NEGARA kita yang terdiri daripada beberapa buah negeri telah menyebabkan seseorang itu membesar dalam identiti negerinya yang tersendiri. Pengenalan seseorang juga salah satunya dilihat dari sudut negeri asalnya. Lantaran itulah ada pendapat mengatakan bahawa semangat kenegerian masih menebal dalam kalangan rakyat Malaysia. Ada dakwaan mengatakan bahawa rakyat Malaysia lebih gemar bergaul dengan rakan yang berasal dari negeri yang sama dengannya.

Pada pandangan penulis, pendapat ini ada benarnya tetapi ada juga ruang untuk dibahaskan. Bagi penulis, bukan kenegerian yang menjadikan seseorang itu rapat, tetapi bahasa kenegerian yang digunakan. Persamaan dialek yang digunakan menjadikan sekelompok manusia menjadi lebih intim.

Kita cuba lihat dua situasi yang mungkin terjadi. Situasi pertama, seorang lelaki yang berasal dari negeri A tetapi mampu bertutur dalam dialek negeri B apabila berkomunikasi dengan rakannya yang berasal dari negeri B, manakala situasi kedua ialah seorang lelaki yang berasal dari negeri B tetapi tidak menggunakan dialek negeri B apabila bertutur dengan rakannya yang juga berasal dari negeri B. 

Dalam kedua-dua situasi ini, lelaki manakah yang lebih rapat dan serasi dengan rakannya itu? Adakah lelaki dalam situasi 1 atau lelaki dalam situasi 2? Sudah pasti lelaki dalam situasi 1 yang lebih melekat di hati rakannya. 

Maksudnya di sini, bukan negeri asal yang menjadi ikatan keserasian tetapi dialek negeri itu sebenarnya yang menjadikan sekelompok masyarakat menjadi lebih intim. 

Apabila seseorang itu mampu bertutur dalam dialek atau bahasa kita, timbul perasaan bangga dalam diri kerana menganggap seolah-olah bahasa kita diiktiraf. Sebab itulah rakyat Indonesia berasa sangat bangga apabila Presiden Barack Obama bertutur dalam bahasa Indonesia semasa lawatannya ke negara yang paling ramai penduduk di Asia Tenggara itu.

Bukan isu dialek atau kenegerian yang penulis hendak tekankan di sini tetapi lebih kepada semangat kekitaan. Kita perlu berusaha agar semangat kekitaan dapat diperkasakan di negara kita seterusnya negara kita menempa pelbagai kejayaan yang disumbangkan oleh rakyat pelbagai kaum.

Gagasan 1Malaysia merupakan suatu ilham daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai hasrat untuk memperkukuh kerjasama dan hubungan antara rakyat pelbagai kaum di negara kita bagi menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran yang bertujuan mengganggu gugat kesejahteraan hidup. Kita mengharapkan agar semua pihak dapat menghayati gagasan ini agar kita mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman dan maju dalam segenap bidang serta dihormati di seluruh dunia. 

Demi mencapai wawasan murni ini, kita perlu jadikan bahasa sebagai perantara. Sekiranya dialek yang digunakan dapat mengintimkan rakyat dalam sesebuah negeri, kita yakin penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia mampu mewujudkan semangat kekitaan seterusnya Gagasan 1Malaysia mampu direalisasikan. Dengan perkataan lain, jadikanlah persamaan bahasa sebagai wahana utuh untuk mewujudkan semangat kekitaan. 

Mantan Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah berkata, apabila kita bercakap dengan seseorang dalam bahasa yang dia fahami, dia akan menyimpan isi percakapan kita dalam kepala, sekiranya kita bercakap dengan seseorang dalam bahasa ibundanya maka dia akan menyimpan isi percakapan kita dalam hatinya.

Kita berasa amat sedih sekali apabila melihat masih ada lagi rakyat Malaysia yang tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu malah lebih teruk lagi ada yang langsung tidak dapat bertutur langsung sedangkan negara kita sudah merdeka selama 59 tahun. 

Kita juga amat sedih kerana masih ada dalam kalangan rakyat Malaysia termasuk orang Melayu sendiri yang malu untuk berkomunikasi dalam bahasa Melayu kerana menganggap bertutur dalam bahasa Melayu akan merendahkan status mereka. 

Kadang-kadang kita berasa malu apabila melihat kefasihan bertutur bahasa Melayu dalam kalangan rakyat asing. Lihat sahaja kemampuan peserta-peserta luar negara dalam Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu yang diadakan setiap tahun. Malah bekas jurulatih bola sepak Kelantan iaitu Peter Butler juga mampu bertutur dalam bahasa Melayu Indonesia ketika ditemu ramah. 

Kalau hendak dikatakan beliau tidak mampu bertutur dalam bahasa Inggeris tidak mungkin kerana beliau berasal dari England. Beliau telah belajar bertutur dalam bahasa tempatan kerana pernah menjadi jurulatih di Persiba Balikpapan Indonesia selama beberapa tahun.

Jika kita ingin mewujudkan semangat kekitaan dalam kalangan rakyat Malaysia, mulakanlah dari aspek bahasa. Banyak usaha telah dilakukan namun kita tidak seharusnya berputus asa kerana perjuangan untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum selesai. 

Dirgahayu Bahasaku!