SEBAGAIMANA bahasa-bahasa lain di dunia, bahasa Melayu juga mempunyai pelbagai dialek, iaitu kelainan dalam penggunaan lenggok dan ragam bahasa yang selalunya dipengaruhi oleh faktor geografi.  

Apabila berlakunya pertem-bungan antara penutur dari daerah yang berbeza maka kemungkinan berlakunya salah faham amatlah tinggi. Kelainan yang wujud boleh menimbulkan pelbagai reaksi dan tanggapan yang kadang-kadang boleh mencetuskan keresahan kepada sebilangan anggota masyarakat.

Hal ini menarik perhatian penulis kerana sudah beberapa kali rakan-rakan penulis yang bertutur dalam dialek Kelantan merungut tentang perkataan yang dijadikan ungkapan pelaris dalam iklan suatu produk susu untuk kanak-kanak.

Ada rakan penulis yang memberitahu bahawa mereka menjadi serba salah apabila anak atau cucu mereka mengajuk-ajuk perkataan yang terdapat dalam ungkapan tersebut, iaitu perkataan daripada bahasa Inggeris, mind dan connect.

Cara penyebutan yang kurang tepat dalam iklan berkenaan telah menimbulkan suatu keadaan yang tidak menentu kerana kata mind berubah menjadi 'main'. Kata connect,   yang kurang tepat sebutannya pula, apabila diajuk oleh anak-anak kecil mengikut  dialek Kelantan, akan menghasilkan kata yang berbaur kelucahan.

Perkataan itu membawa konotasi negatif dan menyebabkan orang Kelantan tentunya tersipu-sipu. Mereka amat serba salah jika anak yang masih kecil menyebut ungkapan itu berulang kali, lebih-lebih lagi di depan tetamu.  

Guru-guru Bahasa Inggeris di Kelantan selalunya amat sensitif tentang cara penyebutan perkataan tersebut malahan sesiapa yang tersilap sebutannya akan dijerkah.

Di samping itu, ada pula satu perkataan yang hampir sama konotasinya telah digunakan dengan meluas dalam masyarakat. Sebuah stesen televisyen juga telah menggunakannya sebagai sebahagian daripada tajuk siri drama siarannya, iaitu perkataan bodek.

Penulis sendiri pernah dimarahi oleh seorang pensyarah bahasa yang bergelar  profesor kerana menggunakan perkataan bodek ketika berbincang dengan rakan sekuliah.

Perkataan ini dikatakan digunakan di beberapa daerah di pantai barat semenanjung dan pembaca boleh merujuk kamus untuk mengetahui maknanya yang sebenar.

Mengikut ceritanya, ada seorang pemuda berketurunan bangsawan yang mengalami penyakit bodek telah diampu dan diusung jika beliau ingin bersiar-siar. Dalam keadaan itu, banyaklah orang  yang berkepentingan berebut untuk mengusung beliau demi mendapatkan perhatian keluarganya yang kaya dan berpengaruh.  

Daripada peristiwa ini, perkataan ampu kerap digunakan secara bertukar ganti dengan kata bodek oleh mereka yang mahu menyindir golongan tertentu. Malangnya, kata bodek digunakan dengan lebih meluas oleh masyarakat yang tidak begitu arif tentang bahasa dan budaya Melayu hingga kini.

Bayangkan kesannya sekiranya ada orang yang baru sahaja belajar bahasa Melayu  merujuk kamus dan mengetahui makna sebenar perkataan itu. Bayangkan juga cabaran yang dihadapi ibu bapa apabila mahu mengajari anak kecil mereka tentang kesantunan bahasa.  

Anak-anak kecil akan memberikan alasan bahawa tidak ada salahnya bahasa yang digunakan kerana televisyen pun menyiarkannya berulang kali. Kebiasaan ini akhirnya akan mempengaruhi pembentukan keperibadian generasi akan datang.

Oleh hal yang demikian, apabila kita menggunakan sesuatu bahasa, kita perlu memilih kata yang betul, menyebutnya dengan betul dan memikirkan kesesuaiannya mengikut budaya dan persekitaran. Kata-kata yang diungkapkan sesuka hati, terutamanya bahasa kasar akan menimbulkan kekeliruan dan kegusaran malahan mampu mencetuskan pertelingkahan dalam masyarakat.

Meskipun isu ini mungkin dianggap remeh oleh sesetengah pihak tetapi penulis berpandangan sebaliknya. Penggunaan bahasa yang tepat dan teliti memainkan peranan yang sangat besar dalam pembentukan sahsiah dan budi pekerti generasi muda yang nampaknya semakin kehilangan jati diri.  

Bahasa basahan terutamanya bahasa kasar tidak sepatutnya digunakan dalam media perdana, dan untuk itu suatu sistem pemantauan bahasa perlu dilaksanakan.  

Bahasa Melayu nampaknya sudah semakin hilang dalam paparan makluman bagi acara besar yang dihadiri oleh orang besar-besar. Bahasa Melayu juga dikatakan sudah tidak mempunyai nilai ekonomi.  

Andainya kita berterusan mencemarinya dan memandang enteng semua perkara yang berkaitan dengan bahasa maka tunggulah saat kehancuran suatu budaya yang indah, dan  bahasa serta bangsa kita akan hilang kehormatannya.

* Penulis ialah Munsyi Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Jawa