TERDAPAT banyak cara untuk mewujudkan suasana gembira dan mesra ketika berbahasa, salah satunya adalah melalui penggunaan tag line. Beberapa bulan yang lalu, penulis diundang untuk menyampaikan ceramah di SMK Bukit Saujana, Port Dickson. Seorang guru di sekolah tersebut yang bernama Radziyah Md Yamin mempunyai daya tarikan tersendiri. Beliau sentiasa menggunakan perkataan 'cemas' ketika berbual dengan sesiapa sahaja. Penulis cuba berbual-bual dengan beliau untuk memastikan pemerhatian penulis benar. Memang tepat, beliau akan menyebut perkataan cemas setiap kali berbual. Penulis berasa terhibur kerana perkataan cemas yang menjadi tag line (slogan peribadi) beliau berjaya menggeletek hati penulis.

Seorang guru penulis yang bernama Abdullah Ahmad (kini, telah bersara) juga mempunyai tag line. Beliau akan menyebut perkataan 'pening' setelah menghabiskan sesuatu cerita walaupun perkataan pening itu tiada kaitan dengan cerita tersebut. Kadang-kadang, kami menunggu sahaja ceritanya berakhir untuk sama-sama menyebut pening.  

Seorang lagi rakan baik penulis bernama Ismail Arsyad (mantan Pengetua SMK Gulau, Sik, Kedah) akan menyebut perkataan 'reti' setelah memberikan penerangan kepada murid-muridnya. Jika Cikgu Ismail tidak masuk kelas, murid-muridnya rindu akan perkataan reti, bukan rindu kepada Cikgu Ismail. Tag line reti sebenarnya menjadikan Cikgu Ismail lebih popular daripada guru lain.

Seorang lagi rakan sepejabat penulis yang bernama Ruslan Razali (akan bersara pada 21 Disember 2017) mempunyai tag line yang menyeramkan. Beliau suka bercerita secara lelucon (jenaka) dalam loghat  Negeri Sembilan. Pada akhir cerita, beliau akan mengungkapkan tag line, 'hantu betul'. Tag line tersebut sebenarnya tidak ada kena-mengena langsung dengan cerita yang disampaikan. Pada waktu rehat, kami sepejabat akan bermain pingpong sebagai cara untuk beriadah. Selepas permainan berakhir, beliau akan mengungkapkan hantu betul kerana biasanya beliau jarang-jarang menang.

Penulis teringat akan zaman kanak-kanak penulis dahulu. Ada seorang lelaki yang telah berusia, tetapi penulis terlupa namanya (semoga beliau dirahmati ALLAH). Lelaki ini jarang-jarang bercakap, tetapi mempunyai tag line yang sangat istimewa. Ketika dia duduk bersama-sama dengan rakannya yang lain yang sedang bersembang, beliau tidak akan menyampuk, tetapi akan menyebut 'tu yang betul' sejurus selepas orang lain menghabiskan sesuatu ayat. Penulis terasa amat lucu setiap kali mendengar  tag line tu yang betul dalam loghat Kedah.

Imam Masjid Ar-Rahman, Pekan Sik, Kedah suatu ketika dahulu yang bernama Imam Haji Abdul Rahman (semoga rohnya dicucuri rahmat) juga mempunyai tag line. Penulis selalu mendengar beliau berkhutbah dan mengajar agama di masjid. Beliau mempunyai tag line yang sangat istimewa walaupun sukar difahami. Selepas sahaja beliau menghabiskan sesuatu ayat, beliau akan mengungkapkan 'wassaja tuan-tuan'. Penulis tidak memahami tag line ini, tetapi berasa amat lucu setiap kali mendengarnya.  Kadang-kadang penulis menggunakan tag line  wassaja tuan-tuan ketika berceramah sebagai gimik.

Kini, tag line seolah-olah menjadi perkara utama bagi seseorang sama ada penyanyi daripada program realiti Akademi Fantasia ataupun pendakwah daripada program Dai Nusantara. Salah seorang dai wanita yang berasal dari Baling, Kedah mempunyai tag line, iaitu 'kita perlu terus belajar kerana ALLAH akan terus mengajar'.

 Sebenarnya tag line bukanlah perkara baharu dalam masyarakat. Masyarakat suatu ketika dahulu telah menjadikan tag line sebagai tanda supaya diri mereka mudah dikenali. Tag line juga sebagai tanda kepuasan kepada seseorang. Orang yang mempunyai  tag line tidak akan berasa puas jika tidak menyebut  tag linenya ketika bercakap. Orang kenamaan juga mempunyai  tag line tertentu, misalnya Tun Dr Mahathir yang sering menyebut 'apa nama' setiap kali diwawancara oleh wartawan.

Penggunaan tag line ternyata memperlihatkan keunikan individu bukan sahaja dalam berbahasa dan berkomunikasi, tetapi juga menonjolkan salah satu keuni-kan budaya berbahasa masyarakat Malaysia.