Kenyataan bekas Menteri Selangor Datuk Sri Dr Khir Toyo menghubungkaitkan peranan dominan Umno dalam BN dengan semakin terhakisnya sokongan pengundi Cina terhadap BN sudah tentu memberikan kita ruang untuk renungan dan berpolemik.

Memang tidak dapat disangkal peranan Umno dalam BN tetap dominan selama ini. Bagi Umno, peranannya sebagai tulang belakang BN mungkin satu-satunya cara untuk terus menguasai BN demi keutuhan pakatan politik itu. Namun pada hakikatnya dalam perspektif masyarakat bukan Melayu, itu jelas mendedahkan kelemahan bahkan menjejaskan kewibawaan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN.

Keadaan sedemikian cukup ketara bila mereka dilanda oleh sesuatu isu penuh kontroversi, khasnya berkaitan dengan kepentingan kaum berkenaan. Gambaran dan tanggapan seperti ini telah mula wujud sejak didapati kebanyakan dasar kerajaan diputus dan diumumkan oleh pihak Umno sendiri, yang jarang-jarang kelihatan melibatkan pemimpin-pemimpin bukan Melayu.

Keadaan dominan ini juga menghasilkan satu anjakan paradigma yang mana ramai tokoh korporat keturunan Cina dan India telah mengalihkan kiblat melobinya dari pemimpin-pemimpin MCA dan MIC kepada pemimpin Umno. Perbuatan sedemikian tidak sukar difahami kerana ia sejajar dengan kata pepatah: Ada gula ada semut.

Dalam hubungan ini, sikap pasif dan kualiti prestasi sesetengah pemimpin bukan Melayu dalam BN, khasnya dalam usaha menangani isu-isu tertentu yang bagaikan tarik rambut dalam tepung, turut melemahkan keyakinan masyarakat bukan Melayu terhadap pemimpin-pemimpin mereka. Kita sering kedengaran adanya dakwaan bahawa pengundi bukan Melayu, khasnya kaum Cina, semakin jauh hati kononnya kerana pemimpin-pemimpin itu kurang menjelaskan dasar-dasar Kerajaan tertentu kepada masyarakat mereka sendiri.

Sebenarnya, dakwaan ini adalah semata-mata mengikut perspektif pihak Umno sahaja.

Bagi masyarakat Cina dan kaum India pula, mereka sememangnya mahukan pemimpin mereka memainkan peranan yang berkesan dalam kerajaan BN. Sekiranya peranan pemimpin-pemimpin bukan Melayu dalam BN hanya sekadar diharapkan berperanan menjelas, bahkan cuba mewajarkan saja dasar-dasar kerajaan tertentu tanpa menawarkan sebarang penyelesaiannya, maka sudah tentu keberkesanan dan kewibawaan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN akan terus dipersoalkan.

Mungkin dalam kalangan sesetengah pemimpin Umno, pemimpin sekutu bukan Melayu yang mereka mahukan tidak lain daripada mereka yang sanggup mengikut telunjuk mereka. Namun pemimpin sekutu yang bersifat demikian jarang-jarang berdaya menegak kewibawaannya di mata masyarakat sendiri kerana didapati segan mengetengahkan isu-isu tajam untuk ditangani bersama oleh BN.

Pemimpin-pemimpin bukan Melayu yang kurang berwibawa itu mungkin mudah dimenangkan dengan sokongan pengundi Melayu melalui usaha Umno apabila tiada ganggu-gugat tsunami politik. Akan tetapi, apabila senario politik berubah dan menjadi semakin mencabar, lebih-lebih lagi dengan berpecahnya undi Melayu, maka kedudukan mereka ini akan turut terumbang-ambing dan mungkin menjadi bebanan kepada BN dalam pilihan raya. Jauh sekali mereka boleh membawa sokongan masyarakatnya kepada BN. Baru-baru ini persoalan mengenai sokongan pengundi Cina terhadap BN diungkit-ungkit semula.

Saya pernah ditanya apakah pelbagai peruntukan dan projek yang dicurahkan kepada masyarakat Cina menjelang PRU 13 ini masih tidak memadai. Berdasarkan kepada tinjauan saya, masyarakat Cina bukan tidak pernah memberikan sokongan padu kepada BN.
Sebaliknya, sokongan padu masyarakat Cina kepada BN terserlah pada tiga PRU yang berturut-turut iaitu pada PRU 9 (tahun 1995), 10 (tahun 1999) dan 11( tahun 2004).

Apa yang mereka dahagakan sebenarnya banyak berkisar kepada keprihatinan dan penyelesaian berkesan yang ditawarkan kepada kemelut lama mereka dalam bidang pendidikan, ekonomi dan keagamaan. Jawapan saya itu hanyalah sekadar pengamatan peribadi saya yang tidak semestinya disenangi oleh pemimpin-pemimpin atasan semasa.

Kemelut berkenaan tidaklah serumit kepakaran sains roket. Ia pasti ada jalan keluarnya, asalkan semangat setia kawan sejati dapat disuburkan kembali. Kriteria pengukurannya tidaklah tertakluk sahaja kepada penampilan bersama pemimpin-pemimpin berbilang kaum dari para parti komponen dalam mana-mana majlis keramaian, tetapi berbalik kepada amalan musyawarah.
 

Penulis ialah Ahli Parlimen Pandan dan mantan Presiden MCA.