PENULIS teringat suatu kisah yang pernah diceritakan seorang rakan. Kisah dua orang petani yang sedang berteka-teki tentang objek yang berselindung di sebalik semak sewaktu mereka pulang bersawah. Masing-masing cuba membuat telahan terhadap objek tersebut.

“Aku rasa tentu burung yang sedang mencari makanan.”

“Takkanlah, itu bunyi kucing yang sedang kejar tikus. Kalau musim menuai tentulah banyak yang berkeliaran.” Yakin sungguh petani tersebut dengan tekaannya.

Dalam mereka berteka-teki, tiba-tiba objek tersebut terbang. Terkejut juga mereka lantaran objek itu agak besar.

“Seperti biasa, tepat tekaanku.” Senyuman puas terukir pada wajahnya.

Namun begitu, petani kedua berkeras dan  tetap dengan jawapannya. “Bukan semua objek yang terbang itu burung. Jika diizinkan Tuhan, kucing juga dapat terbang. Semua tu bukannya mustahil.”

Petani pertama tergamam mendengar jawapan rakannya itu. Terhenti seketika perbualan mereka. Terkejut juga mendengarkan jawapan rakannya itu tanpa riak wajah yang mencurigakan.

Sikap sebegini disebut taasub iaitu kuat pegangan atau keyakinan yang keterlaluan terhadap sesuatu. Begitu taasub petani kedua tadi dengan jawapannya, tanpa memikirkan rasional di sebalik kata-katanya. Jika dipandang dari persepsi yang lebih luas, jawapannya itu boleh menimbulkan prasangka jika percakapannya didengari orang lain.

Sewaktu mengendalikan kursus penulisan dokumen rasmi, pelbagai perkara sering dilontarkan peserta berhubung dengan ejaan dan tatabahasa. Banyak persoalan yang dilontarkan.

Bila ejaan berubah? Tiada makluman tentang perubahan? Tiada teguran selama ini? Banyak perkara yang dipegang selama ini sebenarnya masih perlu diperbaiki. Soalnya, bersediakah kita untuk menerima ‘perubahan’ yang dimaksudkan?

Pada minggu ini penulis tidak berhajat untuk mengutarakan maksud dan ejaan yang tepat tentang perkataan taasub. Seharusnya kita wajar mengetahui bahawa ejaan taksub tidak terdapat dalam Kamus Dewan.

Walaupun bahasa sumber perkataan ini berasal daripada bahasa Arab, perkataan ini telah diserap dan diguna pakai secara meluas penggunaannya. Begitu juga dengan perkataan yang biasa kita gunakan seperti pahala, syurga, neraka, dosa dan banyak lagi berasal daripada bahasa Sanskrit.

Bahasa Melayu melalui fasa pembinaan bermula era kuno, klasik seterusnya moden yang menerima bahasa Sanskrit, Jawa, Arab hinggalah bahasa Inggeris. Sifat bahasa Melayu yang mampu menerima perubahan ini rupa-rupanya tidak seiring dengan pengguna bahasanya kini yang bersikap statik atau pegun.

Tahun ini kita meraikan Hari Kebangsaan ke-59 pada tanggal 31 Ogos dengan tema Sehati Sejiwa. Sehati Sejiwa menggambarkan kesepaduan, kesefahaman, kekitaan dan kebersamaan seluruh rakyat di negara ini. Roh perpaduan yang disemai selama 59 tahun ini sepatutnya tidak sekadar tema yang dilaung-laungkan pada setiap tahun.

Biarlah usia itu menggambarkan kematangan dan kesungguhan kita dalam mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bersedia untuk menerima perubahan sebagaimana fasa perubahan yang dialaminya. Usah kita harapkan perubahan akan bergolek di kaki, seharusnya kita yang perlu berubah.

Semoga semangat kejiwaan dan sikap bersatu hati rakyat Malaysia pada usia kemerdekaan ini kian kental dan mantap di jiwa rakyat Malaysia.

Biarlah kita berpegang pada prinsip sebagai penyelidik bukannya sebagai pengikut yang ‘baik’ semata-mata. Usahlah kita berpegang pada perkara atau hal yang tidak sahih atau tiada sumber yang jelas seperti tajuk minggu ini, “Usah taasub pada taksub”.

Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Bahasa Jiwa Bangsa.

* Penulis, Munsyi Dewan Kota Bharu, Kelantan