KEBANYAKAN pengguna bahasa tidak menyedari bahawa terdapat kesalahan ayat yang tertentu dalam bahasa Melayu, kecuali bagi mereka yang peka dan cakna bahasa.

Sesetengah pengguna bahasa langsung tidak mengendahkan kesalahan ayat dalam bahasa Melayu, dan lebih teruk lagi, mereka memang tidak tahu pun tentang kesalahan tersebut.

Dalam bahasa Melayu, dari segi ragam ayat, ayat tunggal dalam bahasa Melayu terdiri daripada ayat aktif dan ayat pasif. Ayat aktif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan subjek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan.

Ayat pasif pula terbentuk asalnya daripada ayat aktif transitif, dan mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal sebagai judul atau unsur yang diterangkan.

Dalam kalangan pengguna bahasa, ayat aktif biasanya tidak terlalu mendatangkan masalah dari segi hukum tatabahasanya apabila ayat itu dibina. Menjadi kekeliruan dan permasalahan adalah apabila ayat pasif dibina, kadangkala menyalahi hukum tatabahasa.

Dalam ruang yang terhad ini, penulis lebih cenderung untuk memaparkan kesalahan yang dilakukan ketika kita membina ayat pasif.

Secara umumnya, ayat pasif dalam bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada:

Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif.

Ayat pasif dengan kata ganti diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.

Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.

Bagi menunjukkan perubahan yang dibuat apabila ayat aktif ditukar kepada ayat pasif, lihat ayat contoh yang berikut:

Mereka sedang membaca buku. (ayat aktif)  

Buku sedang dibaca oleh mereka. (ayat pasif)

Ibu menjemur pakaian di ampaian. (ayat aktif)              

Pakaian dijemur oleh ibu di ampaian. (ayat pasif)

Dia suka menonton rancangan sukan. (ayat aktif)          

Rancangan sukan suka ditontonnya. (ayat pasif)

Semua ayat contoh di atas menunjukkan perubahan yang dibuat apabila ayat aktif ditukar kepada ayat pasif, dan struktur ayatnya tidak menyalahi hukum tatabahasa. Tampak mudah sahaja. Namun begitu, lihat pula ayat-ayat contoh yang berikut apabila

ayat aktif kata ganti nama diri pertama dan ayat aktif kata ganti nama diri kedua ditukar kepada ayat pasif kata ganti nama diri pertama dan ayat pasif kata ganti nama diri kedua.

Saya suka membaca buku cerita. (ayat aktif kata ganti nama diri pertama)      

Buku cerita suka dibaca oleh saya. (ayat pasif kata ganti nama diri pertama)

Kamu patut menonton filem itu. (ayat aktif kata ganti nama diri kedua)        

Filem itu patut ditonton oleh kamu. (ayat pasif kata ganti nama diri kedua)

Dalam kedua-dua ayat contoh di atas, ayat aktif kata ganti nama diri pertama dan ayat aktif kata ganti nama diri kedua apabila ditukar ke dalam bentuk ayat pasif kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua, struktur ayatnya telah

menyalahi hukum tatabahasa. Pengguna yang peka bahasa sudah tentu dapat mengesan kesalahan ayat pasif yang tersebut.

Pada awal lagi, penulis telah menyatakan bahawa struktur ayat aktif sebenarnya tidak banyak mendatangkan kekeliruan. Yang menjadi kekeliruan adalah apabila ayat aktif kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua ditukar kepada ayat pasif kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua.

Seyogia diingatkan bahawa ayat aktif kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua apabila dipasifkan tidak boleh menggunakan imbuhan kata kerja pasif  ‘di’. Oleh itu, dalam ayat-ayat contoh di atas, kata kerja pasif ‘dibaca’ dan ‘ditonton’ itu dianggap melanggar hukum tatabahasa.

Oleh sebab ayat pasif kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua tidak boleh menggunakan imbuhan kata kerja pasif ‘di’ dalam pembentukan ayatnya, maka ayat pasif berkenaan seharusnya ditulis seperti yang berikut:

Buku cerita suka saya baca. (betul)      

Buku cerita suka dibaca oleh saya. (salah)

Filem itu patut kamu tonton. (betul)

Filem itu patut ditonton oleh kamu. (salah)

Pembicaraan ayat sebegini sebenarnya begitu kompleks. Sungguh mencabar dan mengelirukan tetapi tidak kepada pengguna yang peka dan cakna. Jika dianggap sukar sekalipun, itulah bahasa kita, penuh dengan keunikan dan keistimewaan. Bahasa inilah yang perlu kita martabatkan dan angkat sebaris bahasa-bahasa lain di dunia.