai “pendatang asing” ataupun mengejek mereka agar balik ke negara asal walaupun mereka tetap anak watan bumi ini. Dari pengamatan saya, segala ini bukanlah sesuatu yang sukar difahami rakyat kita. Ia berulang-kali diungkit-ungkit semata-mata untuk menyakiti hati golongan tertentu. Mungkin dengan berbuat demikian, mereka dapat mencari kepuasan yang dikejar, tetapi negara pula yang perlu menanggung padahnya.

 Malangnya kejadian-kejadian berbaur perkauman itu juga ada peminat dan penyokongnya, khasnya dalam kalangan orang-orang politik. Kita dapati setiap kali apabila tercetusnya sesuatu kejadian perkauman dan turut dikecam oleh masyarakat umum, sudah tentu muncul orang politik yang berniat membelanya atas nama menebus kembali maruah bangsa dan agama.

 Namun hakikatnya, dalam usaha kita membentuk sebuah masyarakat yang rasional lagi matang, ujian getir utama perlu kita harungi tidak lain dari soal pokok, sama ada kesanggupan membuat sesuatu penilaian berasaskan kebenaran, dan bukannya semata-mata berpandukan sentimen kaum atau agama.

 Ramai dalam kalangan kita mungkin masih berbangga dengan khazanah budaya ketimuran yang kita warisi. Akan tetapi, segala-gala ini tidak bermakna langsung sekiranya kita tidak berdaya atau keberatan hendak menegak kebenaran demi kesejahteraan masyarakat sendiri. Saya sungguh kecewa setiap kali melihat sesuatu amalan keterlaluan itu tidak ditangani dengan penuh keinsafan, sebaliknya terus berpanjangan dengan pelbagai polemik semata-mata untuk memenuhi kepentingan politik pihak tertentu.

 Di sebalik hakikat itu, saya tetap berimpian agar kekeruhan tersebut dapat dikurangkan menerusi komitmen rakyat secara berterusan dalam usaha menolak budaya politik keterlaluan ini. Bagi golongan politikus dari apa parti sekalipun, sebarang model politik yang ditolak rakyat sudah tentu tidak akan diamalkan lagi dalam persada politik.

 Pendek kata, kuasa rakyatlah yang akan menentukan hala tuju dan acuan politik kepartian kita nanti.