DALAM perbualan seharian, kita sering mendengar ucapan daripada kawan kita ungkapan sedemikian. Kadang-kadang dalam perhubungan melalui telefon juga pernah kita terbaca hantaran daripada kawan penggunaan sebegini;

“Maaf, saya terpadam berita yang tuan hantar tadi”.

“Maaf, tersalin maklumat yang tidak wajar ini”.

“Minta maaflah saya tersasul tadi”.

Keadaan beginilah yang sering kita jumpa penggunaan imbuhan awalan ‘ter...’ yang difahami oleh kebanyakan pengguna bahasa kita.

Di sini penulis cuba memberi sedikit sentuhan tentang penggunaan imbuhan ‘ter...’ dalam bahasa kita baik secara formal atau sebaliknya.

Dalam Bahasa Melayu terdapat pelbagai imbuhan awalan untuk menerbitkan perkataan baharu yang boleh digunakan dengan sesuai.  Satu daripadanya ialah imbuhan awalan ‘ter...’ yang boleh digunakan dengan kata kerja dan kata adjektif sahaja dan akan melahirkan perkataan baharu dengan maknanya tersendiri.  

Daripada contoh penggunaan dalam ayat yang dinyatakan di atas, imbuhan ini memberi maksud perlakuan tidak sengaja dilakukan. Penggunaan sebegini merupakan hanya satu daripada penggunaan imbuhan ‘ter...’ yang sering digunakan oleh pengguna bahasa kita.  Contoh lain yang membawa pengertian tak sengaja ini boleh diperhatikan dalam ayat berikut;

(1) Pemuda itu terminum air teh pada awal pagi tadi.

(2) Kanak-kanak itu tersepak batu semasa menendang bola.

(3) Abang terpijak paku ketika membersih sampah di belakang rumah.

(4) Pintu keretanya terlanggar oleh lori.

(5) Anak ayam itu terpijak oleh adik.

Jika diperhatikan kelima-lima contoh ini, ayat (1), (2) dan (3) imbuhan ‘ter...’ digunakan bersama-sama kata kerja aktif manakala ayat (4) dan (5) digunakan dalam ayat pasif.  

Selain daripada membawa maksud perlakuan tidak sengaja, imbuhan ‘ter...’ juga boleh membawa pengertian keupayaan dalam melakukan kerja.  Penggunaan begini mungkin kurang aktif digunakan dalam komunikasi biasa. Lihat contoh ayat di bawah;

(6) Pasukan negeri tertewas oleh pasukan pelawat.

(7) Cikgu Salmah tidak terbaca tulisan yang buruk itu.

Kedua-dua contoh ayat ini membawa makna keupayaan dalam melakukan kerja sama ada keupayaan yang bersifat mampu dilaksanakan atau sebaliknya.

Jika kita perhatikan contoh ayat (8) dan (9) di bawah pula, penggunaan imbuhan  ‘ter...’ membawa pengertian keadaan sudah tersedia.

(8) Pasu-pasu bunga tersusun di halaman rumah.

(9) Berbagai-bagai juadah berbuka puasa terhidang di atas meja.

Biasanya penggunaan imbuhan ‘ter...’ yang membawa pengertian keadaan sudah tersedia begini digunakan dalam suasana yang agak formal seperti dalam penulisan yang bersifat akademik.

Imbuhan awalan ter... dengan kata adjektif pula adalah untuk menerbitkan kata adjektif yang berfungsi sebagai penjelasan ‘keadaan perbandingan’ atau ‘keadaan paling’.

Dalam perbualan biasa penggunaan imbuhan ‘ter...’ begini biasanya digantikan dengan kata penguat sama lebih, paling atau amat. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

(10) Azfar pelajar yang terkacak dalam kelasnya.

Azfar pelajar yang paling kacak dalam kelasnya.

(11) Penyajak termasyhur itu baru berlepas ke Makkah pagi tadi.

Penyajak paling masyhur itu baru berlepas ke Makkah pagi tadi.

(12) Sungai Pahang ialah yang terluas di Semenanjung Malaysia.

Sungai Pahang ialah yang paling luas di Semenanjung Malaysia.

(13) Antara kain-kain merah itu, kain jenis sutera itulah yang termerah.

Antara kain-kain merah itu, kain jenis sutera itulah yang amat merah.

(14) Dalam kumpulan kami dialah yang termuda.

Dalam kumpulan kami dialah yang paling muda.

Sebagai kesimpulannya, penulis ingin menyeru kepada seluruh pengguna bahasa kebangsaan kita agar luaskan penggunaan aspek-aspek khusus dalam kerenah tatabahasa kita serta tidak sempitkan menjadi terhad seperti imbuhan awalan ‘ter...’ ini.  

Dilemanya imbuhan ini menjadi tidak terbuka dengan sewajarnya.  

Oleh itu harus kita konsep ‘aspek yang kurang biasa dibiasakan’ demi keutuhan bahasa kita tercinta.