SENARIO bahasa Melayu di perantauan, khususnya di China amat menarik untuk diteliti dan diperhalusi kerana bahasa kebanggaan kita ini sudah mendapat tempat dan perhatian serius daripada beberapa universiti terkenal di sana.

Salah satu universiti yang terkenal dengan bahasa Melayu ialah Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Guangdong selain Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Beijing dan tujuh universiti lain seluruh China.  

Pada 13 Mei yang lalu, penulis berkesempatan hadir untuk kesekian kalinya sebagai pembentang kertas kerja dalam Seminar Terjemahan, Bahasa dan Budaya Melayu di Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Guangdong, China.

Keterujaan para pelajar dan kesungguhan para pensyarah di sini sangat luar biasa apabila menyapa dengan penuh sopan santun dan meraikan kehadiran tetamu pembentang serta peserta seminar dari Malaysia. 

Kebiasaannya orang Cina akan kekal dengan sikap dan sifat tipologi mereka yang tersendiri, sangat serius, kurang mesra, gigih dan seumpamanya.

Namun mereka di sini didapati sangat berbeza kerana begitu kaya dengan senyuman, layanan dan sambutan yang menggembirakan semua orang. Kami sebagai hadirin dialu-alukan dengan ucapan selamat datang dan dipersembahkan dengan beberapa buah tarian Melayu oleh pelajar-pelajar China.

Acara yang dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu oleh orang bukan Melayu ini merupakan sesuatu yang memukau di Guangzhao, China kerana bahasa ini dahulunya asing kepada mereka di sini.  

Hakikatnya, hubungan tradisi tamadun China dengan Alam Melayu sebenarnya wujud sudah sangat lama. Menurut Prof Dr Ding Choo Ming, telah berlaku satu proses interaksi budaya yang hebat.

Sebagai contohnya, sejarah penterjemahan oleh orang Cina dari bahasa Melayu ke bahasa Cina dan sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama sebagaimana yang diperkatakan oleh Claudine Salmon dalam buku beliau yang bertajuk Literature in Malay by the Chinese of Indonesia dan Literary Migration-Traditional Chinese Fiction in Asia (17th, 20th Centuries), juga oleh Yang Quee Yee, Himpunan Makalah Kebudayaan Cina-Melayu. 

Menurut Salmon, terdapat tidak kurang daripada 759 karya terjemahan di Indonesia dan sekitar 70 buah terjemahan di Tanah Melayu pada tahun 1850-an sehingga 1940-an. Hal ini membuktikan bahawa Huaqiau @ Cina perantau di alam Melayu ini sangat berminat dengan kisah legenda, keperwiraan, keagamaan dan falsafah.

Selain itu, terdapat nama-nama besar penterjemah lainnya termasuklah Wan Boon Seng@Panah Pranakan (1930) yang menerbitkan 21 buah buku terjemahan, Siow Hay Yam (1921) pula menterjemahkan buku bertajuk Ini Cherita Dulu Kala dari Zaman Tong Teow Bernama Seeh Jin Quee Cheng Say sebanyak 10 jilid. Novel terjemahan terkenal Nyawa di Hujung Pedang karya Ahmad Murad Nasaruddin diterjemahkan oleh Chan Mow Wah (1959). Li Chuan Siu(1961) pula menterjemahkan Hidup Bagaikan Mimpi. 

Aktiviti terjemahan pelbagai karya ini (novel, puisi, cerpen, cerita rakyat dan sebagainya) sebenarnya menyemarakkan lagi hubungan antara bahasa dan antara budaya tamadun dua negara. Kehadiran ramai penterjemah baharu yang aktif di China seperti Xi Mingyue melalui terjemahannya Kutipan Pembicaraan Konfusius, Tan Xiao melalui Seni Peperangan Sunzi dan ramai lagi penterjemah yang lain menyebabkan budaya terjemahan ini semakin memukau. 

Khazanah Laluan Sutera Laut juga terus berkembang mekar dengan kewujudan beberapa buah penerbit baharu yang menerbitkan karya terjemahan seperti Universiti Pengajian Bahasa-bahasa Asing Guangdong, Universiti Perguruan Guangxi, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi  dan beberapa penerbit lain di China.

Ternyata, ada sinar yang memukau di Guangzhao yang dahulunya dikenali sebagai Canton, iaitu kota sejarah yang mencatatkan kegemilangan Laluan Sutera Lautan Nanyang.    Sinar ini terus terpancar dalam Sayembara Deklamasi Sajak Bahasa Melayu Seluruh China 2017 yang telah melibatkan penyertaan sebanyak lapan buah universiti seluruh China. Melalui aktiviti sedemikian, semoga bahasa dan budaya Melayu akan terus memukau dan bersinar di Guangzhao.