BUDAYA dan bahasa merupakan dua hal kehidupan yang tidak boleh dipisahkan dalam diri manusia. Kata budaya berasal daripada bahasa sansekerta iaitu buddhayah bererti segala sesuatu yang ada hubungannya dengan akal dan budi manusia iaitu cara hidup yang dimiliki sekelompok masyarakat yang diwariskan secara turun-temurun.

Budaya berkembang dan dimiliki bersama bersifat kompleks, abstrak, dan luas. Pelbagai hal yang terdapat dalam masyarakat ditentukan oleh kebudayaan yang dimiliki oleh masyarakat itu sendiri serta turut menentukan perilaku komunikasi. Manakala bahasa adalah alat untuk berkomunikasi sama ada dengan manusia yang sama budaya atau yang berbeza budaya.  

Kadang-kadang perkembangan budaya berlaku dalam keadaan luar biasa sehingga melibatkan penggunaan makna tersirat. Dalam hal jemput-menjemput dan undang-mengundang untuk meraikan majlis perkahwinan Islam pada zaman teknologi serba canggih ini, terdapat penggunaan bahasa yang boleh menimbulkan persoalan kepada orang yang kena undang.

Oleh sebab waris dan sahabat yang ramai, acap kali penulis diundang untuk meraikan majlis perkahwinan dan acap kali juga persoalan timbul sendirian sama ada ‘berduit’ atau ‘tidak berduit’. Berduit bererti ‘salam berkaup’ yang kena menyediakan wang sebagai hadiah dan tidak berduit bererti datang semata-mata meraikan sahaja sama ada membawa cenderamata selain daripada duit atau tidak.

Bagi orang lelaki perasaan tidak begitu kelam-kabut sama ada salam berkaup atau tidak, tetapi bagi orang perempuan keadaan amat serba salah jika tidak membawa sebarang cenderamata ketika menghadiri kenduri perkahwinan dan diketahui tidak salam berkaup setelah sampai di tempat kenduri.  

Kedua-dua perkataan ‘walimatulurus’ dan ‘kesyukuran’ menjadi kata kunci utama pada kad undangan kenduri perkahwinan. Perkataan ‘walimatulurus’ yang berasal daripada Bahasa Arab bererti ‘kenduri perkahwinan’ dan perkataan ‘kesyukuran’ bererti rasa bertuah dan berterima kasih yang kata dasarnya ‘syukur’.

Persoalan sekarang ini ialah bahasa yang digunakan sebagai tajuk utama pada kad undangan kenduri perkahwinan telah diterjemah oleh budaya dengan makna tersirat.  Di Kelantan kebanyakan orang cukup memahami istilah walimatulurus dan kesyukuran.  Jika tajuk utamanya menggunakan perkataan walimatulurus dan tidak disertai dengan perkataan kesyukuran, maka salam berkauplah kaedahnya dan orang yang diundang kena menyediakan wang sebagai hadiah.

Kadang-kadang terdapat juga tajuknya ‘Undangan Majlis Walimatulurus’ tetapi kata-kata dalam isi undangan disebut majlis kesyukuran bererti tidak salam berkauplah majlis tersebut.  

Terdapat juga undangan seperti ini yang tidak menyebut perkataan kesyukuran pada bahagian isinya, maka kenalah kita menyediakan wang sebagai hadiahnya. Terdapat juga tajuknya betul pada makna bahasanya seperti “Undangan Majlis Kesyukuran Walimatulurus” yang bererti majlis kesyukuran kerana perkahwinan dan majlis ini sewajarnya tidak berhadiahkan wang.  

Ada juga kad undangan yang boleh mengelirukan orang yang kena undang sehingga serba salah dibuatnya. Contohnya, “Jemputan Majlis Perkahwinan” boleh mendatangkan kekeliruan. Tambahan pula, pada bahagian isinya juga tidak memberi kefahaman sama ada ‘bertiket’ atau ‘tidak bertiket’.  

Sekarang ini boleh dikatakan dalam hal kad undangan menampakkan perkembangan budaya dan pragmatiknya bahasa. Keselarasan antara budaya dan bahasa dikirakan amat wajar dirasionalkan dan jelas demi kebaikan bersama.

‘Tuan kerja’ iaitu orang yang mengundang mesti mengambil cakna tentang persiapan untuk mengundang tetamu supaya datang meraikan majlis kita dengan penuh kerahmatan. Syarikat percetakan kad undangan juga seharusnya mewajarkan bahasa yang sesuai dengan budaya kini.  

Perkataan ‘jemputan’ tidak wajar digunakan lagi yang harus ditukar kepada ‘undangan’. Di Kelantan khususnya kejelasan penggunaan perkataan walimatulurus dan kesyukuran amat diambil cakna oleh masyarakat. Perkara yang paling penting ‘tuan kerja’, ‘pencetak’ dan pengunjung ada keselarian dalam memahami nawaitu majlis tersebut. Hal ini kerana perkongsian budaya yang harmoni menjadi satu tuntutan kehidupan bermasyarakat.

* Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka