KETIKA dalam lingkungan umur lapan hingga 10 tahun, penulis selalu membantu emak membelah kayu api. Kayu getah berbentuk silinder berukuran lilit enam inci dan sepanjang dua kaki itu dibelah menggunakan beliung atau kapak besar.

Kadang-kadang kayu tersebut terpelanting dan menimpa kaki penulis.

Secara spontan penulis menyebut aaarrrgggghhh. Kadang-kadang sebutan aaarrggghhhhhhhh sengaja dipanjangkan bagi menarik perhatian emak penulis yang akan memuji-muji penulis kerana rajin.  

Pada hujung minggu pula, penulis dan abang akan mengait buah sawa untuk diperam dan dijual di kedai. Buah sawa ini diperam di dalam guri. Guri ialah tempayan yang bermulut kecil. Kami akan memasukkan buah sawa ke dalam guri, kemudian menyumbat mulut guri dengan kain buruk selama sehari.

Bagi mengetahui sama ada buah sawa telah masak ataupun belum, kami akan mencium pada bahagian mulut guri tersebut. Jika berbau wangi bermakna buah sawa telah masak dan boleh dijual.

Peristiwa luar jangka biasanya berlaku. Abang penulis (maaf Datuk Takie kerana bercerita kisah lama), melepaskan angin ke dalam guri dan menyumbat mulut guri tersebut dengan kain.

Apabila penulis membuka penutup guri, sekali lagi penulis terpaksa menyebut aaaarrrggghhhh kerana guri berbau busuk.

Sebutan aaaarrrrggghhhh yang penulis lontarkan sebenarnya tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai maksud tertentu. Dalam kisah pertama, penulis menyebut aaarrrggghhh semata-mata untuk menarik perhatian emak penulis.

Dalam kisah kedua, penulis juga menyebut aaarrrggghhh, tetapi membawa maksud yang lain. Aktual, dalam komunikasi seharian kita menyebut pelbagai perkara yang tidak bermakna, tetapi mempunyai maksud tersendiri.

Dalam kajian penulis, terdapat sekurang-kurangnya 70 sebutan yang tidak bermakna, tetapi mempunyai maksud seperti itu.  

Ketika menyampaikan ceramah di Port Dickson, penulis memberikan penerangan secara individu kepada salah seorang murid. Selepas itu, penulis mendengar murid itu menyebut oooooo.

Penulis yakin bahawa sebutan ooooooo dengan gaya mulut muncung menunjukkan murid itu telah memahami penerangan penulis.

Ketika menyampaikan ceramah di MRSM Tun Ghaffar Baba Melaka pula, seorang murid menyebut laaaaaaaa setelah penulis memberikan penerangan kepadanya tentang mudahnya membina perenggan pendahuluan karangan.

Bagi penulis, sebutan laaaaaaaa itu sebagai tanda bahawa murid itu baru menyedari bahawa pendahuluan karangan sebenarnya mudah yang selama ini disangkanya susah.

Anak saudara penulis bernama Salman merupakan anak sulung kakak penulis. Dia mempunyai beberapa orang adik. Ketika remaja, dia selalu menyakat adik-adiknya dengan perkataan biiiiiiiiiii apabila adik-adiknya menunjukkan sesuatu kepadanya.

Biiiiiiiii yang disebut oleh Salman tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai maksud iaitu mengejek-ejek. Kini, Salman yang telah berjaya dalam kerjayanya tentulah tidak lagi mengeluarkan sebutan itu.  

Masyarakat di Kedah selalu menyebut nooo dalam perbualan.  Rakan sepejabat penulis yang bernama Luqman, selalu menyebut nooo ketika berbual. Contohnya, dia pernah berkata, “esok kita mesyuarat noooo”.

Noooooo yang disebut oleh Luqman tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai maksud, iaitu bagi mendapatkan kepastian orang lain. Di Terengganu pula, sahabat penulis yang bernama Che Alias selalu menyebut oookkk pada setiap perbualan.

Contohnya, Che Alias pernah menyebut, “Itu kawang kite oookkk”. Oookkk yang disebut itu sebenarnya tidak bermakna, tetapi mempunyai maksud tertentu.

Kakak penulis yang bernama Siti Mariah suka membela ayam kampung dan ayam organik. Dia selalu berkomunikasi dengan ayam-ayamnya. 

Ayam-ayamnya seolah-olah memahami arahannya. Jika dia ingin memberikan arahan kepada ayamnya supaya beredar dari satu-satu tempat, dia hanya akan menyebut syuuhhhh syuuhhhh. Ayamnya akan beredar setelah mendengar sebutan itu.

Syuuhhhh syuuhhhh yang disebut oleh kakak penulis tidak mempunyai makna, tetapi mempunyai maksud tertentu sehingga ayam pun dapat memahami arahan.

Hebat sungguh bahasa kita. Ada perkataan tidak mempunyai makna, tetapi masih difahami manusia dan haiwan.