Setelah tiga minggu isu pengambilan tanah di Jalan Sultan untuk projek pembinaan MRT terus bersemarak, saya terpanggil untuk melontarkan pandangan. Saya berbuat demikian bukan kerana ingin menangguk di air keruh demi kepentingan politik peribadi. Sedia maklum, kawasan itu bukan terletak dalam Parlimen saya.

Bukan juga kerana ada kepentingan di kawasan terbabit, mahupun kerana ia melibatkan kaum saya sendiri. Selaku bekas Menteri Pengangkutan yang pernah menerajui Bidang Keberhasilan Utama mengenai Pengangkutan Awam, pendekatan Prasarana (dijangka digantikan oleh MRT Co. sebagai pemilik baru MRT dalam masa terdekat) dalam menangani isu ini pengambilan tanah bukan sahaja mengejut, bahkan agak luar biasa dari segi prosedurnya.

Dahulunya, setiap cadangan projek pembinaan rangkaian LRT yang merentasi sesuatu lokasi, sudah tentu akan dibentang, dibincang malah diperhalusi secara bersama dengan masyarakat setempat. Pandangan mereka itu masing-masing perlu dicatat, dikaji dan dipamerkan secara terbuka selama tiga bulan. Akhirnya, penjelasan akan diberi kepada setiap teguran dan cadangan dikemukakan tadi. Apa disebutkan tadi merupakan kisah benar berlaku apabila timbulnya pertikaian terhadap cadangan laluan LRT baru yang merentasi Subang. Keputusannya hanya dibuat Menteri Pengangkutan selepas pungutan suara masyarakat setempat dilakukan.

Dalam hal ini, apa yang dialami pemilik-pemilik rumah kedai yang bakal diambilalih itu cukup memeranjatkan saya. Merekatidak tahu-menahu mengenai pengambilan hartanah dimaksudkan sebelum ini. Pertemuan mereka dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Prasarana hanyalah berlangsung pada 23 Ogos lalu melalui pengaturan Presiden MCA yang tidak berjawatan dalam kerajaan, dan bukannya dibuat atas arahan Menteri Pengangkutan sekarang.

Pada pengetahuan umum, sesi bersemuka itu bukanlah perundingan yang dimaksudkan, tetapi sekadar wadah mencelarukan pemilik yang hadir, gara-gara kenyataan bercanggah Pengerusi SPAD dan Presiden MCA. Bagi pemilik terbabit, sesi itu juga seolah-olah memuktamadkan masa depan hartanah mereka yang diwarisi daripada nenek-moyang mereka.

Soal pokok yang dibangkitkan tidak lain daripada polemik sama ada pengambilan tanah itu akan melibatkan kerja-kerja merobohkan rumah kedai yang bersejarah di atas paras tanah, atau hanya terhad kepada kerja-kerja penggalian di bawah paras tanah.

Dalam soal pengambilalihan tanah ini, ada pihak berpendapat wang pampasan yang memadai dan lumayan akan menyelesaikan pertikaian. Namun, realitinya berapa banyak sekalipun wang diberikan, ia tidak mungkin dapat menebus kembali bangunan bersejarah yang dirobohkan atas nama pembangunan.

Dalam konteks ini, sering kedengaran ada pihak tertentu mahukan orang lain berkorban demi kepentingan negara kononnya. Indah betul seruan sedemikian kerana individu yang melaung-laungkan itu tidak perlu mengorbankan apa-apa. Tetapi bagi masyarakat setempat di Jalan Sultan dan persekitarannya, pengorbanan sedemikian pernah juga dibuat oleh jiran-jiran tetangga mereka di Jalan Bandar (kini dikenali sebagai Jalan Tun H S Lee), Jalan Sultan dan Jalan Sekolah (depan Stesen Bas Kelang) satu ketika dahulu -tahun 1980an apabila hartanah rumah kedai mereka diambilalih oleh UDA.

Rumah-rumah kedai lama yang bersejarah itu habis diroboh, melainkan seni bina dinding muka depan sahaja. Itu telah digabungkan kemudiannya dengan bangunan baru yang kini dikenali sebagai pasar raya UDA-Ocean dan Plaza Warisan yang secara terang-terangannya berupa bangunan komersial. Jelasnya, ia tidak ada kaitan langsung dengan kepentingan awam.

Kini, penduduk-penduduk di sini teringat kembali insiden lama apabila Menteri Idris Jala menyatakan acuan Hong Kong yang berupa model “Rail bergabung hartanah” itu akan diguna pakai dalam projek pembangunan MRT di Lembah Kelang nanti. Pendek kata, tapak di Jalan Sultan dan persekitarannya (lebih dikenali Chinatown) itu tidak dapat tidak, akan diambil alih atas nama pembangunan hartanah komersial.

Hingga kini, masih terdapat sesetengah warga tempatan yang tertanya-tanya mengapa tidak bangunan uzur dan usang seperti Stesen Bas Kelang, Balai Polis Jalan Tun H S Lee dan tapak parkir di Jalan Panggung diambilalih untuk pembangunan? Itu satu-satunya soal pokok yang perlu dijawab.

Saya yakin, tiada siapa pun yang sanggup menolak pembangunan bermakna yang dapat memberkati semua pihak. Apa terlintang di hadapan SPAD dan Prasarana sekarang tidak lain daripada timbulnya pertikaian berhubung dengan ketiadaan perundingan terdahulu, sekali gus mencetuskan pelbagai kesangsian dalam kalangan masyarakat setempat terhadap kewajaran tanah-tanah di sana diambil.

* Penulis ialah mantan Menteri Pengangkutan dan Ahli Parlimen Pandan.